in

Drama Bersiri Bola Cinta Musim Ke-2

DRAMA BERSIRI BOLA CINTA MUSIM KE-2 MULAI 6 SEPTEMBER 2011 DI TV2

Setelah berjaya mengutip jumlah rating lebih 900,000 orang menerusi musim pertamanya, drama bersiri Bola Cinta yang berkongsi kegilaan remaja terhadap bola sepak dan pada masa sama melalui momen pergolakkan cinta kembali lagi untuk musim kedua mulai 6 September depan, setiap Selasa, jam 9.00 malam juga menerusi saluran sama, TV2.

Pembikinan drama bersiri 13 episod itu pastinya menjanjikan keistimewaan yang tersendiri kerana menampilkan kesinambungan plot cerita dalam diri watak utama Haziq (Ryzal Jaafar) yang sedang pulih dari kecederaan mula berfikir tentang masa depannya. Adakah bola sepak boleh menjanjikan masa depan yang cerah untuknya? Ibunya mencadangkan Haziq menyertai Gemilang FC kerana pasukan bola sepak Gemilang FC bukan sahaja menawarkan Haziq mengejar impiannya tetapi juga memberi peluang kepada Haziq untuk melanjutkan pelajarannya.

Ryzal, Memey dan Aidil merupakan pelakon utama bagi drama Bola Cinta musim kedua

Semasa Haziq di kampung, Reena (Ainul Aisyah) yang begitu sayang pada Haziq sentiasa menelefon Haziq dan bertanyakan khabarnya. Ini menimbulkan rasa cemburu di hati Puteri Syakilla (Nuremy Ramli). Tetapi Puteri Syakilla masih dapat menyembunyikan perasaan cemburunya kerana sedar yang selama ini Haziq hanya menganggapnya sebagai kawan.

Fiza (Memey Suhaiza) pula yang pulang dari luar negara telah memutuskan hubungannya dengan Jamal (Aidil Azizi) kerana tidak tahan dengan sikap baran dan cemburu Jamal.  Kini Fiza mencari cinta dan Haziq adalah jejaka yang menjadi idamannya.  Namun demikian, dia menghadapi persaingan apabila Reena semakin berani meluahkan perasaan cintanya terhadap Haziq.  Bahkan Fiza menganggap Reena telah menikam belakangnya apabila dia juga mencintai Haziq.

Jamal yang kecewa kerana Fiza memutuskan hubungan, terus menjadi semakin liar dan kelakuannya sukar dikawal oleh ibu bapanya.  Bahkan prestasi Jamal di padang bola juga telah terjejas hinggakan dia sentiasa bergaduh dengan jurulatih dan juga rakan-rakan sepasukannya. Jamal mahu berhenti daripada Wira FC dan mahu menyertai pasukan lain.

Ayah Haziq, Kamal ingin kembali bersama ibu Haziq dan telah bertemu dengan Haziq. Namun Haziq masih tidak boleh memaafkan ayahnya yang telah meninggalkan dia dan ibunya.  Kamal tidak berputus asa, bahkan ingin menyelesaikan beberapa lagi masalah yang dialaminya.

Haziq kembali cergas dan disebabkan desakan ibunya, kini dia menyertai Gemilang FC. Haziq menimba pengalaman sebagai pelajar kolej dan pada masa yang sama cuba untuk mencipta nama dalam bola sepak. Haziq perlu fokus untuk berjaya dalam pelajaran dan juga bola sepak. Haziq juga terpaksa berpuas hati menjadi pemain simpanan sahaja.  Apatah lagi Haziq sentiasa berhadapan dalam dilema apabila Reena dan Fiza cuba memenangi hatinya.  Manakala kemunculan Kamal, ayahnya dalam hidupnya semakin merumitkan lagi keadaan.

Dari segi percintaan pula, Haziq baru sedar yang hanya seorang sahaja gadis yang benar-benar mencintainya, iaitu Puteri Syakilla. Haziq menghadapi kesukaran menolak cinta Fiza dan Reena hinggakan persahabatan Fiza dan Reena terjejas.

Dan ketika Haziq memikirkan yang semuanya berjalan lancar, tiba-tiba Kamal memberitahu rahsia yang benar-benar mengejutkan Haziq. Haziq dan Jamal adalah adik-beradik. Haziq dan Jamal terkejut. Masing-masing tidak mahu menerima hakikat yang mereka berdua adalah adik-beradik. Jamal keluar dari rumah tanpa pesan.  Dan ironinya mereka bertemu dalam perlawanan akhir sebagai lawan.

Lalu bagaimanakah kesudahan drama penuh konflik ini? Dapatkah Haziq dan Jamal berdamai semula dan menerima kenyataan mereka adik-beradik? Siapakah yang terpilih menjadi kekasih hati Haziq? Segalanya terjawab apabila anda menyaksikan Bola Cinta 2 hanya di TV2.

Turut membintangi drama ini Maria Fariza, Shahruddin Thamby, Redzuan Hashim, Rosnah Johari dan Kazar.

Bola Cinta 2_front

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

SHEILA MAJID

Ulasan Album Raya Sheila Majid MEMORI AIDILFITRI

Mamee Raikan Anak-Anak Yatim Sambil Berbuka Puasa