in , ,

FINAS Sedia Geran Filem Kenegaraan Buat Penggiat Seni

Ketandusan filem berunsur kenegaraan mendorong Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) memberi tumpuan terhadap usaha memartabatkan filem bergenre mengangkat kisah sejarah dan ikonik.

FINAS akan membuka permohonan dana filem kenegaraan bermula 15 Oktober depan bagi menambah kandungan berunsur kenegaraan. Tidak terhad kepada jalan cerita berkisar sejarah kenegaraan, permohonan juga dibuka kepada penggiat seni yang berminat menghasilkan kisah tokoh sukan mahupun pemuzik tanah air.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid berkata, idea berkenaan bagi menggalakkan lebih banyak penghasilan filem berunsur kenegaraan. Ia adalah cetusan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

“Penghasilan filem berunsur kenegaraan salah satu khidmat untuk negara. Kemungkinan akan mempertimbangkan untuk dijadikan bahan tontonan di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi sekiranya sesuai untuk golongan muda. 

“Bagaimanapun, penghasilan filem kenegaraan yang dihasilkan perlulah berasaskan fakta, bukannya fiksyen. Jika kisah menarik dan boleh dijadikan rujukan, Saifuddin juga mencadangkan untuk membawa filem ke peringkat antarabangsa melalui kedutaan luar negara, tetapi bukan untuk tujuan komersial.

“Saifuddin ingin mengikut jejak langkah dan inisiatif dilakukan kerajaan Libya terhadap filem epik perang, Lion of the Desert pada 1981 yang menampilkan tokoh bernama Omar Mukhtar. Filem berkenaan bukan sahaja dijadikan silibus pembelajaran di sekolah, tetapi berjaya ditayangkan di luar negara melalui kedutaan Amerika Syarikat,”

– Zakaria Abdul Hamid

Zakaria berkata, FINAS tidak meletakkan sasaran permohonan, sebaliknya penggiat seni yang memiliki idea, layak untuk memohon dan mereka yang berjaya akan dipanggil untuk ke sesi ‘pitching’.

FINAS mahu ikut jejak langkah kerajaan Libya terhadap filem epik perang, Lion of the Desert pada 1981 yang bukan sahaja dijadikan silibus pembelajaran di sekolah, tetapi berjaya ditayangkan di luar negara.

Bagaimanapun, katanya, bagi mengelakkan dana yang dikeluarkan digunakan sewenang-wenangnya dan mengelakkan filem daripada terbengkalai, FINAS lebih tegas dalam soal pemilihan kali ini.

“FINAS tidak mempunyai sasaran berapa banyak filem kenegaraan yang akan dikeluarkan dalam tempoh setahun. Pada peringkat permulaan, kami mensasarkan lima naskhah sahaja.

“Jika ada banyak naskhah yang bagus, FINAS sanggup mengeluarkan dana. Bagaimanapun, peruntukan dana masih belum ditetapkan kerana ia berdasarkan cadangan kertas kerja yang dihantar.

“FINAS faham, bajet menghasilkan filem berunsur kenegaraan memerlukan perbelanjaan besar kerana membabitkan kajian, props dan sebagainya,” katanya.

– Zakaria Abdul Hamid

Katanya, FINAS mensasarkan filem kenegaraan pertama menerusi inisiatif ini akan menemui penonton selewat-lewatnya penghujung tahun hadapan apabila permohonan dibuka pada Oktober ini.

“Sekiranya berjaya disiapkan lebih awal, kami mensasarkan paling awal akan menemui penonton pada bulan kemerdekaan. 

“Bagaimanapun, FINAS tidak akan lepas tangan sepenuhnya kepada produksi, sebaliknya sentiasa memantau perkembangan terkini penghasilan filem berkenaan. Kami tidak mahu insiden lama yang berlaku kepada FINAS berlaku lagi,” katanya.

– Zakaria Abdul Hamid

Zakaria berkata, sebelum ini, terdapat beberapa filem berunsur kenegaraan yang tergantung dan gagal disiapkan, malah ada yang menghasilkan filem ‘asal boleh’. 

Katanya, FINAS akan menyediakan panel pemantau yang bukan sahaja melakukan pemantauan mengenai jalan cerita, malah perjalanan penggambaran bagi mengelakkan kesilapan sama berulang.

“FINAS melantik panel pemantau bagi mengelakkan filem tidak siap dan cincai. Mereka terdiri daripada penggiat industri dan ahli akademik supaya naskhah yang dihasilkan menepati piawaian.

“Selain itu, ia juga bagi memastikan filem yang dihasilkan siap pada waktu yang ditetapkan dan tidak terbengkalai, memandangkan FINAS mengeluarkan dana yang besar. Jadi, kami tidak mahu mensia-siakan modal yang dikeluarkan sekiranya filem tidak siap,” katanya.

– Zakaria Abdul Hamid
*Sumber: BH Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Menang Pass Eksklusif Bertemu Bahiyya Haneesa di Fan Meet-Online

Berikut Senarai Biografi 13 Individu OKU Berjaya Dalam IMPIAN TANPA SEMPADAN