in , ,

Bubblebee Terpaksa Tutup 4 Cawangan, Reputasi Terjejas Setelah Disiasat SPRM

SUSULAN siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), syarikat pengeluaran air minuman Bubblebee Sdn Bhd menamatkan usahasama di empat cawangan yang terkait dengan siasatan berhubung pengubahan wang haram.

Ketua Pegawai Eksekutif Bubblebee, Datuk Ismail Abdul Rahman berkata, apa yang berlaku terhadap rakan usahasama mereka telah mendatangkan kesan negatif yang secara tidak langsung menjejaskan reputasi perniagaan tersebut.

Malah, perkara itu turut menyebabkan salah seorang ahli lembaga pengarah Bubblebee iaitu Shuib dipanggil bagi membantu siasatan.

“Walaupun kami sendiri tidak pasti tentang kebersalahan rakan usahasama cawangan kami ini kerana kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, tetapi yang jelas, siasatan ke atas rakan usahasama ini telah mendatangkan kesan negatif yang mampu menjejaskan reputasi perniagaan kami dengan teruk sekali.

“Sehubungan dengan itu, kami mengambil keputusan untuk menamatkan usahasama dengan kesemua rakan usahasama yang menguruskan empat cawangan berkenaan, ”

– Siaran Akhbar Yang Diedarkan
Bubblebee Henti Usahasama Dengan Rakan Kongsi

Tambahnya, empat cawangan iaitu Bubblebee Ampang, Senawang, Sentul dan Sungai Buloh akan ditutup untuk sementara waktu bagi melancarkan urusan pengambilalihan operasi oleh ibu pejabat Bubblebee.

Sebagai makluman, Ismail berkata, syarikat tersebut ditubuhkan pada hujung tahun 2019 dengan menghimpunkan beberapa usahawan yang pakar dalam bidang masing-masing terutamanya dalam industri minuman, penghasilan madu lebah, dan pemasaran.

Pasangan selebriti tanahair, Shuib Sepahtu dan Siti Sarah yang berperanan dalam bidang pemasaran menjadikan Bubblebee kini bukan sahaja minuman, malah jenama perniagaan yang dikenali ramai yang menjadi igauan pengusaha untuk menjadi rakan kongsi atau francais.

Sehingga kini, Bubblebee mempunyai 17 cawangan iaitu 11 cawangan merupakan milik penuh manakala enam cawangan lagi dibuka secara usahasama.

Pada 1 Oktober lalu, Shuib dan isterinya dilaporkan dipanggil hadir ke pejabat SPRM, Putrajaya berhubung pengubahan wang haram membabitkan perniagaan air yang dijalankan mereka.

Shuib dan Sarah menerusi Instagram miliknya menjelaskan mereka dipanggil bagi memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan tersebut.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Safawi Dikritik Kerana Bahasa Inggeris Masih Lemah dalam Temubual di Portugal

Achey & Nabil Sumbang RM15,000 Sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara