in , ,

‘Cinta Ramadan’ & ‘Danny’ Dua Naskhah Hebat Hiasi Slot Tiara Astro Prima

Telefilem Cinta Ramadan dan drama sekuel Danny angkat tema cinta tulus penuh keinsafan mulai 8 Oktober ini

Bagi mengukuhkan lagi kedudukan Astro sebagai destinasi utama himpunan drama Melayu di Malaysia, Astro Prima dengan berbesar hati membariskan dua buah naskhah khas dari Singapura yang bertemakan cinta tulus penuh keinsafan berjudul ‘Cinta Ramadan’ dan ‘Danny’ untuk mengisi slot Tiara di saluran 105 pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai petang ini atau boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Menerusi paparandua buah episod, intipati mesej telefilem istimewa ‘Cinta Ramadan’mengangkat elemen keinsafan yang tidak kenal masa dan rupa. Kisah ini diterajui oleh Sharnaaz Ahmad yang mendukung watak utama sebagai Ramadan atau Danny, Nurul Nabila sebagai Natrah dan Fir Rahman sebagai Rizal. 

Cinta Ramadan (Poster without logo)

Manakala drama rantaian ‘Danny’ pula merupakan sekuel kepada telefilem ‘Cinta Ramadan’ yang menyaksikan perkembangan watak Danny dalam meniti kehidupan selepas berubah sekaligus membina hubungan cinta baharu. Sharnaaz Ahmad masih lagi dikekalkan untuk membawa watak yang sama di samping pengenalan watak-watak baharu yang dibintangi oleh Elfaezah Ul Haq, Nadia M Din, Dayang Balqis, Taufiq Salleh, Junaidi Sali dan Sarah Aqilah.

Mengulas lanjut mengenai sajian terbaharu di slot Tiara, Norzeha Mohd Salleh selaku Pengurus Saluran Astro Prima berkata, “Kandungan drama berkualiti merupakan antara kekuatan dan formula tarikan utama yang dipertaruhkan untuk memancing hati audiens agar terus setia memilih Astro. Justeru, setiap pilihan kandungan yang ditayangkan perlu bersandarkan kepada keunikan genre, plot, kaedah penyampaian dan garapan yang disulam sempurna untuk dekat dengan citarasa seluruh lapisan masyarakat. 

Kekuatan dua naskhah sajian terbaharu di slot Tiara pada kali ini terletak kepada persembahannya  yang menyuntik tema kemanisan cinta tulus ikhlas dan sarat dengan mesej-mesej positif penuh keinsafan sebagai teladan. Secara ringkasnya, ia menceritakan tentang kesinambungan liku-liku kehidupan Ramadan atau Danny, seorang pendosa yang sudah berubah dan ingin membina hidup baharu. Proses untuk bangun semula bukan mudah kerana sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Yang membezakan kita adalah sama ada kita nekad untuk membetulkan kesilapan tersebut, kecil atau besar.

Kedua-dua naskhah ini telah mendapat sambutan yang amat baik sewaktu disiarkan di Singapura. Bukan itu sahaja, lakonan dua teraju utama drama ‘Danny’ iaitu Sharnaaz Ahmad dan Elfaeza Ul Haq turut diiktiraf sewaktu acara Pesta Perdana 2015 menerusi anugerah Pelakon Terbaik dalam Watak Utama (Drama Bersiri) untuk kategori lelaki dan wanita, selain dicalonkan dalam lima lagi ketegori termasuk Drama Bersiri Terbaik. Sehubungan dengan itu, besar harapan kami agar penceritaan dalam kisah kali ini mampu mendapat perhatian audiens di Malaysia pula. Semoga terhibur!”.

Telefilem ‘Cinta Ramadan’ berkisarkan tentang Danny, seorang pemuda yang berani dan seorang usahawan yang bijak, tetapi kehidupan dan kepercayaan hidupnya ditentang oleh bapanya yang alim, Ismail. Perbezaan pendapat antara mereka perlahan-lahan membawa kepada keputusan Danny untuk keluar dari rumah. Keputusan tersebut benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam kepada ibunya.

Tidak lama kemudian Danny diberikan sebuah projek yang besar untuk digalas. Dia digandingkan dengan Natrah, seorang gadis muda yang telah menduga hubungan Danny dan rakan baiknya, Rizal. Apabila Danny dan Natrah diberi tugasan yang sama pada bulan Ramadan, Danny mula jatuh hati pada gadis yang kerap mencabarnya ini. 

Hubungan Danny dan Rizal terus berantakan dan membawa masalah kepada projek Danny, yang membawa kepada keretakan hubungan antara Danny dan Natrah dalam masa yang sama. Mampukah Danny keluar dari kemelut hidupnya ini?

DRAMA DANNY

Drama rantaian ‘Danny’ pula mengisahkan tentang perjalanan kehidupan Danny selepas pemergian Natrah. Danny cuba untuk melupakan Natrah dengan melanjutkan pelajarannya sambil cuba memulakan perniagaan kecil. Dalam usaha untuk mengimbangi dua dunia tersebut, Danny jatuh hati pada Sarah, seorang usahawan muda yang bakal mengambil alih syarikat ayahnya. Sarah tidak tumpah seperti Natrah, setiap sisi dan perangainya mengingatkan Danny pada Natrah.

Sebaik Danny berjaya menandatangani sebuah kontrak yang lumayan, Danny berniat untuk menghantar ibu dan bapanya mengerjakan ibadah Umrah. Walau bagaimanapun, kejayaan perniagaan Danny membawa dirinya hanyut kembali ke kancah maksiat. Ini ditambah lagi dengan kehadiran Liana, isteri kepada rakan baik Danny, Hosni. 

DRAMA DANNY

Hosni mula mengesyaki Danny sedang berselingkuh dengan isterinya. Perselisihan ini membawa kepada kehidupan Danny sekali lagi diambang kesusahan. Mampukah Danny menyimpan cinta Sarah dan kepercayaannya juga dalam masa yang sama. Adakah Danny bakal mengulangi dosa lamanya?

Jangan lepaskan peluang untuk menonton naskhah hebat ‘Cinta Ramadan’ dan ‘Danny’ yang bakal menemui penonton mulai petang ini di slot Tiara. Selamat menonton!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hanis Zalikha & Hairul Azreen Bercuti Naik Helikopter Curi Perhatian

SEVENTEEN Dilantik Jadi Duta Kebahagiaan Serantau Pertama Lazada