in

Do-IT Raya di RTM Dimensi Berorientasikan Inovasi & Teknologi

Sejak bersiaran pada Februari 2015, rancangan Do-IT (Dimensi Berorientasikan Inovasi dan Teknologi) akan muncul dengan membawa kelainan sempena hari lebaran ini.

Program terbitan Unit Biz Malaysia, Seksyen Ehwal Semasa, RTM akan menyiarkan program Do-IT Raya yang memaparkan tiga segmen bertemakan D-Tek (Teknologi), Usahawan dan D-Isu (topik kewangan dan isu semasa) dengan berlatarbelakangkan suasana Aidilfitri.

Bersiaran pada 7 Julai 2016 (Khamis), 10.00 malam di TV1 selama satu jam, ia menampilkan ketiga-tiga pengacara rancangan ini iaitu Noorsyahidah Jamsari, Hamidy Salleh dan Akmal Hafiz Ruslan.

Di sebalik tabir (2)

Menurut Penerbitnya, Sarah Nadhirah Azman, buat pertama kali program Do-IT membawa konsep berbentuk bual bicara santai dan masih mengekalkan ketiga-ketiga segmen sedia ada. Segmen pertama adalah segmen usahawan yang membawa topik “Daripada Hobi dan Keperluan kepada Kerjaya” dengan menampilkan tetamu istimewa iaitu pemilik Imadi Pet Shah Alam , Ismail Mohd Ali, dan Ratzuraini Mohamed Rahim, Pengarah Urusan Milkwithlove, berkongsi pengalaman bagaimana mereka menjadikan hobi sehingga berjaya mengusahakan perniagaan sendiri.

Mereka turut berkongsi pandangan bagaimana program Do-IT ini menjadi platform kepada perniagaan mereka secara tidak langsung meningkatkan hasil pendapatan secara keseluruhan.

Segmen kedua iaitu D-Tek : “Implikasi Teknologi Semasa Musim Perayaan” menjemput Mohammad Hafizuddin Zakaraya, Ketua Kenderaan Tanpa Pemandu , AERODYNE dan Suhaimi Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif STT Technologies Sdn Bhd sebagai tetamu bagi membincangkan bagaimana teknologi yang semakin canggih secara tidak sedar memberi kesan negatif kepada hubungan sesama insan.

Segmen terakhir, D-Isu pula membicarakan mengenai adakah program tanggungjawab sosial korporat atau lebih dikenali sebagai (CSR) hanya bermusim? Lumrahnya aktiviti-aktiviti sebegini hanya tampak aktif pada musim-musim perayaan sahaja. Mengapa? Isu inilah yang akan dibicarakan bersama tetamu Datuk Zainuddin Abdul Rahman dari Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dan Puan Hajjah Adibah Abd Wahab dari Lembaga Zakat Selangor.

Seiring dengan topik CSR ini krew penerbitan bersama Lembaga Zakat Selangor turut menghulurkan bantuan kepada beberapa golongan asnaf sekitar Lembah Klang sebagai satu tanggungjawab sosial korporat terhadap masyarakat sekeliling.

Jangan lupa ceriakan hari anda dengan menyaksikan Do-IT Raya, di saluran TV1!, 10.00 malam, Khamis, 7 Julai 2016.

PENGACARA DO-IT (AKMAL HAFIZ RUSLAN)

Penerbit DO-IT (ZUBAIRY ABDULLAH)

Penerbit DO-IT (SARAH NADHIRAH AZMAN)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pantun Raya Edisi EURO 2016

Janna Nick Jadi Tamu Ketuk-Ketuk Syawal di Korea Selatan