Menu

Sensasi Selebriti

Portal Berita Hiburan, Trending & Viral, Acara, Travel, Gaya Hidup & Tech Gadget Terkini

in ,

Drama Bersiri Mahligai Kaca Lakonan Fazlina Ahmad Daud

Membariskan pelakon berpengalaman dalam plot kisah kepincangan institusi kekeluargaan yang realitinya berlaku dalam masyarakat hari ini antara tarikan utama kepada penonton menyaksikan drama bersiri terbaharu disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk “Mahligai Kaca”.

Mengisi slot Bidadari di TV1 mulai 29 Disember depan, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 11.30 pagi, ternyata drama 13 episod ini berani mengetengahkan kisah sebuah kitaran hidup yang ‘cacat’ bila mana wanita mahu menjadi dominan, dan lelaki yang tidak berfungsi sebagai ketua keluarga. Malah ia turut menyelitkan kisah poligami yang disembunyikan suami daripada pengetahuan si isteri.

Kisah Kepincangan Keluarga Dalam Drama Bersiri “Mahligai Kaca” di TV1

Lakonan mantap Fazlina Ahmad Daud dan Namron yang turut dibantu oleh Mardiana Alwi, Fauziah Nawi, Aleza Shadan, Aishah Atan, Roy Azman dan Datuk Jalaluddin Hassan ini bermula dengan ikatan perkahwinan tanpa cinta yang telah di atur oleh keluarga masing-masing antara Anisah dengan Fuad.

Anisah mengahwini Fuad atas paksaan ayahnya. Fuad memang tidak langsung menepati citarasanya. Namun karakter Hassan, si ayah yang cukup dominan dan berkuasa membuatkan Anisah terpaksa akur pada keputusan ayahnya. Anisah hairan, kenapa ayahnya memilih Fuad untuk dijadikan menantu sedangkan pemuda itu tidak punya apa–apa.

Hakikatnya, Hassan melihat dan berkenan pada Fuad dari sisi yang lain. Dia tidak memandang harta kerana baginya, harta yang dia ada sudah mencukupi. Memandangkan Anisah adalah anak tunggalnya, apa yang dia mahu ialah seorang menantu yang baik dan pandai mengambil hatinya. Penampilan Fuad yang cukup sempurna membuatkan Hassan menoktahkan keputusannya untuk menerima Fuad sebagai menantu, biarpun anaknya sendiri tidak merelainya.

Terkenal sebagai seorang ayah yang tegas dan berkuasa penuh dalam rumahtangga, Anisah terpaksa akur pada keputusan ayahnya. Lantas, dia menerima Fuad sebagai suami walaupun bukan sepenuh jiwa raganya. Pun begitu, jauh di sudut hatinya dia berharap agar perkahwinan paksanya tetap akan membawa berkat dan bahagia.

Perkahwinan mereka tidak pernah bahagia. Fuad yang tidak bekerja bijak memainkan peranannya mengambil hati Hassan hingga bapa mentuanya itu sanggup menanggung perbelanjaan keluarganya. Anisah menyedari perkara tersebut mula mengambil kesempatan ‘mempergunakan’ suaminya untuk mengikut segala telunjuknya. Fuad pula sanggun mengikut kemahuan isterinya itu asalkan dia diberikan wang perbelanjaan harian.

Memiliki suami yang jadi pak turut dan sanggup mengikut apa saja kemahuannya mula mendatangkan keseronokan pada Anisah. Pada mulanya Anisah rasa serba salah untuk ‘membuli’ suaminya, namun apabila melihat Fuad bagai merelakan dirinya diperkudakan, Anisah tak lagi ambik peduli.

Hassan yang diibaratkan sebagai dahan rendang untuk Fuad tiba tiba ditimpa bencana. Perniagaan Hassan mengalami kerugian dan dia meninggal dunia. Pemergian Hassan membuka kisah lain yang selama ini tidak diketahui oleh Anisah dan ibunya. Hassan miliki isteri lain dan tiga anak yang akhirnya berjaya mendapat hak sepenuhnya ke atas harta arwah Hassan.

Anisah dan ibunya benar benar terkejut dengan kemunculan ahli keluarga yang tidak pernah mereka ketahui selama ini. Ibu Anisah benar benar kecewa dan makan hati bila mengetahui suami yang dia cintai telah membohonginya selama ini. Dia mula mengalami tekanan perasaaan dan Anisah terpaksa menjaga ibunya dalam keadaan hidup yang tidak lagi semewah dahulu. Sejak itu, Anisah mulai membenci dan anti poligami.

Anisah dan Fuad kini meniti usia tua mereka. Perangai Anisah masih begitu, malah semakin menjadi jadi. Ini membuatkan dia dibenci oleh anak anaknya sendiri. Mereka benci akan sikap Anisah yang dominan. Malah mereka juga tidak menghormati Fuad kerana tidak tahu dan menggunakan fungsinya sebagai seorang suami.

Anisah sering mencederakan Fuad seperti menggigil dan memukulnya dengan kuat sehingga lebam dan berdarah. Namun Fuad tidak membalas malah “takut” dengan serangan itu. Namun suatu hari, Anisah jatuh di bilik air dan tulang belakangnya menghadapi masalah. Kemalangan itu mengakibatkan ada darah yang tersumbat di otak Anisah.

Semenjak itu fikirannya mula “putus” dan sesekali tidak rasional. Ini membuatkan semua saudara mara semakin menjauhinya dan cuma Nazri, anak keduanya yang sanggup melayan kerenahnya. Anak-anaknya yang lain Ramila dan Balkis enggan menguruskannya.

Satu hari Fuad tidak dapat bersabar lagi dengan perangai Anisah yang suka membentak dan memperlekehkannya. Di depan anak-anak Anisah diceraikan dengan talak tiga. Fuad pula dengan senang hati mahu bersama dengan skandalnya dan mahu menumpang kekayaan wanita itu.

Namun malang menimpa tidak terduga. Apakah sebenarnya yang berlaku? Masihkan ada ruang taubat buat Anisah atas kesilapannya selama ini?

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Exit mobile version