in

The Empire Hotel & Country Club Empayar Keriangan

Entah kenapa, Brunei Darussalam kurang menjadi sebutan di kalangan para pengembara yang suka bercuti di sekitar Asia Tenggara. Namun sebenarnya, negara ini kaya dengan sejarah serta tarikannya yang tersendiri. ‘Kecil-kecil cili padi’ kata pepatah Melayu. Biarpun negaranya kecil dan jumlah penduduknya tidak ramai, ia merupakan salah satu negara terkaya di dunia berkat rezeki minyak petrol dan gas yang ada. Selaras dengan sumber pendapatan tersebut, ramai warga asing yang pergi ke sana untuk bekerja dengan syarikat-syarikat swasta yang berkecimpung dalam bidang tersebut.

empire 2

Sungguhpun begitu, sekiranya anda termasuk di kalangan mereka yang tidak pernah ke Brunei dan ingin tahu apa yang ada di sana pastikan anda memilih tempat penginapan terbaik di sana iaitu The Empire Hotel & Country Club. Gah seperti namanya, ia merupakan hotel paling mewah serta termahal di Brunei. Ia merupakan satu-satunya hotel mewah bertaraf lima bintang yang terdapat di negara tersebut. Malah ada beberapa laman sesawang serta penerbitan yang memberikannya enam dan tujuh bintang berkat kehebatan pembinaan serta infrastrukturnya.

Terletak di kawasan popular Brunei iaitu Jerudong, ia hanya memakan masa sekitar 20 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan sekitar sepuluh minit dari pusat kota Bandar Seri Begawan.

Sesuai dengan namanya yang meliputi kawasan nan luas dan hijau, ia dikelilingi oleh persekitaran alam semulajadi yang indah mirip sebuah taman yang besar serta sebuah pantai peribadi berhadapan lautan biru Brunei. Dengan keluasan sejauh mata memandang, resort ini merupakan perhentian lengkap buat percutian, mesyuarat serta perniagaan. Ia dilengkapi dengan sebuah panggung wayang, padang golf bertaraf antarabangsa, lima buah kolam renang, sebuah pusat boling, tiga buah gelanggang tenis, dua buah gelanggang skuasy serta dua buah gelanggang badminton.

Kesemua pilihan penginapan di sini sangat sesuai buat mereka yang ingin bercuti dengan keluarga, rakan-rakan ataupun berbulan madu. Dengan pelbagai jenis konsep penginapan berbeza, dari bilik, suite, pangsapuri sehinggalah Villa peribadi, para pengunjung pasti berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan kerana semuanya berkonsep mewah. Setiap unit penginapan mempunyai kelengkapan terkini serta sambungan wi-fi secara percuma.

Apatah lagi resort ini turut menyediakan Clubhouse bagi mereka yang ingin mengadakan acara-acara besar serta mesyuarat-mesyuarat penting. Clubhouse ini juga sering menjadi kunjungan para tamu resort untuk perkhidmatan lain seperti spa, gimnasium untuk beriadah dan juga tempat untuk makan tengah hari serta makan malam.

Bagi tujuan menjamu selera pula terdapat beberapa tempat makan seperti Atrium Cafe, Spaghettini Italian Trattoria, Lobby Lounge, Restoran Makanan Cina Li Gong, Bunker Bistor serta Pantai dan Zen Pavilion. Lebih menarik lagi, kesemua tempat makan di sini adalah disahkan halal. Ini sesuai dengan piawaian hukum syariah yang ditetapkan di negara Brunei. Jadi para pengunjung beragama Islam tidak perlu was-was dengan sajian yang disediakan.

Ini hanya sedikit sahaja gambaran mengenai apa yang dapat dinikmati oleh para pengunjung yang meluangkan masa di The Empire Hotel & Country Club. Terdapat banyak lagi aktiviti yang boleh dilakukan seperti bermain golf buat yang sukakan dan banyak lagi.

Secara kesimpulannya The Empire Hotel & Country Club benar-benar persinggahan yang sesuai untuk bercuti dan berehat kerana ia bukan sekadar penginapan mewah bertaraf antarabangsa sahaja malah sebuah perhentian yang lengkap dengan pelbagai aktiviti serta tarikan bagi mereka yang ingin menghabiskan waktu bersama orang tersayang. Dengan lokasinya yang tidak jauh dari pusat kota serta lapangan terbang, ia sangat mudah ditujui. Jadi, kalau ada waktu di hujung minggu atau bercuti panjang di Brunei, singgahlah ke sini untuk beristirehat serta berekreasi!

The Empire Hotel & Country Club : Empayar Keriangan
oleh Shah Shamshiri

empire 4

empire 3

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

The Federal Kuala Lumpur Lokasi Terbaik

Jeritan Batinku Arahan Micheal Ang Untuk Slot Tribute P.Ramlee