in , ,

Celcom Menambahbaik Daya Tahan Rangkaian & Memperluas Liputan 4G Seluruh Negara

Pertumbuhan Positif dicatat bagi Suku Ketiga di sebalik pandemik. Memacu pelaburan RM256 juta bagi usaha penambahan kapasiti dan optimisasi tapak rangkaian. Pemulihan yang berdaya tahan; mengatasi pasaran dalam semua metrik dan segmen hasil. Pertumbuhan positif sebanyak 6% pada asas suku tahunan, tidak termasuk jualan peranti.

Celcom Axiata Berhad (Celcom) memacu kira-kira RM256 juta pelaburan rangkaiannya, bagi menaiktaraf kapasiti rangkaian dan membina lebih banyak menara komunikasi 4G di seluruh negara, untuk menambahbaik liputan dan kualiti 4G di kawasan pedalaman dan bandar. Pelaburan rangkaian yang dipacu oleh Celcom daripada 2020 akan disokong dengan modal pelaburan yang diperuntukkan pada tahun kewangan 2021. 

Bagi suku ketiga 2020, Celcom mencatatkan pertumbuhan positif dengan peningkatan pelanggan, hasil, kos dan keuntungan pada asas suku tahunan. Pertumbuhan dalam perniagaan dan keuntungan ini adalah disebabkan oleh tawaran produk baru serta prestasi jualan dan pengagihan yang kukuh, seterusnya menghasilkan peningkatan positif dalam segmen pasca bayar dan pertumbuhan dalam segmen prabayar. 

Celcom Menambahbaik Daya Tahan Rangkaian & Memperluas Liputan 4G Seluruh Negara

Celcom turut mencatatkan peningkatan lebih 40% trafik data dalam suku ketiga 2020, berbanding suku terakhir 2019, kerana kebergantungan digital pengguna ketika berada di rumah. Bagi menyokong peningkatan permintaan ini, Celcom akan mempertingkat pelaburannya dalam rangkaian dan memperluas capaian dalam liputan 4G. 

Menjelang Februari 2021, Celcom mensasarkan sebanyak 4,700 tapak rangkaian; 49% di kawasan dan 51% di kawasan luar bandar untuk dinaiktaraf dan dioptimumkan dengan naiktaraf kapasiti, pemasangan peralatan 4G yang baru dan program optimisasi rangkaian teras. Ini meliputi naiktaraf dan optimisasi hampir 1,000 tapak rangkaian 4G di Sabah dan Sarawak bagi menambahbaik liputan 4G di kawasan pedalaman. 

Selain itu, Celcom akan meneruskan lagi usaha dengan program optimisasi kluster seluruh negara bagi 3,600 tapak lagi, bagi mempertingkatkan kapasiti dan menyelesaikan masalah ‘buffering’ serta menyediakan kualiti panggilan suara dan video untuk pelanggan, yang dijangka selesai menjelang Ogos 2021. 

Celcom Menambahbaik Daya Tahan Rangkaian & Memperluas Liputan 4G Seluruh Negara
Idham Nawawi

Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad berkata kesuluruhan pengalaman rangkaian Celcom adalah salah satu faktor utama pelanggan memilih Celcom sebagai penyedia perkhidmatan. Celcom akan terus mara dalam usaha optimisasi liputan, kapasiti dan daya tahan rangkaiannya, melalui pelaburan yang dipacu di kawasan yang amat memerlukan, dan menggunakan teknologi akses radio yang terkini. 

“Keutamaan kami adalah dalam menangani peningkatan trafik data, bagi memastikan pelanggan terus terhubung. Melalui peningkatan pelaburan rangkaian kami di kawasan yang kini amat memerlukan kesalinghubungan, kami berharap untuk memberi penambahbaikan yang signifikan dalam kualiti dan pengalaman rangkaian. Pandemik COVID-19 dan PKP mungkin memberi sedikit kesan kepada aktiviti lapangan kami, tetapi kami tetap berusaha untuk menangani isu berkenaan. 

“Kesemua usaha penambahbaikan dan optimisasi dirancang sebaik mungkin bagi memastikan impak minimum atau tiada langsung akan dialami dalam perkhidmatan rangkaian kami. Penambahbaikan ini juga memfokuskan kepada penyediaan liputan dalam bangunan yang lebih baik daripada tapak Menara 4G LTE, liputan 4G yang lebih meluas di kawasan luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak, serta peningkatan kelajuan muat turun. Ini akan membolehkan lebih ramai pengguna menikmati pengalaman video berdefinisi tinggi (HD) 720p, serta kualiti panggilan suara yang lebih baik dengan Voice-over-LTE (VoLTE)” kata Idham. 

