in ,

DRAMA TELEFILEM ANUGERAH SKRIN 2012

ANUGERAH SKRIN KEMBALI…
Sebahagian Telefilem Terpilih Bakal Serikan Malam Ahad Anda

Penganjuran anugerah berprestij, Anugerah Skrin kini kembali untuk memberi pengiktirafan kepada karyawan-karyawan seni tanah air pada bulan November ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Anugerah Skrin bukan sahaja memberi ruang kepada penggiat seni untuk memperkembangkan lagi bakat seni, malah ia juga menggalakkan mereka berusaha lebih gigih dan berkarya secara kreatif dalam menghasilkan produk yang bermutu tinggi sekali gus memartabatkan hasil seni negara.

Bagi menyemarakkan lagi debaran Anugerah Skrin 2012, TV3 bakal menayangkan semula sebahagian daripada telefilem yang tercalon ke Anugerah Skrin 2012. Ia akan disiarkan setiap Ahad, jam 9.00malam – 11.00 tengah malam mulai 16 September 2012 hingga 4 November 2012, antaranya, Pelarian, Ku Petik Dosa, Di Telapak Kaki Bonda, Bedah Tong Gas, Aku Mahu Terbang, Ajaibnya Cinta, Hilangnya Doa Seorang Ibu dan Maharku Untukmu.

Ku Petik Dosa (2)

Seperti tahun sebelumnya, selain rangkaian televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad yang terdiri daripada TV3, NTV7, 8TV dan TV9, pihak penganjur juga turut menjemput stesen televisyen RTM, ASTRO dan juga TV Al-Hijrah untuk sama-sama menyertai anugerah yang berprestij ini. Kesemua rangkaian televisyen ini layak untuk menghantar penyertaan bagi terbitan drama dan terbitan dalaman yang pernah disiarkan di stesen televisyen mereka untuk merebut anugerah bagi kategori yang dipertandingkan mengikut syarat yang telah ditetapkan.

Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9 berkata, “Anugerah Skrin sudah pun memasuki tempoh usia matang di mana ianya dinanti-nantikan oleh para karyawan dan artis tanah air untuk menjulang nama mereka. Seperti yang pernah kami tegaskan sebelum ini, Anugerah Skrin bukanlah pertandingan antara stesen televisyen, tetapi drama dan terbitan bermutu yang disiarkan melalui stesen-stesen ini yang dipertandingkan. Kami berharap agar penganjuran ASK 2012 turut mendapat kerjasama dan sokongan positif dari rakan-rakan stesen televisyen yang lain.”

“Untuk makluman, pihak kami akan mengumumkan dengan lebih terperinci mengenai kategori keseluruhan pencalonan termasuklah senarai nama drama, filem dan juga barisan pelakon serta produksi yang telah disenarai pendek di dalam satu majlis sidang akhbar khas Anugerah Skrin 2012 pada bulan Oktober nanti,” tambah Cik Sherina.

Anugerah Skrin memberi pengiktirafan kepada pengeluar–pengeluar drama, filem dan produksi TV tempatan. Telefilem dan drama bersiri yang dicalonkan pula adalah hasil penerbitan syarikat yang memenuhi slot-slot drama di semua rangkaian televisyen setiap minggu. Antara faktor yang menyebabkan telefilem dan drama bersiri ini terpilih untuk ditayangkan di kaca televisyen adalah garapan skrip yang baik, jalan cerita yang sempurna, lakonan yang mantap dan mutu penerbitan yang baik serta mampu menyampaikan mesej positif disamping boleh menarik perhatian penonton. Calon-calon yang dipertandingkan pula terdiri daripada terbitan yang telah ditayangkan di kaca TV dan pawagam mulai 1 Julai 2011 hingga 30 Jun 2012 dan pencalonan drama yang berdasarkan catatan jumlah penonton yang berjaya diraih mengikut kajian Nielsen Audience Measurement mengikut ‘genre’ masing-masing. Semua pencalonan akan dinilai oleh panel juri profesional yang dipilih.

Ku Petik Dosa (1)

Berikut adalah sinopsis antara TELEFILEM ANUGERAH SKRIN 2012:

Pelarian (16 September 2012, 9.00malam)
“Pelarian” mengisahkan tentang tiga beradik, Muhamad, Miza dan Bobok mencari ibu mereka yang meninggalkan mereka untuk mencari suaminya. Pengembaraan Muhamad, Miza dan Bobok bermula apabila mereka pergi ke bandar untuk mencari ibu mereka, Ramlah yang turut membawa sama adik mereka yang cacat iaitu Yusoff. Tiga beradik ini melalui pelbagai dugaan dan cabaran dalam usaha untuk mencari ibu yang masih tidak dapat dipastikan nasib mereka. Muhammad mendapat perlindungan di Yayasan Rabiah manakala Miza terjerumus di lembah kota.
Pelakon: Aeril Zafril, Vanidah Imran, Sharifah Amani, Talha Harith, Azhan Rani, Noorkhiriah.

