in

Siaran Luar Suria Di Atas Kapal Cruise Tasik Putrajaya Dapat Perhatian Pendengar Setia

Siaran luar Suria yang diadakan pada Sabtu lepas mendapat perhatian peminat dan pendengar setia Suria kerana ia merupakan siaran radio pertama yang dilakukan di atas kapal cruise.

Siaran luar Suria ini membabitkan penyampai-penyampai utama Suria seperti Fizi Ali, Sharifah Shahirah, Feeya Iskandar sebagai penyampai yang bertugas secara langsung manakala Suraya dan Tyzo pula berperanan sebagai pengacara di acara tersebut. DJ Lin dan Halim Othman juga antara penyampai Suria yang turut hadir memeriahkan acara.

OB 6

Siaran luar Suria bermula dengan sesi temu ramah bersama Ketua Pegawai Eksekutif Marina Putrajaya Sdn. Bhd. (MPSB), Dato’ Zaharah Salamat dimana beliau turut memberikan sedikit penerangan berkenaan kawasan-kawasan yang dilalui kapal Cruise.

Apabila tetamu Cruise dihiburkan dengan persembahan hebat daripada Francisca Peter dengan lagu popularnya Oh La La Tropika, penyampai Suria seperti Feeya Iskandar dan Sharifah Shahirah turut menari bersama menggamatkan lagi suasana.

Persembahan diteruskan lagi dengan artis jemputan Lan Solo yang membuatkan semua tetamu terpaku dengan lantunan suaranya melalui lagu Di Penjara Janji dan Berpisah Tanpa Rela.

Pendengar bertuah yang menyertai siaran luar Suria di atas kapal Cruise ini ternyata gembira melihat pelbagai keletah dan gelagat penyampai-penyampai Suria. Antaranya gelagat Fizi Ali yang kelihatan sedikit gementar hingga tidak boleh berkata-kata apabila kapal cruise terumbang-ambing kerana pukulan ombak ketika bersiaran mengundang gelak tawa penumpang cruise.

Malah, teletah Halim Othman mengacarakan ‘mini games’ melibatkan pemenang turut meriah sehinggakan ada tetamu yang mencadangkan permainan ketika itu ditukarkan kepada permainan Roda Impian.

Selain daripada dapat beramah mesra dan bergambar bersama penyampai-penyampai Suria dan penyanyi jemputan ketika berada di atas kapal cruise, pendengar yang hadir turut berpeluang memenangi hadiah eksklusif daripada Suria dan baucar istimewa daripada Cruise Tasik Putrajaya.

Menurut Pengurus Program Suria, DJ Lin, acara siaran luar ini bertujuan untuk mencuba sedikit kelainan dalam penganjuran acara siaran luar radio dimana penyampai bersiaran secara langsung dari atas kapal Cruise dan juga merupakan antara tanda penghargaan kepada pendengar Suria yang selama ini tidak jemu memberikan sokongan mendengarkan Suria.

“Suria sentiasa optimis dan berdaya saing dalam menghasilkan siri digital original dan juga penganjuran acara luar konti yang akan lebih mendekatkan penyampai Suria dan pendengar setia. Dengan sambutan yang menggalakkan ini, Suria juga dalam perancangan memperbanyakkan lagi lokasi siaran luar Suria ini ke seluruh pelusuk tanah air.” tambah DJ Lin.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MarinaPutrajaya Sdn. Bhd. (MPSB), Dato’ Zaharah Salamat pula, kolaborasi Suria dan Cruise Tasik Putrajaya (CTP) ini merupakan satu kerjasama pintar yang memberi faedah bukan sahaja kepada Suria dan CTP malah kepada orang ramai terutamanya pendengar Suria FM. CTP dapat mempromosi produk-produknya melalui Suria yang merupakan antara saluran yang popular di negara ini manakala Suria dapat memberi peluang kepada pendengar setia dan pemenang pertandingan menikmati dan mengalami sendiri keunikan dan keistimewaan menaiki CTP yang mendapat pengiktirafan MyTQA (Malaysia Tourism Quality Award).

Tambah Dato’ Zaharah lagi, “MPSB amat mengalu-alukan kolaborasi dengan Suria pada masa akan datang dan sentiasa untuk menawarkan produk-produk pelancongan yang terbaik di Putrajaya seperti Cruise Tasik Putrajaya (CTP), Pusat Rekreasi Air Putra (PRAP), Marina Putrajaya (MP), Kompleks Sukan Air Putrajaya (KOSA) dan Skyrides Festival Park sebagai penganjur lokasi.”

Sebelum ini, Suria pernah menganjurkan siaran luar segmen Suria Petang dan Suria Cinta bertempat di MYDIN USJ, Subang Jaya pada 6 April yang lepas yang melibatkan penyampai Tyzo, Suraya dan DJ Lin.

Dapatkan maklumat dan perkembangan terkini berkenaan Suria di laman web Suria www.suria.my dan juga laman sosial Facebook, Instagram & Twitter SuriaFMMalaysia. Gunakan #SuriaMalaysia untuk sebarang interaksi berkaitan Suria di laman sosial.

OB 5

OB 4

OB 3

OB 2

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Yuna Hadir di World Premiere SOLO: A STAR WARS STORY di Los Angeles

Chris Pratt Dianugerahkan Anugerah Generasi di MTV MOVIE & TV AWARDS 2018