in ,

Enam Bulan Job Melayang, Raja Afiq Kini Lebih Matang

ORANG lain buat salah, orang lain pula yang kena tempias sampai periuk nasi pun dah penuh pasir sehingga terpaksa mencari rezeki dengan cara lain.

Pelakon berbadan tegap, Raja Afiq mengakui bahawa selepas dia dituduh terlibat dalam isu anak luar nikah, dia langsung tidak menerima sebarang tawaran lakonan sepanjang tempoh enam bulan.

“Saya pernah melalui kejatuhan apabila enam bulan tidak menerima sebarang tawaran berlakon disebabkan nama saya terpalit dengan kontroversi,” katanya dipetik daripada portal mStar Online.

Raja Afiq

Menurut Afiq atau nama sebenarnya, Raja Muhammad Afiq Raja Razali, sepanjang tempoh itu, dia hanya mencari rezeki dengan menjual pemanis mulut brownies bagi menampung kehidupannya bersama keluarga.

“Ketika itu saya hanya menjual makanan pemanis mulut seperti brownies dan red velvet menerusi laman sosial,”

– Afiq

Selepas isu itu lenyap, barulah dia mendapat beberapa tawaran berlakon sekitar awal tahun ini.

Disebabkan itu, dia menjadikan kontroversi itu sebagai satu pengajaran baginya dalam melakar nama dalam dunia seni.

Bagaimanapun, dia masih meneruskan lagi perniagaan brownies itu kerana baginya perniagaan itu seperti satu peringatan kepada dirinya sendiri sepanjang bergelar pelakon.

“Alhamdulillah, saya sudah menerima tawaran berlakon pada awal tahun ini. Sebagai anak seni menjadi perkara biasa apabila perlu melalui zaman turun naik.

“Fokus utama saya pada tahun ini ialah untuk membina semula karier lakonan. Nak menaikkan semula nama saya dalam industri.

“Namun, perniagaan jual makanan itu saya masih teruskan sebab ia sebagai peringatan ketika saya susah dan hanya itulah rezeki,”

– Raja Afiq

Tahun lalu, beberapa nama selebriti lelaki turut terpalit dengan isu pengakuan seorang wanita yang kononnya telah hamil anak luar nikah hasil hubungan sulit bersama dengan seorang pelakon lelaki popular.

Tetapi, tidak lama selepas itu, wanita berkenaan baru mengakui bahawa bapa kepada anak di dalam kandungannya bukanlah milik mana-mana selebriti lelaki tanah air.

Raja Afiq

Terbaharu, Afiq kini muncul dengan imej baru bagi memenuhi kehendak watak dalam lakonan baharunya.

Malah, pelakon berusia 25 tahun itu turut sanggup melakukan perubahan pada rambutnya bagi kelihatan berbeza dalam apa jua watak lakonannya.

“Saya memang sanggup ubah penampilan untuk kelihatan berbeza daripada drama sebelum ini. Sebagai seorang artis, kena buat perubahan itu.

“Selama ini penonton tengok saya dalam drama ada rambut, kali saya nak nampak lain. Jadi, saya potong rambut hampir botak,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, pelakon drama Sayangku Kapten Mukhriz itu juga sedang sibuk menjalani penggambaran bagi drama berjudul Cinta Bukan Kristal untuk siaran slot Akasia TV3.

Selain Afiq, antara pelakon lain yang bakal membarisi drama berkenaan ialah Sharnaaz Ahmad, Ayda Jebat, Ayu Raudhah, Esma Daniel, Noniswara dan ramai lagi.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Zahirah MacWilson Hanya Kawan Dengan Syafiq Kyle Tolak Cinta Lokasi

Nelydia Senrose Tayang Cincin Dapat Perhatian Netizen