in , ,

Cinta Terlarang Rita Nadira, Redza Rosli Dalam Drama Bersiri JULIET

Hubungan cinta Julia dan Ashraff terputus selepas terbongkar rahsia mereka sebenarnya adalah adik-beradik. Keduanya terpisah akibat dari konflik kisah silam mereka. Namun tanpa mereka ketahui tersembunyi hakikat lain tentang hubungan itu.

Konflik ini dibawakan dalam drama bersiri terbaharu, Juliet gandingan Redza Rosli dan Rita Nadira mulai 3 Mei ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 6.00 petang di TV1. Turut menampilkan pelakon yang agak lama menyepi Sofia Ibrahim, Mas Anizan, Haliza Misbun, danLouisa Chong, 26 episod ini turut dibintangi oleh Rozita Che Wan, Azzarima, Shah Iskandar, Khairil Anwar, Mak Jah dan Scha Eliana.

Kisahnya berlegar tentang watak utama Julia, hidup serba sederhana bersama dengan ibunya, Maryam. Namun, kehidupan Julia tidak seperti orang lain disebabkan sikap ibunya yang hidup seperti takut dengan bayang-bayang sendiri.

Cinta Terlarang Rita Nadira, Redza Rosli Dalam Drama Bersiri Juliet

Kepolosan Julia menarik perhatian Ashraff, seorang anak muda berasal dari keluarga berada. Persahabatan itu membunga menjadi cinta sejati tetapi di halang oleh Maryam yang bencikan orang kaya. Dia yang mempunyai sejarah bersuamikan orang kaya tidak mahu sejarah kembali berulang terhadap Julia.

Ashraff berkongsi kisah cintanya dengan neneknya, Matilda. Matilda menjaga Ashraff seperti menatang minyak yang penuh kerana cucunya membesar tanpa kasih sayang ibu dan bapa. Sewaktu kecil, ibu bapa Ashraff, Ariff dan Mina terlibat dalam satu kemalangan. Ariff disahkan meninggal dunia manakala Mina mengalami gangguan mental. 

Selepas kematian Ariff, Matilda dihantui dengan amanah anaknya itu untuk mencari isteri dan anaknya hasil daripada perkahwinan yang sah tanpa pengetahuannya. Sejak itu, dia tidak pernah putus untuk menjejaki isteri dan anak Ariff.

Setelah 20 tahun mencari, akhirnya Matilda menemui Julia yang disahkan sebagai anak kandung Ariff. Julia di jemput Matilda untuk tinggal dalam rumah agam itu kerana dia juga pewaris harta Ariff. Ashraff tidak dapat menerima kebenaran itu nekad untuk membenci gadis yang dicintainya.

Kehadiran Julia amat dinantikan oleh Mina. Selama 20 tahun, Mina terpaksa berpura-pura ‘gila’ demi menutup dosanya membunuh suami sendiri. Mina tidak dapat menerima hakikat setelah Ariff berkahwin dengan Maryam. Ini kerana dia disahkan mandul dan Ashraff adalah anak angkat untuk mengaburi mata Matilda.

Kehadiran Julia tidak disenangi oleh Vee dan anak-anaknya, Lily dan Isabelle yang memperkecilkan status Julia sebagai ‘anak luar nikah’. Oleh sebab itu, terbit kebencian terhadap ibunya dan enggan pulang ke rumah. Lebih menyayat hati, Ashraff turut bersekongkol dengan keluarganya menghina Julia.

Tanpa pengetahuan semua, Matilda telah merangka untuk membunuh Julia. Disebabkan Julia dan Maryam, menantu kesayangannya Mina mengalami gangguan mental. Matilda menghasut Ashraff untuk menghapuskan Julia kerana harta Ariff akan turut mengalir kepada Julia. Ashraff terhasut bukan kerana harta, tetapi kerana masih tidak dapat menerima hakikat yang Julia sedarah sedaging dengannya.

Julia ‘dibunuh’ oleh Ashraff. Ashraff berkahwin dengan Lily namun tidak bahagia. Keadaan lebih rumit setelah Ashraff mengetahui kegiatan ‘black money’ yang dijalankan oleh Matilda. Matilda tahu, ada seseorang yang cuba untuk menjatuhkannya.

Muncul Juliet dan Susan dalam misi untuk menjatuhkan Matilda. Susan adalah musuh tradisi Matilda dalam kegiatan ‘black money’. Juliet kini bangkit dalam usaha menentang Matilda dan Ashraff, kekasih yang dicintainya itu. Siapakah Juliet?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Nadhir Nasar | 21

Astro Bawa Kelainan Menerusi Iklan Raya ‘Tujuh Hari Di Bawah Matahari’

Tom Holland | 22

Pelanggan Astro Kini Boleh Menonton Disney+ Hotstar Di Astro Ultra Box