in ,

Berikut Senarai Biografi 13 Individu OKU Berjaya Dalam IMPIAN TANPA SEMPADAN

Majalah biografi bersiri “Impian Tanpa Sempadan” yang memapar mengenai kejayaan seorang wanita kurang upaya dalam bidang masing-masing untuk dijadikan inspirasi bakal menemui penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 24 September ini, setiap Khamis, pukul 10.00 malam di TV1.

Dalam 13 episod siarannya, program ini berkongsi tentang kisah hidup dilalui mereka yang dimulakan dengan paparan latar belakang keluarga, pendidikan, perkongsian masalah sebagai seorang OKU, kisah duka, dan jalan penyelesaian bagi setiap dugaan serta permasalahan yang mereka depani sehingga berjaya.

Menampilkan Norisah Bahrom, seorang atlet wanita kurang upaya yang telah mengharumkan nama negara dalam sukan tenis di peringkat antarabangsa, kisahnya diceritakan dalam episod pengenalan program ini. Beliau berkongsi kisah dirinya yang menghidap penyakit Spinal Bifida. Beliau pernah berputus asa namun bangkit untuk meneruskan kehidupan, melanjutkan pelajaran di Pusat Pengajian Orang Cacat, bekerja dan minat yang mendalam terhada p sukan tenis hingga berjaya peroleh gangsa dalam Sukan Asia Beijing (2008). 

Ras Adiba Radzi

Episod 2 (Syarifah Raudzah Syed Akil, atlet sukan angkat berat)

Beliau telah mengharumkan nama negara dalam sukan angkat berat (Power Lifting) di peringkat antarabangsa sejak 2003. Beliau berkongsi kisah bagaimana beliau yang lumpuh separuh badan akibat demam panas sejak kecil mengharung kehidupan persekolahan dengan kekurangan sumber kewangan. Seterusnya beliau bangkit untuk meneruskan kehidupan, melanjutkan pelajaran dan minat yang mendalam dalam sukan angkat berat sehingga berjaya menempatkan diri ke tempat ke-8 dalam acara angkat berat Sukan Olimpik London pada tahun 2012. 

Episod 3 (Pua Gin Chu, sukarelawan) 

Banyak melibatkan diri dalam usaha sukeralawan membantu masyarakat kurang upaya melalui Yayasan Beautiful Gates kelolaan beliau dan merupakan salah seorang Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi ADUN Bandar Utama. Beliau berkongsi kisah bagaimana beliau yang lumpuh separuh badan akibat darah beku di saraf tunjang mengharung kenyataan dan hampir membunuh diri. Seterusnya beliau bangkit untuk meneruskan kehidupan, melanjutkan pelajaran dan seterusnya kembali menabur khidmat kepada masyarakat OKU yang lain. 

ALIAH TALIB / PELUKIS OKU

Episod 4 (Aliah Talib, pelukis)

Berkongsi inspirasi kejayaan hasil lukisan beliau yang banyak dipamerkan di peringkat antarabangsa. Beliau berkongsi kisah bagaimana beliau yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan membuat beliau malu dan rendah diri sehingga tidak mahu bersekolah. Seterusnya beliau bangkit meneruskan kehidupan dan seterusnya menjadi seorang pelukis berjaya. 

Episod 5 (Nur Samawati Mahmud, usahawan)

Kejayaan beliau dalam perniagaan atas talian meskipun dilahirkan dengan penyakit Cerebral Palsy membuat beliau malu dan sukar untuk meneruskan kehidupan sebagai manusia normal. Seterusnya beliau membantu mempromosikan produk kicap dan sos yang diusahakan oleh kedua ibu bapa beliau melalui laman sosial sehingga berjaya. 

Episod 6 (Siti Nuraisyah Syahrin, atlet sukan angkat berat)

Mula berjinak secara serius dalam bidang sukan angkat berat. Beliau berkongsi kisah bagaimana beliau yang kehilangan kedua belah kaki akibat kemalangan ngeri membuat beliau trauma dan sukar meneruskan kehidupan. Seterusnya beliau berkongsi pengalaman bagaimana melibatkan diri secara aktif dalam sukan angkat berat sehingga beliau berjaya meraih pingat emas pertama peribadi beliau di acara Sukan SUKMA 2018. 

Episod 7 (Nor Adzleen Abdul Karim, chef)

Individu menyumbang aspirasi kejayaan dalam bidang perniagaan pastri dan bakeri. Beliau dilahirkan normal menjadi cacat pendengaran akibat demam panas waktu kecil. Seterusnya beliau berkongsi pengalaman bagaimana beliau kembali bangkit meneruskan persekolahan dengan mendapatkan pendidikan khas dan seterusnya dalam bidang pengajian perhotelan. Minat mendalam beliau dalam bidang masakan pastri dan bakeri membuat beliau bertukar bidang dan berusaha mendalami bidang tersebut sehingga menjadi pengusaha kedai bakeri yang berjaya. 

