in , ,

Drama Bersiri SILIR KASIH Lakonan Cristina Suzanne & Shah Jaszle

Tarikan terbaharu di TV2 sebuah drama bersiri 26 episod bertajuk “Silir Kasih” mengisi slot Selekta Prima menggantikan “Kalau Hati Ini Rama-Rama” yang berjaya menarik perhatian penonton. Telah pun bersiaran sejak 1 Julai lalu, drama bersiri arahan Nizam Zakaria ini menampilkan gandingan pelakon popular Shah Jaszle, Cristina Suzanne, Julia Ziegler, Wan Raja, Dynas Mokhtar, Redza Rosli dan Aznah Hamid.

Menjalani penggambaran di Sydney, Australia, penonton dapat mengikuti perjalanan kisah hidup dilalui gadis kacukan bernama Bella yang cuba menjejak ibu kandungnya di samping konflik hidup dibenci oleh neneknya sendiri yang berdendam dalam diam kerana tidak merestui anaknya berkahwin dengan wanita Australia.

Aznah Hamid ... watak nenek yang membenci cucunya

Bersiaran setiap Selasa hingga Khamis, pukul 9.00 malam, saksikan kisah Bella, gadis terpelajar kacukan Melayu-Inggeris tinggal di kampung bersama dengan neneknya, Hajah Junaidah, pesara guru. Bella sangat dibenci oleh neneknya kerana ia hasil perkahwinan Iskandar dengan Victoria Matterson.

Bella sering dibuli budak kampung kerana wajahnya digelapkan oleh neneknya kerana tidak mahu dia kelihatan seperti anak orang putih. Neneknya turut berbohong kononnya tanda lahir berbentuk seperti tapak tangan harimau di tangan Bella merupakan penyakit dan hal yang tidak baik. Dari kecil Bella dilarang berhias. Bella hanya akur.

Seringkali Bella dibuli kawan-kawan dan kemunculan Amir di kampung itu telah menyelamatkannya. Amir begitu ingin tahu tentang latar belakang Bella. Namun ketika hubungan mereka baru ingin rapat, Amir terpaksa ke luar Negara mengikut keluarganya. Bella mengumpul azam untuk berjaya dan menyambung pengajian ke luar negara.

Sejak kecil lagi Bella sering bertanyakan nenek tentang ibunya. Dia cuma diberitahu ibunya bernama Victoria Matterson dan sudah meninggal dunia. Namun apabila dewasa dia dapat merasakan neneknya menyembunyikan sesuatu.

Apabila lulus cemerlang dalam SPM, Bella mendapat tajaan biasiswa untuk belajar di bidang senibina di Australia tetapi dia berbohong kepada nenekanya dia menyambung pengajian di Amerika. Dalam diam Bella berhasrat mahu menjejak ibu kandungnya di Australia dan menjejak masa silamnya.

Di Australia Bella menyesuaikan diri belajar. Jodoh menemukan dia semula dengan Amir setelah sekian lama. Amir turut menuntut di sana dalam bidang undang-undang. Ketika itu berputik perasaan cinta namun masing-masing cuba menyembunyikan.

Bella akhirnya menceritakan kepada Amir bahawa ibunya berdarah Inggeris. Amir pula secara tak sengaja terbaca berita tentang seorang lelaki Melayu bernama Iskandar Hashimoto yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Sydney. Bella mula tertanya adakah Iskandar Hashimoto dan Iskandar Hashim adalah orang yang sama.

Bella dan Amir menjadi anak angkat kepada bekas seorang doktor di Sydney bernama Dr. Robert James. Robert sangat tertarik dengan tanda lahir dimiliki Bella kerana sama dengan bekas pesakit yang pernah dirawatnya.

Sementara itu Bella sebenarnya pewaris kepada firma arkitek di bawah pengurusan rakan kongsi ayahnya, Dr. Mahani Daud yang juga merupakan kekasih ayahnya. Hanya setelah Bella berjaya membuktikan keupayaan menjadi arkitek, barulah firma tersebut dikembalikan kepadanya.

Akhirnya terbongkar rahsia siapakah Victoria Matterson yang sebenarnya. Setelah berlaku kemalangan yang dirancang suaminya, Iskandar, Victoria mengalami tekanan jiwa. Apatahlagi Iskandar turut hilang bersama anaknya Bella.

Victoria beruntung kerana mengenali Dr. Robert yang banyak membantunya hingga pulih. Victoria kesal kerana kedegilannya mengamalkan ajaran agama Islam, suaminya lari meninggalkannya. Victoria Matterson kini adalah Cathy@Khadijah Abdullah yang menjadi sukarelawan di Madrasah Abu Bakar Assidique, Sydney.

Dengan bantuan Amir, Bella cuba menjejak semula ibunya. Namun adakah masih ada ‘jodoh’ antara kedua beranak ini? Bagaimana pula dengan neneknya yang melarang keras Bella berbaik semula dengan ibunya? Ikuti kesudahannya hanya di TV2.

Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

cinta antara Victoria dan Iskandar

dua sahabat

ketika di kampung

konflik Iskandar dan Victoria

silir kasih

watak Bella lakonan Cristina Suzanne

WATAK UTAMA

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan DASHINGgoesMANCITY Musim Kedua

Buffet Berbuka Puasa Ramadhan DORSETT GRAND SUBANG 2015