in ,

Astro Tangguh Konsert AKHIR Kilauan Emas Musim 4

Pada jam 4 petang tadi, Budiey mendapat makluman dan khabar bahawa Siaran Langsung Konsert AKHIR Kilauan Emas Musim 4 yang dijadualkan bakal berlangsung pada malam ini jam 9.00 malam @ Dewan Sri Putra, Bukit Jalil akan ditunda ke minggu hadapan, 4 Jun 2014 berikutan pengumuman kemangkatan Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah yang telah disahkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Al-Fatihah.

Setelah bersiaran selama lima minggu, akhirnya konsert Kilauan Emas yang cukup sinonim dengan tagline Otai Masih Berbisa telahpun sampai ke penghujung. Konsert Kilauan Emas peringkat Separuh Akhir yang bertemakan Permintaan Radio & Duet pada minggu lalu menyaksikan lima finalis lelaki iaitu ZAIN, ARIP, NAS, NORDIN dan BEN berjaya ke pusingan akhir setelah mempamerkan persembahan yang cukup memukau.

Walau bagaimanapun, persembahan yang ditunjukkan oleh tiga peserta otai lagi yang telah terkeluar juga tidak kurang hebatnya dan turut mendapat pujian oleh pihak juri. Namun, mereka terpaksa akur dengan keputusan kerana nasib tidak menyebelahi pihak mereka. Tiga peserta yang terkeluar di peringkat separuh akhir ialah RAIDA atau nama sebenar Zuraidah Binti Mohd Zain, 41 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur, AZIANA atau nama sebenar Aziana Binti Ab Kadir, 46 tahun dari Terengganu serta SILVA atau nama sebenar Selvalingam A/L Munaisamy, 54 tahun dari Melaka.

Siapakah di antara Ben, Nas, Zain, Nordin dan Arip yang bakal dinobatkan sebagai juara sekaligus memikat hati juri? Nantikan juga persembahan istimewa oleh artis jemputan seperti Datuk Ramli Sarip, Firman, Farawahida, Ella, Ziana Zain, Zamani Slam serta ramai lagi. Sama-sama kita saksikan minggu depan.

Berita Kemangkatan Sultan Perak

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada jam 1.30 tengah hari Rabu dan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar, Khamis. Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Februari 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.

“Penghormatan terakhir oleh pembesar-pembesar negeri akan dilakukan pada pukul 9 pagi Khamis, manakala bagi orang ramai pula antara pukul 11 pagi hingga 2 petang. Seterusnya, sultan-sultan, raja-raja dan pembesar negara asing boleh memberi penghormatan terakhir mulai pukul 2 petang hingga 3 petang,” katanya menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 3.45 petang Rabu.

Bagi menghormati istiadat pemakaman Almarhum baginda, Zambry berkata, kerajaan negeri Perak mengisytiharkan Khamis sebagai cuti umum di negeri berkenaan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh berkabung selama 100 hari, bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang bermula petang Rabu, manakala bendera Malaysia pula dikibarkan separuh tiang selama tujuh hari.

“Sepanjang tempoh perkabungan tujuh hari tersebut, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan adalah dibatalkan,” katanya.

Zambry berkata, sesungguhnya seluruh rakyat di negeri Perak merasai kehilangan sultan yang dikasihi dan berjiwa rakyat.

“Saya Dr Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan mewakili seluruh rakyat jelata negeri Perak Darul Ridzuan merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah di kalangan para Anbiya, Syuhada dan Solihin,” katanya dengan sebak.

Baginda meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang putera, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia.

Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012. – Sumber: Mstar Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Celebrating Batman’s 75th Anniversary

Izzue Islam Dikongkong Oleh Dua Kakaknya?