in , , ,

Cinta Luar Biasa Eizlan Yusof, Natasha Hudson & Rozita Che Wan

13 Episod Cinta Luar Biasa Antara Eizlan Yusof, Natasha Hudson Dan Rozita Che Wan Di TV1

Lina Rahman, penyanyi terkenal dan mempunyai ramai peminat, dan salah seorang peminat setianya Datuk Sharul Lamin. Mereka mula mesra ketika kereta Lina rosak dan kebetulan Datuk Sharul yang selalu mengunakan jalan itu terserempak dengan Lina dan menolongnya.

Perhubungan Lina dan Datuk Sharul dapat dihidu oleh wartawan tetapi Lina selalu menafikan kerana bimbang isteri Datuk Sharul mengetahui cerita yang sebenarnya. Namun hakikatnya cinta Datuk Sharul hanya bertepuk sebelah tangan kerana Lina sebenarnya hanya menganggap Datuk Sharul sebagai teman rapatnya.

Rumah tangga Datuk Sharul mula bergolak dan perkara itu berlaku bukan disebabkan kehadiran Lina sebaliknya Datin Mona yang mula berubah sikap terhadap suaminya. Datuk Sharul cuba menyelamatkan rumahtangganya tetapi tidak berjaya. Akhirnya mereka bercerai dengan talak satu. Setelah bercerai, Datuk Sharul melamar Lina untuk menjadi isterinya tetapi Lina meminta tempoh kerana dia baru saja hendak mengembangkan sayapnya untuk menjadi seorang pelakon setelah berjaya menjadi penyanyi. Datuk Sharul terus mendesak, sehingga hubungan mereka juga mula retak.

Babak dalam Cinta Luar Biasa 1

Drama bersiri terbaharu 13 episod bertajuk Cinta Luar Biasa yang dibintangi oleh Natasha Hudson dan Eizlan Yusof sebagai watak utama di samping Zachery F, Zain Saidin, Rozita Che Wan dan Tia Fatihah ini menemui penonton mulai 1 Mei 2012, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11.30 pagi di TV1.

Konflik berkembang apabila Lina mula menjalinkan hubungan Romzi Zahid, artis lelaki terkenal setelah mereka sama-sama membintangi sebuah filem. Lina jatuh cinta pada Romzi dan begitu juga sebaliknya.

Cerita itu sampai ke pengetahuan Datuk Sharul yang kemudiannya cuba untuk memutuskan hubungan keduanya. Datuk Sharul menyiasat latar belakang Romzi dan mendapat tahu yang Romzi telah berkahwin tetapi dia merahsiakan perkahwinannya kerana takut peminatnya akan lari apabila tahu dia telah berkahwin. Lina sedih dengan apa yang berlaku dan telah memutuskan hubungannya dengan Romzi. Cubaan Datuk Romzi memujuk Lina masih gagal dan membuatkannya kecewa dan cuba melupakan Lina.

Datin Mona telah menubuhkan syarikat rakaman dan meminta Lina menjadi penyanyi syarikatnya yang pertama. Lina menerima tawaran daripada Datin Mona dan sejak itu hubungan mereka semakin rapat. Datuk Sharul pula tidak dapat menganggu Lina lagi kerana bekas isterinya selalu bersama dengan Lina.

Namun Lina terperanjat apabila Datin Mona memperkenalkan Romzi sebagai kekasihnya. Sebenarnya Romzi hanya inginkan duit Datin Mona. Apabila Lina mengetahui tujuan Romzi, dia menceritakan semuanya namun Datin Mona tidak mempercayai dan menuduh Lina dengan bermacam-macam tuduhan yang tidak berasas dan mula memusuhi Lina.

Sejak itu kehidupan Lina mula suram. Tawaran menyanyi dan berlakon mulai berkurangan kerana Datin Mona telah memburuk-burukkan nama Lina kepada semua wartawan malah ramai penerbit takut hendak mengambil Lina untuk mengambil bahagian di dalam pertunjukan pentas dan juga di dalam drama mereka.

Datuk Sharul bersimpati dengan keadaan hidup Lina lalu cuba membantunya dengan menggunakan orang lain, Zaidi Hussin untuk dipertanggungjawabkan bagi membantu menaikan nama Lina semula. Zaidi telah berusaha dengan sedaya upaya dengan bantuan Datuk Sharul sehinggalah nama Lina kembali terkenal. Segalanya atas usaha Datuk Sharul yang sememangnya mencintai Lina.

Saksikan kesudahan drama menarik mengisi slot Bidadari hiburan pagi hari anda ini hanya di TV1.

Babak dalam Cinta Luar Biasa 2

Babak dalam Cinta Luar Biasa 3

Cinta Luar Biasa

Natasha Hudson dan Eizlan Yusof dalam Cinta Luar Biasa

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Showcase Rahim Maarof di Rum Jungle Kuala Lumpur

Gambar Sekitar Tayangan Eksklusif BERANI PUNYA BUDAK