in ,

Fasiliti Berkelas Dunia, Johor Bersedia

Menteri Besar puji infrastruktur SUKMA XX Johor 2020

Selepas hampir tiga tahun persiapan dilakukan oleh pihak penganjur SUKMA XX Johor 2020, kini hampir kesemua kemudahan dan infrastruktur bagi temasya dwi-tahunan tersebut bersedia untuk menerima para atlet yang akan beraksi di Johor pada tahun hadapan.

Johor yang kali terakhir menjadi tuan rumah Sukan Malaysia pada tahun 1992, telah membina sebanyak sembilan venue baharu yang meliputi Stadium Olahraga & Ragbi Mount Austin, Arena Emas, Taman Impian Emas bagi acara Petanque, Boling Padang, Skuasy dan memanah serta mercu tanda baharu di negeri Johor iaitu Velodrom Johor yang terletak di Iskandar Puteri.

Fasiliti Berkelas Dunia, Johor Bersedia

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Ir. Hasni Mohamad hari ini memuji semua agensi yang terlibat di dalam memastikan kerja-kerja pembinaan dan penambahbaikan venue-venue yang akan digunakan pada SUKMA XX Johor 2020. “Pujian harus diberikan kepada semua pihak khususnya agensi kerajaan dan swasta yang bertungkus lumus memastikan semua kemudahan ini dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya ketika mengadakan lawatan ke venue temasya SUKMA XX Johor 2020 hari ini.

“Hasil tinjauan saya pada hari ini, saya amat berpuas hati dengan kemajuan kerja- kerja pembinaan dan menaik taraf semua gelanggang dan fasiliti. Tiada projek yang terlambat malah ada beberapa venue sudah boleh diuji oleh para atlet Johor sedikit masa lagi.”

Fasiliti Berkelas Dunia, Johor Bersedia

Sebanyak RM467.9 juta telah dibelanjakan bagi menyiapkan fasiliti berkelas dunia serta menaik taraf kemudahan sedia ada. Sementara sejumlah RM325.9 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri serta turut menerima peruntukan daripada kerajaan persekutan berjumlah RM142 juta.

“Saya juga berterima kasih kepada kerajaan persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan kerana telah memperuntukkan sebanyak RM142 juta bagi membantu kita membina baharu serta menaik taraf infrastruktur yang ada sebagai persediaan kita menganjurkan SUKMA edisi ke-20 ini dengan penuh jayanya,” tambah Hasni.

Datuk Ir. Hasni Mohamad turut menambah, Johor kini bersedia untuk menganjurkan kejohanan sukan berkelas dunia selaras dengan visi mahu menjadi kuasa sukan era baharu serta berharap segala kemudahan ini dapat meningkatkan motivasi kepada kontinjen Johor untuk muncul juara keseluruhan di tempat sendiri.

Fasiliti Berkelas Dunia, Johor Bersedia

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ), Dato’ Haji Mohd Noorazam Dato’ Haji Osman turut meluahkan rasa bangga apabila venue-venue yang dipertanggungjawabkan kepada agensi di bawahnya berjaya disiapkan mengikut jadual. “Kami bertanggungjawab bagi membina venue-venue SUKMA antaranya Stadium Olahraga, Ragbi dan Lapang Sasar di Mount Austin, Velodrome Johor dan Trek BMX di Iskandar Puteri, 3 padang bola sepak di Dataran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, fasiliti sukan pelayaran di Desaru, Kota Tinggi dan Arena Emas bagi acara petanque, boling padang, skuasy dan memanah di Taman Impian Emas.

“Fasiliti yang berwajah moden dan berkelas dunia ini sudah pasti akan menjadi daya tarikan baharu di Johor. Untuk makluman, Stadium Olahraga di Mount Austin boleh menempatkan sebanyak 5,000 penonton serta menepati piawaian antarabangsa,” kata Noorazam lagi.

Fasiliti Berkelas Dunia, Johor Bersedia

Kos untuk pembinaan stadium di Mount Austin ini telah menelan belanja sebanyak RM180.6 juta. Antara venue lain yang dibina adalah Dataran Bola Sepak Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Youth Hub Iskandar Puteri, Stadium Tertutup Arena Larkin dan Pusat Menembak Johor yang turut terletak di Mount Austin.

Manakala bagi gelanggang yang dinaiktaraf pula merangkumi Stadium Hoki Taman Daya, Pusat Akuatik Arena Larkin, Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya bagi sukan Wushu, Akademi Majlis Kriket Johor di Mutiara Rini dan Sireh Park, Iskandar Puteri bagi Sukan berbasikal MTB serta Dewan Tengku Mahkota, Muar bagi Sukan Angkat Berat.

SUKMA XX Johor 2020 akan dilangsungkan di tiga daerah iaitu Johor Bahru, Muar dan Kota Tinggi. Sebanyak 28 acara sukan akan berlangsung di Johor Bahru manakala Muar akan menempatkan sukan kanu, angkat berat dan silambam serta Kota Tinggi menjadi gelanggang buat sukan pelayaran dan berbasikal lebuh raya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pelakon Nisha Dirr Kini Bergelar Isteri Kepada Ahli Perniagaan

Erra Fazira Dilantik Jadi Duta Produk Faith Fleur