in , ,

Yang Anda Harus Tahu Tentang Filem XX RAY III

Tampil dengan misi selamatkan dunia, filem bercorak fiksyen sains ini mengisahkan tentang tiga remaja cuba menghentikan kegiatan seorang hartawan muda daripada menggunakan ‘probe’ untuk mensabotaj Kerajaan Malaysia tanpa menyedari ia boleh memusnahkan keseluruhan sistem suria. Sama-sama kita tonton keseluruhan filem XX Ray III yang akan berada di pawagam mulai 24 Januari 2019.

Pengembaraan sains fiksyen yang merentasi ruang masa, kesan-kesan efek khas dan penjelajahan alam dimensi yang bercanggahan dari segi tamadun – jika anda peminat tegar genre filem seperti ini, maka bersiap sedia lah anda untuk XX Ray III. Mengimbas kembali sejarah perfileman Malaysia, sekitar tahun 90an, filem bergenre fiksyen sain – XX RAY dan XX RAY ll antara filem arahan pengarah tersohor Aziz M Osman yang mendapat sambutan box office.

Trailer Filem XX Ray III

Trailer Rasmi Filem XX Ray III Yang Telah Disiarkan di Youtube

Menurut pengarah Aziz M. Osman, beliau kembali menghasilkan filem ketiga daripada francais “XX Ray” ini selepas 23 tahun bukan kerana mahu mengenang atau menjual nilai nostalgia, sebaliknya berbuat demikian atas desakan penonton. 

“Saya tidak terlalu bernostalgia dengan XX Ray yang dulu, biarpun ramai menganggap saya sinonim dengan filem berkenaan. Ia hanyalah suatu jenama. Tapi saya tidak boleh ambil mudah dengan keinginan generasi sekarang yang gemar menonton wayang,”

– Aziz M Osman

Sekalipun sambungan filem XX Ray ini memakan masa lebih daripada 20 tahun, kami percaya ramai peminat tempatan masih lagi berminat dan sanggup menunggu kerana XX Ray pada suatu ketika dahulu pernah menjadi fenomena, bahkan dilihat sebagai revolusi terbaru filem negara.

Filem XX RAY III
Poster Filem XX Ray III

Kos Pembikinan 2.5 Juta & Berlokasikan Negara Jordan

Setelah lebih 24 tahun, kini pengarah berkenaan telah kembali muncul dengan XX RAY III, melengkapkan siri filem tersebut sebagai sebuah trilogi.

XX Ray III adalah sekuel kepada filem XX Ray (1992) dan XX Ray II (1995). Selain memaparkan Izzue Islam sebagai watak Rayyan, Aziz M. Osman dipercayai bakal membintangi sekali lagi filem XX Ray terbarunya.

Menurut Aziz, tercetusnya idea untuk menghasilkan filem XX Ray III adalah bermula pada tahun 2015 oleh desakan peminat genre filem fiksyen sains.

Filem XX RAY III
Izzue Islam teraju utama filem XX Ray III

“Desakan peminat filem tempatan yang merasakan filem fiksyen sains ini kurang dihasilkan oleh karyawan filem kita merupakan antara faktor saya menghasilkan XX Ray lll.”

“Biarpun mengambil masa yang lama untuk menghasilkan sambungannya, namun saya percaya jenama XX Ray masih lagi menjadi ingatan peminat,”

– Aziz M Osman

Menurut Aziz untuk filem terbaharunya itu, sesi penggambaran merangkumi dua peringkat dan mengambil masa pengambaran selama 40 hari.

Untuk penggambaran peringkat pertama, filem terbitan Ace Motion Pictures yang menelan belanja sekitar RM2.5 juta ini telah menjalani pengambaran pada tahun 2015 dan peringkat seterusnya dua tahun kemudian di beberapa buah lokasi seperti Melaka, Johor dan Jordan.

Antara barisan pelakon yang membintangi XX Ray lll seperti Izzue Islam, Nonni Nadirah, Adam John, Dazrin Kamaruddin, Ardell Aryana, Asyraf Muslim, Saiful Apek dan ramai lagi.

“Saya tidak perlukan bintang besar kerana saya menjual filem ini secara pakej, bukan sekadar pelakonnya. XX Ray 3 pula sebuah pakej filem yang menyeronokkan,”

– Aziz M Osman

Mengenai pemilihan pelakon pula, Aziz meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pelakon muda untuk menjadi teraju utama dan turut mengekalkan pelakon sebelum ini iaitu dirinya dan Datuk Jalaluddin Hassan yang pernah muncul dalam XX Ray ll.

“Saya tidak terlalu cerewet dalam pemilihan pelakon dan percaya mereka antara pelakon yang digemari penonton. Selain itu, saya melihat setiap barisan pelakon juga telah memberikan yang terbaik untuk menjayakan watak yang diberikan.”

– Aziz M Osman

Pada masa yang sama, pengarah yang berusia 55 tahun ini turut menegaskan hasil filem XX Ray lll itu akan memberikan nafas baharu dari sudut persembahan jalan cerita dan visual yang tiada pada filem tempatan.

