in , , ,

Drama SELEMBUT SUTERA KILAUAN MUTIARA Lakonan Emelda Rosmila

SLOT SUTERA : SELEMBUT SUTERA KILAUAN MUTIARA BERMULA 16 JULAI 2008 SETIAP ISNIN HINGGA JUMAAT, JAM 11.05 PAGI DI RTM1

Kepada peminat pelakon dan pengacara cantik lagi berbakat Emelda Rosmila yang begitu merindui kemunculannya membintangi drama bersiri di kaca televisyen, usah lepaskan peluang menonton Selembut Sutera Kilauan Mutiara bermula 16 Julai 2008, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 11.05 pagi di RTM1 yang menggandingkannya dengan pelakon yang memiliki karisma tersendiri, Hasnul Rahmat.

Selain dua bintang drama terkenal ini, Selembut Sutera Kilauan Mutiara terbitan Sport & Events Networks ini turut menyaksikan lakonan berkesan Fadilah Mansur, Danny X-Factor, Sheila Alesya, Shajiri Damery, Kazaruddin Saisi dan Fadhil Dhani.

Sepanjang 26 episod siarannya, Selembut Sutera Kilauan Mutiara mengajak penonton berkongsi semangat dan cita-cita seorang wanita bernama Amira yang terpaksa menggalas tanggungjawab membantu ibunya, Zaharah menyara keluarga setelah Adam, ayahnya meninggalkan mereka sekeluarga. Amira memiliki tiga orang adik yang lain iaitu Azlan, Azli dan Azila. 

Konflik bermula dalam keluarga mereka apabila bapa mereka, Adam dijejaki pihak polis kerana disyaki terlibat dalam satu kes rompakan. Adam mengambil tindakan nekad menyembunyikan diri lalu meninggalkan keluarganya. Sejak itu hubungan mereka terputus.

Zaharah terpaksa mengambil alih tugas menyara keluarga dengan berniaga kuih dan nasi lemak. Mujur Amira yang baharu menamatkan pengajian diterima bekerja di sebuah hotel dalam bidang pemasaran.

Jodoh menemukan Amira dengan lelaki bernama Faizal yang kemudiannya mereka dikurniakan cahaya mata pertama. Malangnya, Faizal adalah seorang suami yang ego dan panas baran. Sementara itu, adiknya Azlan terlibat dalam kumpulan gangster, Azli pula menjadi pelakon dan Azila mecapai cita-citanya bergelar peguam.

Berkat usaha gigihnya, Amira yang sememangnya berminat menceburi bidang perniagaan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, Syarikat Amira Trading. Begitu pun dia sering mendapat halangan daripada suaminya dan juga pesaing-pesaingnya. Namun semua dugaan yang mendatang dijadikan sebagai motivasi dalam dirinya hingga hasilnya Amira berjaya mengambil alih kilang sabun dan syampoo, Syarikat Harum Maju.

Dalam pada itu, Azlan melarikan diri bagi mengelakkan ketuanya, Hambali menyerahkan tugas mengedar wang palsu kepadanya. Tanpa diduga, semasa persembunyiannya Azlan bertemu semula dengan Adam, ayahnya yang sekian lama menyembunyikan diri daripada diberkas pihak polis.

Lalu apakah keputusan yang diambil oleh Adam? Adakah dia bersetuju menyerahkan diri kepada pihak berkuasa dan kembali semula ke pangkuan keluarganya? Bagaimana pula penerimaan isteri dan anak-anak yang ditinggalkannya selama ini?

Jangan ketinggalan menyaksikan kesudahan Selembut Sutera Kilauan Mutiara bermula 16 Julai 2008, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 11.05 pagi di RTM1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Profile DHINI AMINARTI Pelakon Drama Wulan

Drama Biarkan Aku Berdiri Lakonan Remy Ishak, Sheera, Shahiezy