in

Fast & Furious Lakonan Vin Diesel, Paul Walker, Michelle Rodriguez

Filem: Fast & Furious

Genre: Aksi

Pengarah: Justin Lin   

Pelakon: Vin Diesel, Paul Walker, Michelle Rodriguez, Jordana Brewster, John Ortiz, Laz Alonso, Sung Kang

Tayangan: Mulai 2 April

Layari: http://www.fastandfuriousmovie.net

BERMULA dengan The Fast & The Furious pada 2001, filem yang mengetengahkan aksi dan kisah berpaksikan pada perlumbaan kereta itu disusuli dengan beberapa lagi siri seperti 2 Fast 2 Furious (2003) dan The Fast and the Furious: Tokyo Drift (2006). Kini, siri keempat filem terbabit, Fast & Furious, sedang rancak ditayangkan di negara ini.

Menariknya filem arahan Justin Lin yang turut mengarahkan Tokyo Drift ini kerana ia menggabungkan semula empat pelakon asal – Vin Diesel, Paul Walker, Jordana Brewster dan Michelle Rodriguez. Selain itu, segala elemen mendebarkan termasuk babak kejar mengejar kereta serta adegan tembak menembak terus menjadi teras cerita.

Menerusi filem keempat ini, penonton dibawa mengikuti kehidupan Dominic Toretto (Diesel), pelarian yang kembali membakar jalan raya dengan kelajuan pecutan keretanya. Fast & Furious 4 membuka tayangan dengan babak Toretto bersama pasukannya cuba merompak minyak daripada lori tangki yang ketika itu dipandu di kawasan berbukit di negara Amerika Latin.

Kemudian, menyedari bahaya yang mungkin menimpa anggota kumpulannya, terutama orang yang disayanginya, Letty (Rodroguez), Toretto mengendurkan kegiatannya dan membawa diri ke tempat lain. Begitupun, dia kembali ke kota asal, Los Angeles, apabila dia diberitahu adik perempuannya, Mia (Brewster), Letty mati dibunuh.

Kepulangan itu menemukan semula Toretto dengan ejen Brian O’Connor (Walker), lelaki yang hampir membuat dirinya ditangkap pihak berkuasa apabila dia menyelinap masuk ke dalam kumpulannya sebelum ini. Begitupun, pertelingkahan antara mereka perlu dihentikan, sebaliknya mencari perdamaian baru seandainya kedua-duanya mahu menumpaskan musuh yang sama.

Toretto ingin membalas dendam atas kematian Letty, manakala O’Connor pula ingin melumpuhkan operasi sebuah kumpulan diketuai Braga yang mengupah pelumba terbaik membawa dadah menyeberangi sempadan. Menyedari mereka mencari sasaran yang sama, kedua-duanya perlu bekerjasama untuk menumpaskan lawan.

Mengekalkan formula sama untuk memikat peminat, Fast & Furious menampilkan babak aksi yang mengecutkan perut. Daripada adegan pembukaan menyaksikan bagaimana Toretto dan kumpulannya mencuri tangki minyak yang sedang bergerak di jalan raya, perlumbaan di tengah kota Los Angeles ketika dia dan O’Connor ingin merebut tempat memasuki kumpulan Braga, hingga ke babak perlumbaan menyeludup dadah menyeberangi sempadan menerusi laluan sempit terowong, penonton pasti terperosok di tempat duduk dek aksinya yang menyesakkan dada.

Tidak cukup dengan aksi kereta, babak tembak-menembak yang beberapa kali diselitkan, menghangatkan lagi cerita. Manakala kehadiran ramai gadis jelita berpakaian seksi untuk babak keraian serta trek lumba tentunya menarik perhatian penonton lelaki untuk membeli tiket. Sebagaimana biasa, muzik rancak irama hip hop tidak ketinggalan menghiasi latar cerita.

Filem Fast & Furious 4 kali ini tentunya menjadi hidangan terbaik buat peminat yang merindui aksi lasak Vin Diesel dan mereka yang yang gemarkan dunia perlumbaan kereta. Kisah dendam dan siasatan jenayah menerusi penyamaran, seperti yang dapat disaksikan dalam filem ini sudah biasa dipersembahkan. Tetapi siapa yang menghiraukan jalan ceritanya, apabila hiburan sebenar terletak pada aura bintang serta aksi liar yang dipaparkan? [sumber]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Album XPDC Reunion RASOPARISO

Regain Youthful Skin With The Innovative E2 Treatment Series