Filem XX RAY III
Dazrin Kamaruddin sebagai Rosman

Patung Figura Edisi Terhad Filem XX Ray III

Sekiranya sebelum ini para peminat cuma berpeluang mendapatkan patung figura dengan keluarnya filem adiwira atau robot daripada Hollywood, nampaknya buat julung-julung kalinya filem tempatan arahan Aziz M Osman bakal hadir dengan patung figura tersendiri.

Dalam menawarkan kelainan pada filem ini, pihak terbitan filem mengeluarkan patung figura Prof. Amir Hamzah secara terhad.

Berdasarkan maklumat di laman jualan, cuma 200 ratus patung figura Prof. Amir Hamzah telah ditawarkan di mana setiap satunya mempunyai nombor siri yang tersendiri. Harga bagi sebuah patung figura ini adalah bernilai RM149.90.

Buat para peminat siri filem XX Ray yang sudah hampir 24 tahun menanti trilogi filem ini, kami yakin anda pasti tidak mahu melepaskan peluang dalam mendapatkan patung figura edisi terhad ini. Anda boleh klik disini untuk menjadi 200 peminat terawal mendapatkan patung figura eksklusif ini.

Filem XX RAY III
Aziz M.Osman turut berlakon dalam filem arahannya.

Nantikan Di Pawagam Mulai 24 Januari 2019

Mengimbau kembali fenomena yang lepas, filem pertama “XX Ray” ditayangkan pada umum pada tahun 1992 yang mana ia mendapat sambutan cukup memberangsangkan daripada penonton. 

Kejayaan filem genre sains fiksyen pengembaraan ini kemudian menyaksikan Aziz kembali menghasilkan sekuel filem “XX Ray 2” tiga tahun kemudian yang mana ia ditayangkan pada 1995. 

Sama-sama kita nantikan kemunculan filem ini di pawagam mulai 24 Januari 2019.

Filem XX RAY III

Sinopsis Filem XX Ray III

XX Ray III mengisahkan tentang tiga anak muda iaitu Rayyan (pelajar fizik), Sam (pelajar kejuruteraan zarah) dan Lana (pekerja rahsia syarikat perindustrian yang berpengkalan di Jordan/sempadan Israel) dalam misi untuk menyelamatkan kerajaan Malaysia daripada disabotaj oleh seorang hartawan muda, Rosman yang mengancam untuk mengulangi insiden kehilangan kuasa tenaga elektrik di seluruh negara yang pernah berlaku pada Ogos 1996.

Insiden tersebut disebabkan wormhole (lohong ulat) yang menyerap kuasa utama tenaga elektrik dari stesen jana kuasa di Paka, Terengganu. Lohong ulat terjadi adalah berpunca dari sebuah probe yang tidak dikenali dari angkasa lepas.

Bapa Rosman, Tan Sri Ismail telah mengambil probe tersebut dan menyembunyikannya. Hakikatnya Ace Motion Pictures Sdn. Bhd itu bakal probe tersebut adalah salah satu daripada ribuan probe yang diprogramkan untuk membuka stargate terbesar dan menyerap tenaga matahari untuk dihantar semula ke alam semesta lain.

Ketiga-tiga anak muda itu kemudiannya mencari buku nota yang ditulis oleh Profesor Amir (seorang tokoh ‘urban legend’) yang dipercayai mempunyai jawapan untuk mengawal probe berkenaan dan seterusnya menyelamatkan sistem solar. Apakah yang terjadi seterusnya, filem terbitan ditayangkan di pawagam seluruh negeri pada 24 Januari 2019.

Filem XX RAY III

Barisan Pelakon XX RAY lll

  • Izzue Islam sebagai Rayyan
  • Nonny Nadirah sebagai Lana
  • Adam John sebagai Sam
  • Dazrin Kamaruddin sebagai Rosman
  • Ardell Aryana sebagai Adel
  • Ashraf Muslim sebagai Rizal
  • Saiful Apek sebagai Azli
  • Dato Rahim Razali sebagai Tan Sri Ismail
  • Dato Jalaludin Hassan sebagai Hang Tuah
  • Razak Ahmad sebagai Harun
  • Aziz M.Osman sebagai Amir
Filem XX RAY III

Nota Produksi

Pengarah: AZIZ M.OSMAN

Penerbit: Lily Lokman

Penerbit Eksekutif: Puteri Nurul Aziz & Salbalqish Lokman

Konsep: Topet Hidayat & Puteri Nurul Aziz

Cerita/Lakonlayar: Aziz M.Osman

Pengarah Fotografi: Aryo Pingit & Ramli Long

Pengarah Seni: Khairul ‘Akek’ Md & Bullart Osman

VFX: Imagebox & Eccentro

Penyunting: Aziz M.Osman

Pembantu Pengarah: Dyeanna Ramli

Pengurus Produksi: Zalle

Filem XX RAY III
Filem XX RAY III
Filem XX RAY III
Filem XX RAY III
Filem XX RAY III
Filem XX RAY III
Filem XX RAY III
Filem XX RAY III

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Airliftz Penyanyi Rapper Yang Tidak Didendang

Betul Ke Elfira Loy Nikah Hari Ini 1 Januari?