in

Drama Silap Menghitung

Unit Drama TV RTM Terbit Drama Angkat Isu Buang Bayi Di TV2

Kisah pembuangan bayi yang semakin meningkat baru-baru ini sekali lagi mengejutkan semua pihak. Bermacam cara di gunakan untuk membuang bayi yang tidak bersalah semata-mata takutkan hukum dunia hingga sanggup mengetepikan hukum Tuhan. Ianya terjadi tanpa mengira bangsa malah yang membinbangkan apabila ianya melibatkan anak-anak gadis yang masih berada di bangku sekolah.

Mungkin ianya di anggap remeh sebilangan kita kerana tidak berlaku pada diri sendiri. Namun bayangkan sekiranya ia berlaku di kalangan keluarga terdekat kita? Mampukah kita menerima kenyataan keruntuhan moral yang berlaku? Bagaimana pula masa depan individu yang terlibat? Hakikatnya ia pasti mengheret sama keluarga yang diibarat menconteng arang ke muka.

Lalu Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang sememangnya prihatin dengan isu ini menerbitkan drama bertajuk Silap Menghitung arahan Zamani Ibrahim, Unit Drama TV RTM yang menampilkan pelakon-pelakon hebat Khamsah Abdullah (Opah), Kaza, Rozie Rashid, Shahrul nizam, Sharifah Nadia, Shafini Saedon, Liza Abdullah, Badrul Munir, Siti Nur Dazzuvena Zainal, Muhammad Hadi Rizal, Alif, Azhan Rani dan Noor Zaimiellia Zaidi.

Mengisi slot Sinema Ahad, Silap Menghitung yang disiarkan pada 31 Julai 2011, jam 10.00 malam ini berkongsi kisah Opah yang berkunjung ke rumah anaknya Osman di Kuala Lumpur bersama Alang Yassin yang akan menghadiri seminar usahawan. Kebetulan pula sekolah mula bercuti. Telatah Opah bersama cucu-cucunya, Khaty, Burn dan Borhan menjadikan Timah dan Osman terhibur. Bagaimana keadaan bertukar apabila Khaty membawa pulang sahabat baiknya, Alia yang tua 2 tahun dari Khaty menumpang seketika di rumah mereka.

Setelah disoal selidik, Alia menghadapi masalah peribadi. Dia takut hendak balik ke rumah orang tuanya di Pahang kerana dia berbadan dua. Opah yang banyak pengalaman itu dapat mengesan dan menghidu masalah Alia. Namun bagi Timah, dia tak mahu menanggung beban dan tak sanggup ‘bersubahat’. Bagi Timah jalan terbaik, hal Alia ini harus diselesaikan oleh orang tuanya.

Alia mempunyai alasan sendiri kenapa dia tak sanggup berdepan dengan orang tuanya, lebih-lebih berdepan dengan ayahnya yang panas baran. Memandangkan isu itu, dia berada di rumah Timah, membebankan, Alia mengambil jalan singkat untuk keluar dari rumah itu.

Kerana tidak mahu Alia merasa tersisih, Opah membawa Alia ke kampung. Opah tidak mahu Alia bersendiri dalam menghadapi masalahnya. Osman membawa Opah dan Alia balik kampung. Khaty dan Borhan mengekori kebetulan sekolah tengah cuti.

Ketika Opah dalam perjalanan balik, Joyah pula tiba di rumah Timah. Joyah juga turut serta dalam seminar usahawan di Kuala Lumpur. Joyah hairan melihat Timah yang nampak kurang senang dengan Opah. Joyah mengorek punca Timah berkelakuan demikian.

Setiba di kampung, Alia tinggal di rumah Opah. Opah beritahu apa yang berlaku kepada Jenab. Seperti Timah, Jenab juga nampak tidak bersetuju dengan kehadiran Alia. Opah mempunyai pandangan berbeza dan mesti cuba menyelamatkan masa depan Alia. Bagi Opah, Alia masih muda dan dia perlukan bimbingan untuk memandu dia ke jalan yang betul. Bukan terus menghukumnya. Alia merasa dirinya tidak berharga lagi. Dia mengambil jalan nekad, cuba menggugurkan kandungannya. Tindakannya itu hampir meragut nyawanya sendiri.

Osman dan Yasin telah diarah oleh Opah mengesan keluarga Alia di Pahang. Opah sering mempertahankan Alia kerana menganggap Alia seperti cucunya sendiri. Alia amat terharu dengan sikap Opah.

Bila Joyah kembali dari Kuala Lumpur, keadaan menjadi kecoh. Kisah Alia menjadi buah mulut. Tok Penghulu campur tangan. Tok Penghulu tidak mahu nama baik kampung tercalar dengan kehadiran Alia. Bagaimana pun kehadiran cucu Tok Penghulu, Faizal dari Kuala Lumpur telah meleraikan masalah Alia.

Siapakah sebenarnya Faizal? Apakah hubungannya dengan Alia yang sedang berbadan dua?

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Perodua Tweckbot Pastikan Anda Selamat Di Musim Perayaan

Album DJ Station 4