in ,

‘Buang Duit Buat Single, Stesen Radio Tak Putar Lagu’ – Nora Ariffin

Penyanyi, Nora Ariffin terpaksa melupakan hasrat merakamkan single baharu selepas kali terakhir muncul dengan lagu Ada Dalam Tiada, dua tahun lalu.

Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Ariffin, 46, berkata, keputusan dibuat kerana kecewa dengan sikap stesen radio yang enggan memutarkan lagu baharu dendangan penyanyi lama yang dianggap tidak menepati cita rasa.

“Saya berhasrat merakamkan lagu baharu dan pernah berbincang dengan komposer, tetapi jika buat pun, buang duit sahaja kerana radio tak nak putar lagu

“Daripada saya membazirkan duit hasil lagu, tetapi tidak mendapat sokongan, lebih baik saya mengguna bajet berkenaan untuk perkara lain.

Biarlah dahulu, saya pun bukan banyak duit. Cuma, agak sedih kerana pada situasi ini tidak sihat untuk industri muzik,”

– Nora Ariffin

Tambahnya, banyak contoh yang dilihat apabila lagu baharu yang dirakamkan penyanyi yang seangkatan dengannya jarang kedengaran di corong radio.

“Orang asyik tanya bila nak rakam lagu baharu, tetapi apabila keluarkan single, radio tak nak putarkan.

Ramai penyanyi lama yang buat single seperti Aishah dan Liza Hanim, tetapi di mana lagu mereka dimainkan?

“Sepatutnya stesen radio kena ikut selera penyanyi. Bagaimanapun, sekarang sudah terbalik apabila kita pula kena ikut selera yang mereka sajikan,”

– Nora Ariffin

Terdahulu penyanyi bersuara lunak ini ditemui pada majlis sidang media menandatangani perjanjian perniagaan Rendang Tok yang diusahakan Nora bersama syarikat Mega Event Catering.

Mengulas perniagaan makanan yang diceburinya, Nora berkata, idea untuk menghasilkan makanan tradisi negeri Perak tercetus selepas mengadakan perbincangan dengan syarikat berkenaan yang juga sahabatnya sejak kecil.

“Sebelum ini, saya sering mendapatkan perkhidmatan mereka untuk majlis yang diadakan. Saya berpuas hati dengan hasil kerja mereka.

Justeru, apabila mereka menawarkan saya menjalinkan usaha sama, saya tak tolak kerana yakin dengan kepakaran mereka.

“Perniagaan ini dibuat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dan saya tak sangka, sambutan diterima sangat menggalakkan terutama ketika Aidilfitri.

Kami tidak berkompromi dari segi kualiti dan hanya menggunakan daging lembu segar untuk menghasilkan rendang ini,”

– Nora Ariffin
Sumber: BH Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Xiaomi Announces Its Latest Ecosystem Products

Ernie Zakri & Syamel Bakal Kahwin Tahun Depan