in

Filem KIMCHI UNTUK AWAK Bakal Buat Penonton Tersenyum

“Mampukah hubungan yang masam dan pedas seperti KIMCHI menjadi semanis COTTON CANDY?” Astro Shaw dengan usaha sama produksi Darkwave Pictures mempertaruhkan filem romantik terbaru iaitu Kimchi Untuk Awak (KUA) yang bakal menjengah pawagam seluruh negara bermula 30 Mac 2017. Filem ini menghidangkan adunan ciri-ciri romantik dan komedi yang mampu menarik dan mengusik hati penonton. KUA merupakan adaptasi dari novel Kimchi Untuk Awak hasil penulisan novelis terkenal Suri Ryana.

Filem ini menjalani penggambaran di Malaysia dan Seoul, Korea iaitu sebuah kota yang sering dikaitkan dengan simbol cinta dan romantik. KUA diarahkan oleh pengarah serba boleh, Michael Ang dan ini merupakan filem pertama arahan beliau di layar perak. Meskipun ia adalah percubaan pertamanya tetapi tidak dapat dinafikan nama beliau semakin mendapat perhatian penonton tempatan kerana sentuhan pengarahannya menerusi drama bersiri dan telemovie yang sering menepati selera penonton dan sekaligus berjaya mencatat rating yang tinggi.

Poster Kua

Filem Pertama Arahan Michael Ang Di Layar Perak

Beralih kepada lakonan, gandingan Aiman Hakim dan Emma Maembong di kaca televisyen sebelum ini selalu menerima pujian ramai dan berbekas di hati penonton. Malah ada penonton mengakui tidak puas melihat lakonan mereka berdua. Keserasian tersebut telah mempertemukan mereka kembali dalam filem KUA dan menjadi pendukung watak utama sebagai Danial Lee dan Bella. Ini merupakan penamat buat penantian penonton yang rindukan gandingan pasangan pelakon itu. KUA juga turut menampilkan pelakon-pelakon popular tanah air iaitu Janna Nick, Sharifah Sakinah, Dira Abu Zahar, Ungku Haris, Natasha Elyzza, Normah Damanhuri, Mandy Chong dan Annuar Chew.

Selain itu, filem ini turut disulami dengan lagu tema utama bertajuk ‘Dia Untukku’ yang diciptakan khas dan dinyanyikan oleh Ippo Hafiz. Muzik video bagi OST ini telah diarahkan oleh Michael Ang serta turut menampilkan Aiman Hakim dan Emma Maembong. Padat dengan lakonan mantap dan dendangan lagu yang cukup merdu, filem ini dijangka dapat menghilangkan dahaga penonton tempatan yang merindukan filem romantis lagi membelai jiwa.

Sementara itu, pihak Astro Shaw telah memuat naik video eksklusif Kimchi Untuk Awak yang berdurasi dua minit di platform Facebook dan Youtube sejak 7 Mac 2017 bagi menyemarakkan keterujaan kepada peminat untuk menyaksikan filem KUA. Malah, gambar dan video memperkenalkan karakter filem yang dikongsikan di akaun Instagram barisan pelakon sendiri juga meraih jumlah setengah juta tontonan.
Astro Shaw sentiasa berusaha dalam menghasilkan filem berkualiti untuk mengangkat industri perfileman tanah air ke tahap yang lebih baik.

Menurut Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar berkata, pihaknya yakin karya ini memiliki kekuatan dan keistimewaan tersendiri untuk menarik penonton ke panggung.

“Filem KUA merupakan kerjasama di antara Astro Shaw dan DarkWave Pictures. Kami telah meletakkan kepercayaan kepada Michael Ang untuk memberi sentuhan pada filem ini. Sudah diakui bahawa nama Michael Ang sememangnya sinonim dengan karya-karya yang bergenre romantik komedi. Namun, kali ini tanggungjawab dan arahannya diterjemahkan dalam bentuk skala besar menerusi filem di layar perak. Dari sudut pasca produksi pula alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan kami berdebar serta teruja menantikan reaksi penonton. Kami berharap filem ini akan mendapat sokongan penuh dari peminat dan penonton.”

Manakala Penerbit Darkwave Pictures, Dato’ Rafiena Ezanee Ramli pula menyifatkan KUA membuka jalan buat mereka untuk terus berjuang dan berkarya. Harapannya adalah agar dapat diberi peluang lagi untuk terus menerbitkan karya-karya yang menepati selera penonton sambil terus mencabar Darkwave Pictures menghasilkan filem yang lebih bermutu tinggi.

Kisah KUA bermula dengan pertemuan Bella (Emma Maembong) dengan lelaki sombong berdarah campuran Melayu Korea, Danial Lee (Aiman Hakim) berlaku secara tidak disengajakan di Lapangan Terbang Incheon dan telah menimbulkan rasa benci di antara mereka. Malah, insiden pertembungan itu terus bersambung apabila takdir sentiasa menemukan Bella & Danial Lee. Sepanjang perkenalan mereka, perasaan Bella yang awalnya benci perlahan-lahan bertukar menjadi cinta. Sementara itu, Danial tidak pasti adakah perasaannya pada Bella adalah tulus atau sekadar mengingatkan pada kekasih lamanya.

Nantikan filem Kimchi Untuk Awak yang akan menemui para penonton melalui pawagam di seluruh negara, mulai 30 Mac 2017. Sila layari laman sosial Facebook, Twitter, Instagram serta Youtube Astro Shaw untuk berita dan informasi terkini. Pengguna laman sosial boleh menggunakan hashtag #KimchiUntukAwak #DaeakKUA #KUA.

Penggambaran Di Myeongdong, Seoul Korea

Emma Maembong Sebagai Watak Bella

Pengarah Michael Ang Memberi Tunjuk Ajar Kepada Pelakon

Pelakon Janna Nick Dan Natasha Elyzza Dalam Salah Satu Babak Di Seoul Korea

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Yang Anda Patut Tahu Tentang Filem COURAGE

Cabaran Rentak Juara 2017 Kini Bermula