Di Telapak Kaki Bonda (23 September 2012, 9.00malam)
Fairuz, seorang pembuat sepatu manik yang mewarisi kemahiran kaum Peranakan yang unik tersebut daripada ibu mertuanya yang merupakan seorang Nyonya, Bibik Lim. Bibik Lim menyayangi Fairuz sebagai anak kandung dan telah menurunkan ilmunya tentang cara menyulam manik atas sepatu nyonya kepadanya. Namun, Fairuz tidak mempunyai hubungan yang baik dengan ibunya sejak meninggalkan kampung untuk menyambung pelajaran di bandar kerana tidak direstui oleh ibunya, Umi Kalsom. Fairuz pada zaman mudanya seorang gadis yang keras kepala dan sangat memberontak. Kini, Fairuz telah berubah menjadi seorang wanita yang berpegang teguh kepada agama dan nilai-nilai murni. Harapan Fairuz untuk memperbaiki hubungannya dengan Umi Kalsum tersimpan dalam sebelah sepatu manik yang disulam ‘Al-Jannah’. Apakah doanya akan dimakbulkan?
Pelakon: Diana Danielle, Hansen Lee, Hairie Othman, Sherry Merlis, Angelina Tan, Munif Isa, Izreen Azminda, Shukri Yahaya.

Ku Petik Dosa (30 September 2012, 9.00malam)
Aina dan Haris berkahwin pada usia yang muda dan dikurniakan anak perempuan, Nia Qaseh. Aina mengambil keputusan untuk kembali bekerja apabila mereka tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membelikan pakaian yang berjenama dan menghantar Qaseh ke sekolah tadika swasta. Qaseh telah dihantar ke rumah jirannya, Kak Sal. Bermulalah kehidupan Aina dan Haris yang sibuk bekerja siang dan malam. Suami Kak Sal, Khalid yang terlalu mengikut nafsunya telah menodai kanak-kanak yang masih kecil itu. Kak Sal menjadikan Qaseh sebagai mangsa kemarahannya terhadap Khalid dan merahsiakan hal tersebut daripada Aina dan Haris. Perwatakan Qaseh mula berubah menjadi penyedih dan pendiam. Kebetulan Aina sedang mengandung anak kedua maka perubahan Qaseh dianggap merajuk dan merasakan dirinya tidak disayangi. Keadaan Qaseh semakin teruk sehingga dia selalu demam dan akhirnya muntah darah dan pengsan. Aina mengejarkannya ke hospital dan terkejut apabila pihak hospital mengesahkan Qaseh didera dan dirogol.
Pelakon: Fasha Sanda, Fadilah Mansor, Zaidi Omar, Farah Nadia, Fikree Bakar

Ajaibnya Cinta (1)

Bedah Tong Gas (7 Oktober 2012, 9.00malam)
Bedah menjalankan perniagaan menjual tong gas dalam kampungnya. Dia yang baru sahaja mencecah 27 tahun merupakan anak tunggal kepada Mak Senah, seorang penjual jamu kurus. Gaya Bedah tidak ubah seperti artis wanita yang cantik. Dia merasakan dirinya antara yang paling cantik dalam kampung. Bedah mempunyai akaun Facebook dan laman blog iaitu www.bedahtonggas.blogspot.com. Laman Facebooknya pula dia menggunakan nama ‘Bedah Cun’. Dua orang pemuda nakal kampung iaitu Zamri dan Ucop sering mengganggu Bedah. Mereka berdua suka mengenakan Bedah termasuklah menyamar menjadi pemuda kaya yang berkenalan di Facebook Bedah dan juga membuat tempahan palsu. Ayah Zamri, Lebai Kulop, seorang yang pakar dalam berbudi bahasa dan pandai berjenaka turut menyukai Bedah dan menjadi rakan Bedah di facebook.
Pelakon: Noorkhiriah, Bell Ngasri, Joey Daud, Syanie, Jalil Hamid.

Aku Mahu Terbang (14 Oktober 2012, 9.00malam)
Aku Mahu Terbang berkisar tentang seorang kanak-kanak bernama Rezki yang mengejar impian dan cita-citanya ingin menjadi seorang juruterbang. Rezki, 12 tahun, dibesarkan dalam keluarga penoreh getah yang serba kekurangan dan hanya bergantung harap kepada ibu serta abangnya iaitu Mak Hanun dan Syukur. Suatu hari, sebuah syarikat penerbangan swasta Info Tech Quest Sdn Bhd menganjurkan Karnival Kerjaya untuk tujuan mendedahkan kerjaya juruterbang kepada penduduk Felda. Info Tech Quest Sdn Bhd menawarkan kelas juruterbang kepada pelajar namun hanya pelajar yang mempunyai keputusan cemerlang dalam PMR sahaja layak untuk masuk. Rezki berjaya mendapat 8A dalam PMR dan membolehkan dia masuk ke sekolah tersebut. Rezki berjanji akan membawa ibu dan abangnya melihat tempat dia belajar. Malangnya sebelum peperiksaan bermula, dia menerima berita mengejutkan mengenai ibu dan abangnya yang meninggal dunia akibat kebakaran. Apakah yang bakal berlaku seterusnya?
Pelakon: Shafie Naswip, Beto Kushairi, Puteri Sarah, Amar Asyraf, Fadhilah Mansor.

