in ,

DJ-DJ MINNALfm TERUJA KONGSI KISAH KEMERIAHAN DEEPAVALI

DJ-DJ MINNALfm TERUJA KONGSI KISAH KEMERIAHAN DEEPAVALI

Rutin biasa pada pagi Deepavali dimana seluruh penganut Hindu akan meluangkan masa untuk mandi minyak yang dianggap dalam diri mereka melambangkan penyucian badan dan semangat. Selepas upacara penyucian yang melambangkan permulaan yang baru, semua penganut Hindu akan mengunjungi pula kuil dimana patung dewa Hindu akan dikalungkan dengan kalungan bunga.

Malah rutin itu tidak terkecuali dilakukan DJ-DJ Radio MINNALfm, satu-satunya daripada 32 stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang menjadikan bahasa Tamil sebagai bahasa perantaraannya. Meski pun dihambat tugasan di konti, kemeriahan sambutan perayaan Deepavali yang diraikan seluruh penganut Hindu di Malaysia pada 27 Oktober ini nyata turut dirasai mereka apatahlagi di kalangan mereka rata-rata bercuti dan kesempatan ini digunakan untuk mandi minyak seperti yang dilakukan setiap tahun meraikan perayaan besar ini.

Justeru kesempatan menemukan enam personaliti popular DJ-DJ MINNALfm iaitu Ananda Rao, Chitra Saunderaju, Saras Bijin, Taya.G, Johnson dan Buvaneswary yang lengkap berpakaian tradisional Deepavali, sari dan dothi memberi kesempatan berkongsi cerita kisah-kisah menarik Deepavali mereka untuk dikongsikan bersama pendengar-pendengar setia radio MINNALfm yang dapat diikuti menerusi frekuensi 92.3 di sekitar lembah Klang ini.

Apatahlagi masing-masing begitu teruja mahu berkongsi kemeriahan sambutan Deepavali dengan cara mereka tersendiri.

ANANDA RAO kenangan manis tahun lalu sambut Deepavali di India…
Deepavali yang disambut tahun lalu, 2007 pastinya momen indah yang begitu meninggalkan kesan di hati anak muda ini apabila berpeluang meraikannya nun di India bersama pengarah muzik terkenal A.R.Rahman. Dengan nada nakal, Ananda sempat bergurau mengatakan kegembiraan menyambut Deepavali di sana berganda kerana bebas kerana jauh daripada perhatian ibu bapanya yang ketika itu berada di Kuala Lumpur. Istimewanya tahun ini, Ananda yang baru 10 bulan berkhidmat di RTM berbangga kerana seluruh Malaysia mengenalinya sebagai DJ Radio MINNALfm. Apatahlagi tahun ini jelas ketara perbezaannya kerana dia telah berkemampuan untuk menyediakan bajet perbelanjaan diri sendiri dan keluarga untuk menyambut Deepavali. Tanpa berahsia, Ananda memberitahu telah menyediakan RM3000 untuk merealisasikan hasratnya itu.

CHITRA SAUNDERAJU kongsi pengertian Deepavali bagi dirinya…
Kecil-kecil cili padi. Begitulah istilah yang sesuai digunakan anak gadis berusia 20 tahun ini yang gembira berkongsi pengertian Deepavali dalam dirinya. ”Deepavali bermaksud satu hari yang suci dan bersejarah. Malah ada pendapat mengatakan bahawa seseorang yang jahat atau membahayakan kaum India telah meninggal dunia pada hari itu. Oleh sebab mahu meraikan kegembiraan, kami menyambut Deepavali,” tutur Chitra yang amat menggemari maruku dan pelbagai kuih muih tradisional India yang lainnya sebagai hidangan wajib setiap kali perayaan ini. Malah sebagai persiapan menyambut hari gembira itu, Chitra yang turut bertugas menghiburkan pendengar di konti pada hari Deepavali hanya akan mula bercuti pada 28 Oktober 2008. nyatanya gadis manis ini begitu teruja membantu ibunya mengemas rumah dan membuat kuih-muih kegemarannya.

SARAS BIJIN bertugas pagi Deepavali…
Jika teman-teman setugasnya bercuti pada pagi Deepavali, berlainan pula dengan Saras Bijin yang selesa disapa panggilan Saras ini kerana tahun ini dia bertugas pada 27 Oktober 2008 ini mulai jam 6.00 hingga 10.00 pagi di konti. Namun sebaik sahaja selesai bersiaran, dia akan terus pulang ke kampung halamannya di Johor sebelum kembali memulakan tugas tiga hari kemudiannya. “Pastinya ini pengalaman menyambut Deepavali yang tidak dapat dilupakan kerana meraikannya di konti bersama pendengar setia MINNALfm. Tapi saya rasa teruja kerana tidak semua orang berpeluang merasainya,” beritahu Saras yang setiap pagi Deepavali meluangkan masa mandi minyak dan pergi ke kuil bersama keluarganya. Sebagai persediaan, Saras telah membeli tiga pasang baju dan dua sari baru untuk digayakan sempena perayaan ini.

TAYA DAN BUVAN

TAYA.G kongsi kemeriahan dengan anak-anak yatim…
Pelbagai cara digunakan untuk memastikan perayaan yang disambut meriah dan sama dirasai setiap insan. Apatahlagi bagi memuliakan golongan kurang bernasib dan memerlukan. Perkara ini tidak dipandang sepi oleh salah seorang DJ baru MINNALfm, Taya.G yang sejak empat tahun lalu melawat rumah anak yatim untuk berkongsi sama kemeriahan sambutan perayaan ini bersama mereka. Menariknya, Taya.G bersemangat menceritakan pengalamannya tahun lalu di mana dia bersama teman-temannya berkesempatan meluangkan masa membuat persembahan drama komedi di hadapan anak-anak yatim untuk menggembirakan mereka. Di samping itu, Taya.G berharap sudilah kiranya pihak yang lebih bernasib baik menghulurkan derma seperti kuih Deepavali kepada rumah anak-anak yatim.

JOHNSON SINNAPPAN suka makan rendang itik…
Meski pun tidak meraikan Deepavali, Johnson Sinnappan yang lebih senior menjadi DJ di radio MINNALfm berbanding lima temannya yang lain pada sesi fotografi ini teruja mahu berkongsi kemeriahan yang diraikan. Namun paling menjadi keutamaan, Johnson teruja mahu menikmati hidangan istimewa rendang itik yang menjadi makanan kegemarannya. Malah perayaan ini turut dirasai apabila berkesempatan berkumpul bersama teman-teman yang meraikan Deepavali sambil menonton rancangan istimewa dan menikmati kuih-muih tradisional bersama.

BUVANESWARY pernah sambut Deepavali bersama rakan…
Sambutan Deepavali tahun ini bagi Buvaneswary yang lebih dikenali Buvan ini pula sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Apatahlagi DJ MINNALfm yang telah setahun bertugas ini tidak bercuti dan menyambutnya di Kuala Lumpur sahaja bersama keluarga. Ditanya pengalaman menyambut perayaan ini yang paling terkesan di hatinya, Buvan yang manis dengan senyuman ini jujur mengatakan, “Pengalaman yang tidak dapat dilupakan iaitu pernah meraikan Deepavali bersama rakan-rakan tanpa kehadiran keluarga tersayang.” 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Terbaru Bienda Pelakon Budak Kelantan Selepas Pembedahan

DRAMA KEINSAFAN : INDRUTHAN DEEPAVALI