in

Ada Sebab Fazura Memilih Bernaung di Bawah Syarikat Rakaman Universal Music

Pada siang tadi, Budiey telah menghadiri satu majlis anjuran syarikat rakaman gergasi Universal Music Malaysia yang diadakan di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur. Majlis menandatangani kontrak sepenuhnya karier Fazura di bawah naungan Universal Music Malaysia ini pastinya menjadi titik tolak kepada karier selebriti terkenal ini kerana ia meliputi keseluruhan pengurusan termasuklah urusan karier Fazura. Tahniah Fazura. Selamat maju jaya.

Telah terlebih dahulu mencetak nama sebagai aktres kelas pertama dalam dunia lakonan, ternyata ia belum mampu menokhtahkan kebebasan Fazura untuk meneroka lapangan hiburan dengan lebih jauh.

Seiring dengan berkembangnya tawaran lakonan sehingga ke Indonesia, Fazura tidak mahu momentum kariernya terarah kepada satu bidang sahaja.

Fazura yang menjadi penyanyi wanita pilihan grup terkenal Estranged menerusi kolaborasi dalam hit Hancur Aku pada 2015, terlebih dahulu melahirkan single perdananya, Sayangi Dirimu pada 2014.

Universal Music X Fazura Pengurusan 360

Seperti tersusun cantik dan tidak mahu menoleh ke belakang, Fazura yang sebelum ini tidak pernah mempertaruhkan karier seninya di bawah pengurusan sebuah syarikat telah mengambil langkah berani apabila kini secara rasmi mengikat kontrak bersama syarikat rakaman gergasi Universal Music.

Namun, kontrak yang ditandatangani bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, sebaliknya, Fazura memberi kepercayaan penuh terhadap Universal Music untuk menguruskan segala urusan karier seninya termasuk kontrak sebagai duta dan hal berkaitan.

Fazura

Keputusan tersebut diambil bukan sekadar untuk memastikan kerjayanya dalam bidang seni lebih kukuh, tetapi Fazura mahu memastikan impak yang besar dan lebih positif terjadi kepada karier seninya.

“Pihak kami telah lama mengikuti perkembangan karier Fazura. Sebagai anak seni, beliau memiliki perjalanan karier yang baik dan memberi pengaruh besar terhadap banyak peminatnya.

“Apabila melihat kepada perjalanan kariernya yang positif dan semangat beliau untuk terus berkembang maju, Universal Music tidak teragak-agak mengikat kontrak dengan Fazura dan mengambil tanggungjawab besar serta memainkan peranan untuk mencorakkan kerjaya seninya daripada segenap segi.

“Besar harapan kami, agar kerjasama yang dijalinkan ini akan memancarkan lagi pesona Fazura dalam dunia hiburan,” ujar Pengarah Urusan Universal Music Malaysia & Singapura, Encik Kenny Ong.

Sehubungan itu, Universal Music dengan bangganya mempersembahkan single kolaborasi Fazura bersama pemenang The Voice Filipina musim ke-2, Jason Dy.

Menepati janji mereka, single tersebut menyaksikan Fazura tidak duduk dalam zon selesa negara sendiri apabila beliau menjalin kolaborasi bersama Jason Dy untuk lagu berjudul “Nothing Like Pag Ibig”.

Kolaborasi itu sekali gus menyaksikan Fazura bakal menakluk pasaran muzik Filipina, sama seperti beliau sukses memikat hati peminat di Indonesia dengan bakat lakonannya.

“Untuk ‘salam perkenalan’ pesona Fazura, pihak kami berbangga mempersembahkan kolaborasi beliau bersama Jason Dy, seorang penyanyi di Filipina.

“Kolaborasi ini secara tidak langsung membuktikan Universal Music begitu komited dan serius untuk memberi anjakan besar terhadap karier nyanyian Fazura.

“Seperti yang kita sedia maklum, beliau sudah berjaya menawan hati peminat Indonesia dengan lakonannya, saya percaya menerusi single duet Nothing Like Pag Ibig, peminat Filipina akan terpesona pula dengan bakat nyanyiannya,” ujar Kenny lagi.

Sementara itu, Fazura juga berbesar hati dan cukup teruja untuk melihat perkembangan positif selepas beliau menyerahkan masa depan karier seninya kepada Universal Music.

“Saya mengambil keputusan memberi kepercayaan penuh untuk Universal Music menguruskan karier seni saya kerana portfolio syarikat rakaman ini cukup baik.

“Dari segi nyanyian, banyak penyanyi hebat bernaung dengan Universal termasuk Yuna dan Dato’ Siti Nurhaliza yang menyerahkan kerja pengedar album kepada Universal.

“Justeru saya terpanggil untuk duduk di bawah Universal Music agar bukan sahaja kerjaya nyanyian saya dikembangkan dengan lebih baik, tetapi memastikan karier seni saya lebih terurus dan terjamin. Dan saya percaya bahawa Universal Music akan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik,” ujar Fazura.

Sepertimana Universal Music, Fazura cukup teruja menantikan respons terhadap kolaborasi perdananya dengan Jason Dy, sementelah ia merupakan kerjasama pertamanya dengan anak seni dari Filipina.

Pihak pengurusan Universal Music juga telah merangka dan menyusun projek istimewa Fazura di luar bidang nyanyian seiring dengan kepercayaan yang diberikan untuk memperkembangkan karier seninya.

Fazura

Fazura

Fazura

Fazura

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini beliau aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Cinta Dua Darjat Zara Zya & Aiman Hakim Redza dalam Telemovie Kamal Kamalia

TV2 Siar Siri Romantik Komedi Korea HYDE, JEKYLL, ME