in ,

Covid-19: Kes Kematian Ke-27, 159 Positif Baru

Sebanyak 159 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan setakat tengah hari tadi, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang positif di negara ini sebanyak 2,320 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata terdapat satu lagi kematian akibat jangkitan itu direkodkan hari ini dengan jumlah kumulatif kematian sebanyak 27 kes. Beliau berkata mangsa lelaki warga Malaysia berusia 61 tahun itu meninggal dunia di sebuah hospital di Muar, Johor pada jam 10.50 pagi tadi.

“Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau dirawat di Hospital Tangkak Selasa lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada hari berikutnya,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 61 kes pesakit pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan discaj daripada wad adalah 320.

Sehingga kini, beliau berkata 73 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 54 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham sekali lagi menegaskan bahawa rakyat tempatan yang baru pulang dari luar negara dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari.

Tegasnya, ini berikutan, sejumlah kes Covid-19 yang direkodkan sejak kebelakangan ini melibatkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara.

“Kementerian Kesihatan Malaysia memandang serius kepatuhan rakyat Malaysia dalam mengikuti nasihat dikeluarkan.

“Setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing secara bertanggungjawab dan pematuhan ketetapan ini amat penting bagi mengelak berlakunya penularan jangkitan yang meluas dalam masyarakat,” tambahnya.

Sementara itu bagi memudahkan orang ramai untuk menyampaikan bantuan berkaitan Covid-19 kepada KKM, mereka boleh berbuat demikian dengan menyalurkan bantuan kewangan ke akaun 2-66016-0002347-5 (RHB Bank) atas nama ‘Sumbangan Perubatan KKM’.

Bagi sumbangan dalam bentuk barangan atau peranti perubatan, mereka boleh berhubung lanjut melalui talian 03-8883 3111 (waktu operasi Isnin-Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang) atau melalui e-mel [email protected], untuk perhatian Setiausaha Bahagian, Bahagian Perolehan dan Penswastaan, KKM.

“KKM sangat menghargai keprihatinan rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat yang ingin menyalurkan sumbangan atau derma bagi membantu kami menangani pandemik Covid-19 dengan sebaiknya.

“Sumbangan diterima setakat ini tidak hanya terhad kepada bantuan kewangan tetapi juga melibatkan alat kelengkapan perubatan, barangan keperluan di peringkat makmal, bahan pakai buang serta keperluan perubatan lain yang berkaitan untuk kegunaan di fasiliti KKM,” katanya.

Mengambil kira keadaan semasa, Dr Noor Hisham juga berharap rakyat terus memberi kerjasama kepada kerajaan dengan berada di rumah, mengamalkan jarakan sosial dan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun. 

Beliau berkata KKM akan terus memantau perkembangan kejadian Covid-19 melalui segala maklumat diperoleh dan akan memaklumkannya kepada rakyat dari semasa ke semasa, selain orang ramai boleh mendapat maklumat lanjut Covid-19 melalui saluran telegram Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) KKM di https://t.me/cprckkm. — Bernama

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Celcom Sampaikan Bantuan Komunikasi Kepada Barisan Hadapan Perubatan 

Azwan Ali Akui Sudah Kaya, Mampu Bayar Denda RM17,000