Ajaibnya Cinta (21 Oktober 2012, 9.00malam)
Mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Affendi yang kerap mencuri. Seluruh penduduk kampung tahu tentang perangai buruk Affendi termasuklah emak Affendi sendiri yang mengakui tidak mampu lagi menasihati anaknya. Suatu hari, Affendi memecah masuk ke dalam rumah Ramli untuk mencuri tiket perlawanan bola seperti yang dijanjikannya pada Musliha. Namun, Affendi tertangkap dan dipukul oleh Ramli serta kawan-kawannya. Mak Tom yang menyedari situasi tersebut datang menyelamatkan Affendi. Apakah Affendi akan menyedari kesilapan yang dilakukannya atau dia tetap dengan perangai buruknya?
Pelakon: Johan Asari, Umie Aida, Qhusairi Razali (Qi), Anzalna Nasir, Nadia Nissa.

Aku Mahu Terbang (1)

Hilangnya Doa Seorang Ibu (28 Oktober 2012, 9.00malam)
Laila boleh dijadikan idola bagi muslimah moden kerana berjaya menjadi usahawan dengan usaha sendiri. Namun walaupun seorang yang alim, bertudung dan tak tinggal solat, Laila hilang hormat pada keluarga sendiri kerana lebih berjaya dan kaya dari yang lain. Sedar bahawa doa ibu amat mustajab, Laila sering minta ibunya, Zubaidah doakannya. Dalam pada itu, dia sering mengutuk dan memaki abang dan adiknya yang kesempitan hidup sebagai tak cuba berusaha lebih lagi. Zubaidah ke Umrah untuk mendoakan kesejahteraan anak-anaknya. Namun ketika itulah Laila diserang penyakit misteri, mulut bengkak berkudis bagai digam, tak boleh bercakap dan tak boleh bergerak. Itulah karma Allah atas kelancangan mulut Laila pada ibu dan adik beradiknya yang lain.
Pelakon: Lisdawati, Maimon Mutalib, Zamarul Hisham, Roy Azman, Watie Elite

Maharku Untukmu ( 4 November 2012, 9.00malam)
“Maharku Untukmu” mengisahkan tentang gadis bernama Tengku Aishah di mana ibu bapanya hanya mementingkan darjat semata-mata. Bapa Aishah iaitu Tengku Hamid menyedari sukar untuk menemui lelaki sebaik dan sealim seperti Putera pada zaman ini. Dia melantik Putera sebagai pemandu untuk keluarganya. Pada hari pertama Putera memulakan kerja, Tengku Aishah langsung tidak memandang terhadap Putera. Sebelum itu, Tengku Aishah telah bertunang dengan Tengku Ariff seperti diaturkan oleh ibunya, Tengku Puan Marina. Tengku Aishah disahkan mengandung dan lebih menyulitkan keadaan, Tengku Ariff meninggal dunia kerana kemalangan kereta. Tengku Puan Marina mahu Tengku Aishah menggugurkan kandungannya tetapi dibantah oleh Tengku Hamid yang bercadang untuk menjodohkan Tengku Aishah dengan Putera. Apakah yang bakal berlaku seterusnya?
Pelakon: Nabila Huda, Ady Putra, Norish Karman, Rahim Jalani, Iqram Dinzly.

Bersempana dengan tayangan telefilem-telefilem yang tercalon, penonton juga boleh berinteraksi melalui alam maya bersama dengan artis yang bertanding selama 1 jam bermula jam 10.30 malam – 11.00 malam. Istimewa bagi penonton juga mereka boleh menonton drama-drama tersebut selama 14 hari secara percuma melalu lama web rasmi Anugerah Skrin di www.tv3.com.my/ask2012. Layari laman sesawang serta Facebook & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini.

Pelarian (1)

One Comment

Leave a Reply
  1. Hairan yee.Pelarian tue adik Aqish watak utama kan,tp xde pon disebut namanya dlm majalah.xphm bila seorang pelakon kanak2 yg bagus dianaktirikn sampai cmtue skali.xde lgsg publisiti ttg adik Aqish nie.but shez still the best 4 me!

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Pemenang Siswa Merdeka Anjuran Erama TV

The Ultimate Pillow Choice For Your Ultimate Comfort