“Ketika rakyat Malaysia sedang memainkan peranan mereka untuk kekal selamat sepanjang pandemik ini, lebih ramai yang menggunakan perkhidmatan digital untuk menjalankan aktiviti seperti pembelajaran, hiburan, perniagaan dan banyak lagi, menyebabkan peningkatan lebih 40% trafik data di kawasan bandar dan luar bandar di seluruh negara. Celcom akan terus melabur dalam peningkatan kapasiti dan liputan rangkaiannya. Kami sentiasa mengambil berat akan keperluan rakyat walaupun di sepanjang PKP, dan kami sedar bahawa kami perlu terus memastikan kesalinghubungan kepada semua golongan masyarakat, khususnya di luar bandar. 

“Usaha Celcom sejajar dengan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh kerajaan, dalam mencapai liputan 4G di seluruh negara dan akan melabur dalam penggunaan teknologi terkini, seperti 4T4R multiple-input and multiple-output (MIMO), Carrier Aggregation, 256 Quadrature Amplitude Modulation (QAM) dan banyak lagi. Sehingga kini, rangkaian Celcom terus mendahului sebagai liputan paling meluas di negara ini dengan lebih 11,500 tapak seluruh negara, yang berkhidmat untuk lebih 13 juta pengguna,” menurut Idham. 

Celcom Menambahbaik Daya Tahan Rangkaian & Memperluas Liputan 4G Seluruh Negara

Momentum Pertumbuhan selepas PKP dalam suku ketiga 2020 

Celcom terus berusaha mencapai ‘Kecemerlangan Operasi’ melalui pertumbuhan positif yang dicapai dalam suku ketiga tahun ini.  Selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Celcom mencatatkan peningkatan signifikan dengan 372, 000 pelanggan prabayar dan pasca bayar, serta meningkatkan hasil dan keuntungan. 

Pertumbuhan keseluruhan Celcom mencatat keuntungan yang lebih baik pada asas suku tahunan, dengan peningkatan EBITDA sebanyak RM139juta (+24.2%) dan PATAMI sebanyak RM94juta (+64.5%). Hasil segmen prabayar bertambah sebanyak +13.0% pada asas suku tahunan dengan kadar pelanggan yang meningkat, dipacu melalui pelan Celcom Xpax’s ‘Truly Unlimited’, dan peningkatan Purata Pendapatan Setiap Pengguna (ARPU) sebanyak RM2 pada asas suku tahunan. Hasil daripada segmen pasca bayar pula meningkat 1.6% pada asas suku tahunan dengan ARPU sebanyak RM84 serta kadar pelanggan yang meningkat. 

Mengekalkan Momentum Seterusnya dengan Agresif 

Mengulas berkenaan pertumbuhan positif Celcom, Idham berkata Celcom akan terus komited untuk menjalankan pelbagai inisiatif untuk mengekalkan pertumbuhan berikutnya. 

“Prestasi suku ketiga kami tahun ini merupakan hasil daripada usaha dan inisiatif berterusan sepanjang tempoh tersebut, dan kami akan berusaha tanpa henti untuk mempertingkat kualiti rangkaian dan pengalaman 4G kami dengan terus memacu pelaburan dalam rangkaian. Sebahagian daripada strategi kami adalah untuk terus fokus terhadap ‘Kecemerlangan Operasi’ dan terus berinovasi dalam produk, perkhidmatan dan penawaran bagi mencapai pertumbuhan yang mampan. Kami berharap untuk mengekalkan posisi kami dalam kepimpinan industri sebagai penyedia rangkaian terluas di Malaysia, menyediakan pengalaman dan nilai terbaik kepada pelanggan kami,” kata Idham. 

“Selain itu, Celcom akan terus menjalin kerjasama erat dengan pihak kerajaan dan pemain industri lain untuk mencapai aspirasi JENDELA, memperluas kesalinghubungan 4G ke seluruh pelusuk negara. Kami ingin menyediakan situasi ‘menang bersama’ yang bermanfaat bagi rakyat, kerajaan dan ekosistem digital keseluruhannya,” menurut Idham. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

RTM Siar Dokumentari TITANIC SARAWAK Pada 6 Disember Ini

Disember ini Tidak Bosan Dengan Kandungan Menarik di Dimsum Entertainment!