in

Festival Filem Malaysia Ke-22

Penganjur masih buka penyertaan sehingga 5 Julai

PENGANJUR Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) menjangka menerima penyertaan lebih 30 filem cereka menjadikan angka itu paling tinggi dalam sejarah festival ini.

Setakat ini sudah 24 filem cereka sudah mengesahkan penyertaan dan angka itu akan meningkat kerana tarikh tutup menyertainya berakhir pada Julai depan, iaitu kira-kira dua bulan lagi dari sekarang. 

 

3485481831 4D50A08487 O | 4

Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan dan Penjurian FFM22, Nancie Foo berkata, jumlah penyertaan yang tinggi itu menunjukkan sokongan yang sangat menggalakkan daripada produser filem.

“Produser kita masih ada masa untuk mengemukakan penyertaan kerana ia dibuka sehingga 5 Julai. Setakat ini 24 filem cereka sudah mengesahkan penyertaan. Syarat penyertaan ialah filem yang sudah siap dan mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) bagi tempoh Ogos 2008 hingga Julai 2009 layak menyertai FFM22. Jadi, walaupun filem itu belum ditayangkan tetapi sudah dapat kelulusan LPF, boleh menyertai festival ini,” katanya kepada Hip.

Bagaimanapun, tidak seperti filem cereka, penyertaan untuk filem animasi, dokumentari dan filem digital serta filem pendek agak perlahan menyebabkan penganjur bekerja kuat dengan menghubungi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) selain stesen TV.

“Kita kena buat kempen secara berterusan, terutama dari IPTA dan IPTS supaya mereka dapat menghantar penyertaan bagi kategoti filem animasi, filem pendek, dokumentari dan digital,” jelas Nancie lagi.

Antara filem yang sudah mengesahkan penyertaan ialah Kami The Movie, Budak Kelantan, Histeria, Jin Hutan, Sayang U Can Dance, Jangan Tegur, Antoo Fighter, Syurga Cinta, Talentime, Maut, Geng: Pengembaraan Bermula, Brainscan: Aku Dan Topi Ajaib, Senario The Movie: Episode 1, Los Dan Faun, Tipu Kiri Tipu Kanan, Selamat Pagi Cinta, CicakMan 2: Planet Hitam, Rasukan Ablasa, Sifu & Tongga dan Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.

Mengikut statistik Maklumat Industri Perfileman di laman web Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), terdapat sekurang-kurangnya 34 filem cereka yang sudah siap dan bersedia untuk ditayangkan.      

FFM22 kali adalah anjuran bersama Finas, Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM) dan Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim). Penganjurannya mendapat sokongan dan pengiktirafan kerajaan menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Kerajaan Negeri Sabah menerusi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Manakala Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula menjadi lokasi rasmi berlangsungnya FFM22.

FFM2 disiarkan secara langsung di RTM

Selepas tiga tahun berturut-turut dibawakan menerusi Astro malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) di Kota Kinabalu, Sabah pada Ogos depan akan disiarkan secara langsung menerusi RTM pula.

Pengerusi Jawatankuasa Promosi & Publisiti FFM22, Mohd Fadzli Abd Aziz berkata, penganjur FFM22 juga kini sudah giat menyusun beberapa program promosi untuk menghebahkan festival ini kepada umum.

Sebagai penghormatan kerana peranannya menjadi tuan rumah, kelebihan pastinya kepada penduduk Sabah terutama sekitar Kota Kinabalu kerana pelbagai aktiviti akan dibuat di sekitar bandaraya ini.

Menurutnya, kempen promosi FFM22 di Sabah turut mendapat kerjasama sangat baik daripada Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Sabah Tourism dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta UMS sendiri.

Katanya, pelbagai acara berbentuk akademik turut dirancang seperti forum dan simposium berkaitan dengan industri perfileman menjelang hari kemuncak festival ini.

“Kita merancang untuk memulakan promosi FFM22 dengan Pesta Tadau Kaamatan di Kota Kinabalu pada 14 Mei depan. Memang kali ini fokus kita adalah di negeri Sabah. Malahan dalam perancangan jawatankuasa ini juga, kita adalah untuk membawa delegasi FFM22 nanti untuk melawat sama ada ke laut, bukit bukau atau gunung. Ini termasuk mengadakan siri Jejalah FFM22 Kinabalu kira-kira seminggu sebelum festival filem berlangsung. Kita juga turut mengadakan program sampingan seperti uji bakat dan sebagainya bagi memeriahkan lagi aktiviti memeriahkan FFM22,” katanya.

Mengenai promosi penyertaan, Mohd Fadzli berkata, pihaknya turut melakukan pelbagai hebahan dengan mengedarkan poster dalam hampir semua IPTA dan IPTS.

“Hebahan sudah dilakukan di IPTS dan IPTA. Malah stesen radio dan TV juga turut memberikan kerjasama yang baik untuk memaklumkan mengenai jemputan penyertaan filem di FFM kali ini, terutama bagi kategori filem pendek, dokumentari, digital dan animasi,” jelasnya. [sumber]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ulfa Pemenang Utama The Beat Talent Search

Trivia: Awal Ashaari Angkat Sape Ni?