in , ,

Danish Juarai RAJA LAWAK JUNIOR Bawa Pulang RM15,000!

Tahniah buat Muhammad Danish Haidir, atau lebih mesra dikenali sebagai Danish, diumumkan sebagai juara pertandingan bakat komedi kanak-kanak, ‘Raja Lawak Junior

Anak kelahiran Selangor, Muhammad Danish Haidir, atau lebih mesra dikenali sebagai Danish, diumumkan sebagai juara pertandingan bakat komedi kanak-kanak, ‘Raja Lawak Junior’ yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000, serta hamper dari penaja utama, Carrie Junior dan baucar penginapan dari Hotel Tenera, Bangi.

Program yang mula bersiaran sejak 10 Ogos lalu di saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (124) itu telah menyaksikan 10 peserta bersaing di pentas ‘Raja Lawak Junior’ yang terdiri daripada 6 pelawak solo dan 4 pelawak berkumpulan dalam lingkungan umur 7 hingga 15 tahun, selama 8 minggu berturut-turut.

Group Photo 'Raja Lawak Junior' Finale

Pentas kemuncak ‘Raja Lawak Junior’ yang berlangsung pada Sabtu lalu di Lensa Studio, Damansara, menampilkan empat finalis – Danish, kumpulan ‘TOJUD’, Hanif dan jugakumpulan ‘RNR’ – berentap sesama mereka untuk bergelar juara musim pertama ‘Raja Lawak Junior’.

Barisan finalis ditugaskan untuk melakukan dua persembahan yang mana persembahan pertama bertemakan ‘Cinta’, kemudian peserta bebas memilih tema sendiri untuk persembahan kedua.

Ternyata berjaya menambat hati juri dengan lakonan wataknya sebagai ‘Doktor Cinta’ di pusingan pertama, Danish, yang juga merupakan anak saudara kepada pelawak tanah air, Rahim SEPAHTU, mendapat ‘standing ovation’ dari juri tetap Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Adibah Noor.

Tambahan pula, Danish, 10 tahun, yang dinobatkan “pick-up line master” oleh Nabil Ahmad menerima tepukan gemuruh dari audiens untuk persembahan keduanya. Malah, kedua-dua persembahannya diberikan 5 ‘Love’ dari juri! 

Danish, juara 'Raja Lawak Junior'

Untuk pengetahuan umum, format pemarkahan program yang dihoskan oleh Ajak Shiro serta Ain Edruce itu adalah 100% berdasarkan juri profesional yang mana akan dinilai menerusi beberapa aspek; ‘punchline’ (40%), penceritaan (40%) dan persembahan (20%). 

Danish dengan jayanya mendahului kesemua finalis dengan markah terkumpul sejumlah 98 peratus seterusnya melayakkan beliau dinobatkan sebagai Juara!

Mengekori Danish adalah kumpulan TOJUD yang terdiri daripada Adam (Mohammad Adam Rayyan, 9 tahun), Daus (Firdaus Safwan, 8 tahun) dan Luqman (Luqman Hakim, 9 tahun) dengan markah sebanyak 88 peratus.

Kedua-dua persembahan TOJUD yang cukup bertenaga dengan penerapan elemen muzikal sebagai latar utama berjaya menobatkan mereka sebagai Naib Juara bagi program lawak itu. 

Gandingan adik-beradik kumpulan RNR – Rifa (Rifa Rasyiqah, 11 tahun) dan Raisya (Rahadatul Raisya, 8 tahun) pula menduduki tempat ketiga dengan markah 78 peratus. Persembahan pertama mereka penuh dengan gelak ketawa menceritakan tentang cinta monyet, namun begitu, persembahan kedua mereka yang bertemakan ‘Ibu Bapa’ pula penuh dengan pengisian yang menyayat hati.

Hos, Ain Edruce juga begitu sebak dengan persembahan mereka sehingga menitiskan air mata.  

Di tempat keempat ‘Raja Lawak Junior’ pula adalah Hanif (Muhammad Hanif Fikri, 15 tahun). Persembahan kedua Hanif menampilkan dirinya berpakaian tradisional, lengkap dengan tanjak dan berkain samping, dimulakan dengan aksi silat dan gelek dangdut. Persembahan mempesonakan itu boleh dikatakan sebagai penebus kesalahan persembahan pertama beliau, kerana sebelum itu Hanif dilihat gagap ketika melontarkan ‘punchline’. Hanif diberikan markah sebanyak 77 peratus secara keseluruhan.

PETIKAN KENYATAAN RASMI WAKIL ASTRO – Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Warna, Astro Prima & InTrend

“Dalam setiap program yang kami hasilkan, kami hanya mahukan yang terbaik bagi peserta dan ‘Raja Lawak Junior’ tidak terkecuali dari itu.

Kami berharap, dengan pendedahan peserta kepada audiens melalui program ini, mereka akan diberi peluang untuk bergerak aktif sebagai seorang penghibur bukan sahaja di skrin televisyen tetapi juga di layar perak, studio rakaman nyanyian, mahupun studio fotografi ataupun pentas teater.

Mereka ini masih muda dan banyak lagi masa boleh diperuntukkan untuk menggilap bakat masing-masing.

Dengan adanya platform yang sesuai dan bertepatan, adik-adik ini boleh pergi jauh dan menjadi penghias industri seni tanah air di masa hadapan.”

SENARAI PEMENANG & HADIAH KEMENANGAN

KEDUDUKANPESERTAHADIAH KEMENANGAN
JUARADANISHWang tunai berjumlah RM 15,000
NAIB JUARAKUMPULAN ‘TOJUD’Wang tunai berjumlah RM 10,000
TEMPAT KETIGAKUMPULAN ‘RNR’Wang tunai berjumlah RM 8,000
TEMPAT KEEMPATHANIFWang tunai berjumlah RM 5,000
  • Kesemua pemenang juga dihadiahkan sebuah hamper dari penaja utama, Carrie Junior serta baucar penginapan dari Hotel Tenera, Bangi.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

ZAYAN HijabStar Cungkil Bakat Wanita Berhijab

Stranger Things Renewed For Season 4