in ,

Bruce Willis Dalam Filem Tears Of The Sun

Misi Kemanusiaan Bruce Willis Dalam Filem Tears Of The Sun Di TV2

Filem murni bergenre perang, Tears of The Sun arahan Antoine Fuqua (2003) bakal menemui penonton RTM pada 22 Jun ini, jam 10.00 malam yang diangkat dari kisah benar yang berlaku di benua Afrika. Bertitik-tolak daripada menjunjung misi kemanusiaan, filem ini nyata mampu menyentuh emosi penonton.

Plot filem disiarkan menerusi TV2 ini berkongsi aksi dan babak mendebarkan watak Leftenan A.K. Waters (Bruce Willis) Ketua Komander Operasi Khas angkatan tentera Amerika Syarikat yang telah diarahkan oleh pihak atasannya, Kapten Bill Rhodes (Tom Skerritt) untuk mengetuai misi kemanusiaan di Nigeria dalam cubaan mengeluarkan tahanan yang berada di negara itu berpindah ke negara aman terdekat iaitu Cameroon. Ia disebabkan oleh konflik etnik yang menyumbang berlakunya perang saudara di Nigeria.

Filem Tears of The Sun

Malah pada masa itu juga berlaku konflik melibatkan pemerintah mereka yang berkuasa iaitu Presiden Samuel Azuka.

Sementara itu para pemberontak dipimpin oleh Mustafa Yakubu mengusai wilayah bahagian utara berusaha menggulingkan kekuasaan Presiden Azuka. Penggulingan kuasa pun akhirnya terjadi menyebabkan Presiden Azuka sekeluarga akhirnya tewas lalu Mustafa Yakubu bermerajalela menggunakan kuasa mutlak diperolehinya.

Pembersihan etnik Ibo dilakukan dengan cara kekerasan. Ia menyebabkan penduduk setempat ketakutan dan cuba melarikan diri ke sempadan. Akibatnya petugas warga asing yang menjalankan misi kemanusiaan dan keagamaan terhenti dan masing-masing berusaha menyelamatkan diri. Inilah permulaan misi menyelamat yang diketuai oleh Leftenan A.K. Waters.

Waters ditugaskan untuk menyelamatkan seorang petugas perubatan warga Amerika, Dr. Lena Kendricks (Monica Bellucci) selain beberapa sukarelawan yang bertugas di sana. Waters bersama pasukannya yang terdiri daripada Slo, Flea, Lake, Sutra, Zee, Doc, dan Red yang dipimpin Waters berangkat menaiki kapal perang USS Harry Truman berlayar di perairan Afrika menuju ke daerah bergolak.

Tears of the Sun 2

Misi mahu membawa pulang Dr. Lena tidak semudah disangka Waters apabila doktor itu bertegas mahu terus tinggal di situ dan menyelamatkan pesakit-pesakit yang memang memerlukan bantuannya. Malah dia member syarat dia hanya akan setuju pulang jika pesakit-pesakitnya dipindahkan ke sempadan.

Disinilah Waters berperang dengan perasaan sendiri samada mahu mematuhi perintah komandan yang mengarahkannya menyelamatkan target utama, Dr. Lena atau menuruti permintaan doktor itu yang ingin membawa bersama kumpulan tahanan yang jumlahnya agak besar.

Tapi tugas tetap harus dijalankan. Waters kemudiannya menggunakan helah memerangkap Dr. Lena mengikut mereka pulang. Waters pura-pura bersetuju dengan permintaan Dr. Lena dan kemudiannya memaksa Dr. Lena mengikut mereka sementara pesakit dan tahanan yang ada ditinggalkan di hutan.

Ketika helikopter mereka melintasi sebuah perkampungan, barulah Waters sedar perasaan Dr. Lena. Dia melihat sendiri kekejaman yang dilakukan pemberontak terhadap penduduk setempat, suku Ibo yang dibunuh, dirogol dan diseksa tanpa belas kasihan. Waters kemudiannya mengarahkan mereka berpatah balik dan menyelamatkan tahanan yang ditinggalkan di hutan untuk dihantar ke sempadan.

Usaha Waters tidak mudah kerana dia turut ditentang oleh Kapten Rhodes yang mahunya hanya menyelamatkan Dr. Lena. Tetapi itu tidak mematahkan semangatnya. Dia semakin bersungguh mahu membantu suku Ibo yang ditindas apatahlagi dia turut disokong oleh anggota pasukannya.

Namun tercetus konflik apabila segala pergerakan mereka diketahui oleh pihak pemberontak. Timbul perasaan curiga siapakah yang jadi ‘duri dalam daging’ antara mereka. Ketika itu juga mereka rasa bertanggungjawab menyelamatkan salah seorang daripada pelarian yang diselamatkan mereka, Authur Azuka seorang pewaris presiden yang terselamat berhak menggantikan posisi ayahnya sebagai pemimpin suku Ibo.

Lalu bagaimanakah kesudahan misi menyelamat dilakukan Waters? Saksikan babak-babak penamatnya hanya di TV2.

Filem Tears of The Sun 1

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sinopsis Drama Bukan Bidadari

Lisa Surihani Bawa Watak Smurfette