in

Drama Seligar Diulangsiar Atas Permintaan Ramai

Saluran Dunia Ria, TV2 sekali lagi melunaskan tagih jutaan peminat telemovie dan drama Melayu tempatan apabila menyiarkan semula telemovie khas raya, Seligar pada 17 Ogos ini di saluran berkenaan pada jam 10.00 malam.

Telemovie arahan anak kepada seniman era 60-an Dato’ A. Rahman Hassan, Khir Rahman dan naskhahnya ditulis oleh isteri Khir, Siti Jasmina Ibrahim telah menjadi bualan hangat di laman-laman sosial dan hiburan selepas siarannya pada 5 Ogos lalu.

Pengurus Saluran TV2, Che Rohana Che Omar dalam satu kenyataan menyebut pihaknya memang menjangkakan tayangan telemovie berkenaan akan mendapat tempat serta perhatian para peminat telemovie dan drama tempatan kerana tema serta penceritaannya cukup berbeza, malah paling penting naskhahnya begitu jujur untuk membolehkannya diletakkan dalam siaran rangkaian TV milik RTM seperti TV2, bersempena Aidilfitri.

“Siaran pada minggu kedua sambutan Aidilfitri (raya ke-9) memang langkah terbaik bagi membolehkan khalayak menonton telemovie berkenaan kerana kebanyakannya tidak sibuk dan sudah pulang daripada bercuti di kampong, serta ia tidak disiarkan pada hujung minggu yang lazimnya dipenuhi dengan majlis-majlis rumah terbuka”.

“TV2 banyak menerima kiriman mesej daripada pelbagai pihak yang memuji telemovie tersebut, selain maklum balas positif penonton di media sosial termasuk cadangan untuk diulang siar”, ujar Rohana.

Seligar terbitan syarikat produksi Suar Channel dibintangi oleh primadona filem dan drama Melayu era 80-an yang sudah lama tidak muncul dalam drama tempatan iaitu, Fauziah Dato’ Ahmad Daud serta Ungku Ismail Aziz, Sara Ali, Azhan Rani, Eira Syazira, Fathil Dani dan Fazlina Ahmad Daud.

Sebalik Seligar

Seligar bermaksud selubung mengisahkan Adil (Ungku Ismail Aziz) yang dibesarkan oleh neneknya, seorang wanita tua bernama Badiha (Fauziah). Mereka hidup tersisih daripada masyarakat sejak ibu Adil meninggal dunia ketika melahirkannya. Menjadi lebih dramatik ibu Adil meninggal dunia pada hari raya, begitu juga bapa Adil maut dalam kemalangan ketika hendak pulang menjenguk isteri dan anaknya.

Badiha hidup dengan menyalahkan takdir yang disifatkan tidak memihak kepadanya. Dia seorang bidan kampong tetapi anak sendiri mati ketika bersalin. Hidup dalam kecewa, Badiha menutup pintu hati untuk menerima hidayah Ilahi. Dia menutup cucunya itu daripada agama, namun anak itu membesar sebagai seorang yang berhati mulia walaupun tidak tahu apa itu ibadat.

Takdir juga menemukan mereka dengan cahaya. Kehadiran seorang gadis, Sara (Sara Ali) bukan sahaja membuatkan Adil mengenal erti kehidupan yang sebenar.

Yang terbaik hanya di RTM

Menurut Rohana, produksi telemovie Seligar antara contoh komitmen terbaik syarikat, pengarah, penulis, para pelakon serta tenaga kreatif yang terlibat kerana ia dihasilkan menyerupai penerbitan seperti sesebuah produksi filem, dengan meletakkan kualiti dan kepuasan dalam berkarya sebagai keutamaan.

“TV2 bakal berdepan penjenamaan besar-besaran pada masa akan datang lebih-lebih lagi RTM ke arah migrasi penyiaran digital, justeru kandungan program di saluran ini perlu ada kayu pengukur yang tersendiri, jelas, tepat dan paling penting selaku media kerajaan dapat terus relevan terhadap fungsi memberitahu, menyampai dan mendidik kepada rakyat”, jelas Rohana.

Malah bukan sahaja produksi drama atau telemovie, pelbagai genre kandungan program yang ditawarkan kepada pembekal atau syarikat untuk memenuhi slot siaran TV di RTM perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh golongan kreatif ini dengan penghasilan karya bermutu untuk tujuan pasaran antarabangsa. Ini memandangkan industri kreatif boleh dijadikan sebagai sumber pekerjaan dan pendapatan negara, seterusnya mencapai sasaran ekonomi berpendapatan tinggi.

drama SELIGAR di TV2

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Healthy Fuchsia Fun With Avenue K’s Balloon Run

Drama Bersiri Jalan Kembali Arahan Syamsul Yusof