in

The Federal Kuala Lumpur Lokasi Terbaik

Tersergam indah di tengah-tengah kesibukan Kuala Lumpur, hotel The Federal Kuala Lumpur merupakan sebuah hotel berbintang empat bertaraf dunia yang menawarkan perkhidmatan terbaik buat para tamunya. Sebagai salah satu rangkaian hotel di bawah kumpulan Federal Hotels International yang juga mempunyai hartanah di luar Malaysia, The Federal Kuala Lumpur berjaya membuktikan yang mereka mampu mewujudkan suasana terbaik dan selesa buat setiap pengunjungnya.

Lokasinya di tengah-tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur di pusat jalan paling terkenal iaitu Jalan Bukit Bintang menjadikannya mudah ditujui. Ia juga berada berdekatan dengan stesen monorel Bukit Bintang. Cuma beberapa langkah sahaja dari stesen monorel tadi sudah cukup untuk sampai ke perkarangan pintu masuk hotel.

Federal Hotel

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa hotel ini merupakan sebuah hotel yang kaya dengan sejarah. Ia telah dibina untuk menyambut hari kemerdekaan Tanah Melayu dan merupakan salah satu hotel tertua di Kuala Lumpur dan Malaysia . Bermula dengan hanya 90 buah bilik hotel ini sekarang mempunyai 450 buah bilik yang dihias secara mewah dan eksklusif, hotel ini turut menawarkan pemandangan pusat bandaraya KL dengan penuh gah. Malah beberapa bilik di sayap baru Merdeka Wing telah diperbaharui dan kesemua bilik dilengkapi dengan kemudahan terkini seperti sambungan internet wi-fi, TV kabel dan lain-lain. Selain bilik-bilik di Merdeka Wing, terdapat juga bilik Studio Deluxe dan Deluxe Family buat yang berkeluarga. Biliknya juga sangat menarik, apatah lagi dengan senireka kontemporari yang menepati keselesaan para tamu.

Kalau soal menjamu selera di hotel ini pula terdapat beberapa restoran seperti Kontiki Restaurant yang masih baru dan telah dibuka secara rasmi oleh Dato Bandar KL. Selain itu terdapat juga restoran lain seperti The Verandah untuk sarapan dan sebagainya, The Taj sebuah restoran India, The Mandarin Palace sebuah restoran Cina dan yang paling hebat adalah Bintang Revolving Restaurant. Restoran berputar ini merupakan satu mercu tanda hotel ini yang mungkin tidak diketahui oleh masyarakat Malaysia sekarang. Ia sebenarnya telah lama berada di situ sejak permulaan hotel ini.

The Federal Kuala Lumpur juga mempunyai sebuah kolam renang,untuk beriadah dan menenangkan diri. Ia juga mempunyai bilik-bilik khas buat mesyuarat serta seminar dan juga dewan utama untuk mengadakan majlis besar-besaran seperti perkahwinan, pameran dan seumpamanya.

Tidak terlalu jauh dari hotel ini juga adalah sebuah pusat membeli-belah elektronik terkemuka Malaysia iaitu Low Yat Plaza. Low Yat Plaza juga merupakan salah satu bangunan di bawah hak milik pengurusan Federal Hotels International. Kewujudan plaza itu juga memudahkan para tamu yang ingin mencuba makanan tempatan atau membeli barangan tertentu kerana di situ juga terdapat banyak tempat makan berdekatan. Pendek kata, hotel ini memang menjadi juara soal lokasi kerana terletak di tengah-tengah segalanya. Tempat membeli-belah, tempat makan dan macam-macam lagi tarikan pelancong ada di jalan Bukit Bintang. Dan posisi hotel ini yang berada di tengah Bukit Bintang menjadikannya laluan paling sesuai untuk mereka yang ingin bersantai di situ.

Sekiranya anda tercari-cari hotel yang bagus dan menawarkan perkhidmatan terbaik di samping lokasi yang sangat strategik, singgahlah di hotel The Federal Kuala Lumpur kerana ia benar-benar praktikal serta mudah dikecapi!

Lokasi Terbaik The Federal Kuala Lumpur
oleh Shah Shamshiri

Federal Hotel

Federal Hotel

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

UNIQLO Launches Holiday Campaign

The Empire Hotel & Country Club Empayar Keriangan