Episod 8 (Ras Adiba Mohd Radzi, Personaliti TV)

Personaliti TV yang dahulunya berjaya dalam bidang kewartawanan dan kini aktif dalam sukan menembak serta pertubuhan sukarelawan untuk OKU. Beliau berkongsi kisah bagaimana beliau yang dilahirkan dan membesar sebagai manusia normal menjadi lumpuh separuh badan setelah melalui tiga insiden malang dalam hidup beliau. Namun beliau kembali bangkit meneruskan kehidupan setelah 6 tahun menyepikan diri dengan menceburi dalam sukan menembak serta bergiat aktif dalam pertubuhan sukarelawan untuk OKU. 

Episod 9 (Eamienor Zakiah Md Zuki, guru dan penulis buku isyarat)

Wanita ini aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan khasnya untuk golongan bisu dan pekak. Beliau berkongsi kisah bagaimana beliau merupakan seorang yang dilahirkan bisu dan pekak mengharungi kehidupan yang sukar tidak seperti manusia normal. Beliau kembali bangkit meneruskan kehidupan dan berjaya menamatkan pelajaran di politeknik dalam jurusan Sijil Khas Kemahiran Kejuruteraan Awam. Beliau menjadi guru khas dan kini memegang jawatan sebagai Setiausaha Kehormat kepada Malaysian Federation of the Deaf. Beliau turut aktif dalam menulis buku-buku bahasa isyarat khasnya untuk golongan yang normal. 

Episod 10 (Nur Azlia Syafinaz, atlet lumba basikal paralimpik)

Beliau mengharumkan nama negara dalam acara lumba basikal sukan paralimpik di peringkat antarabangsa. Beliau berkongsi pengalaman bagaimana beliau kembali bangkit meneruskan kehidupan dengan menerima pendidikan khas dan seterus aktif dalam acara lumba basikal sehingga meraih 4 buah pingat emas dan sebuah pingat perak dalam acara Sukan Para Asean pada tahun 2017. Pencapaian tertinggi beliau adalah di Sukan Para Asian pada tahun 2018 dengan menyumbangkan sebanyak 3 buah pingat emas dan sebuah pingat gangsa. 

Episod 11 (Dr. Aizan Sofia Amin, pensyarah kanan)

Seorang pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian, UKM. Beliau bergiat aktif dalam memperkasakan golongan OKU di Malaysia. Beliau berkongsi kisah bagaimana beliau merupakan seorang yang dilahirkan normal kehilangan sebelah kaki pada usia 16 tahun akibat kanser tulang. Seterusnya beliau bangkit meneruskan kehidupan sehingga beliau berjaya menamatkan pelajaran dalam pengajian peringkat kedoktoran falsafah di Universiti of Glasgow, United Kingdom. Seterusnya beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah sehingga kini dan turut bergiat aktif dalam memperkasakan golongan OKU. 

Episod 12 (Norimah HJ Ahmad, pengusaha pusat refleksologi)

Seorang pengusaha pusat refleksologi yang berjaya. Beliau berkongsi kisah bagaimana beliau merupakan seorang yang dilahirkan dengan masalah penglihatan membuat beliau sukar untuk meneruskan kehidupan seperti manusia yang normal. Beliau berjaya menamatkan pengajian dalam bidang refleksologi. Beliau juga terpaksa melepaskan Sijil Pelajaran Malaysia yang diduduki oleh beliau sebanyak 5 kali demi mendalami bidang refleksologi sehingga beliau berjaya membuka pusat refleksologi serta menerima beberapa anugerah khas hasil daripada usaha beliau tersebut. 

Episod 13 (Prof. Dr. Ruzita Mohd Amin, pensyarah)

Merupakan seorang pensyarah selama 30 tahun di Jabatan Ekonomi, UIAM. Beliau berkongsi kisah bagaimana beliau merupakan seorang yang dilahirkan normal menjadi lumpuh kedua belah kaki kerana serangan demam panas dan juga perkongsian kisah keperitan hidup beliau dalam keluarga setelah kematian bapa. Beliau kembali bangkit dan berjaya menamatkan pelajaran dalam pengajian peringkat kedoktoran falsafah di Rensselaer Polytechnic Institute, New York, Amerika Syarikat. Seterusnya beliau memulakan kerjaya sebagai pembantu profesor di UIAM dan kini bergelar profesor. 

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

FINAS Sedia Geran Filem Kenegaraan Buat Penggiat Seni

Dokumentari Hasil Proses Kitar Semula Dalam MADE BY DESTRUCTION