in

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Filem KAPSUL

KAPSUL merupakan sebuah penerbitan filem cereka bergenrekan fiksyen, diilhamkan daripada kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam oleh Perdana Menteri Menteri Ke-4, Yang Amat Berbahagia (YABhg.) Tun Dr. Mahathir Mohamad. Idea filem ini adalah hasil intepretasi penulis tentang bentuk fizikal kapsul dan isi kandungan yang tercatat dalam kapsul tersebut mengenai amanat Tun Dr. Mahathir menjelang tahun 2020.

Filem ini merupakan satu idea bercita-cita besar dan cubaan berani gabungan di antara penulis/pengarah serta penerbit mengangkat detik-detik sejarah perjuangan orang Melayu membangunkan negara merentasi zaman dan dipersembahkan ke layar perak dalam bentuk yang agak kontemporari berbeza dengan filem-filem berasaskan sejarah yang lain.

Memandangkan sambutan dingin penonton terhadap pasaran filem-filem sejarah di negara ini serta rekod kutipan jualan tiket yang kurang memberangsangkan untuk filem sebegini, KAPSUL cuba memberikan kelainan dalam persembahannya dengan suntikan elemen-elemen moden menerusi teknologi imej janaan computer (CGI) serta plot cerita yang jarang dilihat dalam penerbitan filem mahupun drama di negara ini.

KAPSUL mengisahkan perjalanan hidup seorang anak Melayu yang hidup di zaman serba moden ini tetapi berpeluang menelusuri masa lampau melangkaui beberapa dekad bagi melihat sendiri perjuangan orang Melayu yang penuh dengan jalan berliku serta ranjau dan duri demi membangunkan sebuah negara bernama Malaysia.

Justeru itu, KAPSUL mempunyai keunikan dan kekuatan tersendiri dengan kemampuannya mengangkat mesej-mesej berat tetapi dipersembahkan mengikut trend terkini bagi menarik lebih ramai generasi muda menghayati sejarah perjuangan serta survival bangsa melalui filem fiksyen.

PENULIS SKRIP/PENGARAH

Nama Martias Mohd. Ali (Allahyarham) sememangnya tidak asing lagi dalam dunia penerbitan filem dan televisyen tanahair terutamanya selaku penulis skrip. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang muzik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Allahyarham telah menghasil ratusan skrip drama, sitkom, rancangan majalah dan filem cereka sepanjang berkecimpung dalam dunia seni. Antara skrip dramanya yang popular ialah Hari-hari Terakhir Seorang Perempuan, Zaharul VS Zarina, drama bersiri Idris Beca, Sitkom Suasana, Air Mata Papa, Aidilfitri Di bulan Syaban, Manaf Astro, Nek Nak, Fobia, Merdeka Ajit Merdeka Ajis, Merahnya Biru, Buku Lama Diari Baru dan banyak lagi.

Pembabitan awal Allahyarham dalam bidang seni bermula dengan penglibatannya sebagai pencipta lagu dan penerbit album sesuai dengan pendidikan akademiknya dalam bidang muzik. Allahyarham kemudiannya beralih arah kepada bidang penerbitan filem dan rancangan televisyen setelah industri muzik mengalami zaman suram akibat kemunculan teknologi digital yang mengakibatkan jualan album terjejas.

Mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan, Allahyarham menghasilkan novel “Anak Penarik Beca” yang diterbitkan pada 2007 hasil adaptasi daripada sebuah telemovie dan terjual lebih 3000 naskah dalam masa 2 bulan. Beliau juga berjaya menyiapkan buku berkaitan penulisan skrip peringkat awalan dan lanjutan yang bakal diterbitkan oleh pihak FINAS setelah terlibat sebagai tenaga pengajar dalam kursus-kursus penulisan skrip anjuran pelbagai pihak. Aktif dalam persatuan-persatuan perfileman, antara jawatan yang pernah disandang oleh Allahyarham adalah sebagai Bendahari Content Creative Industry Guild (CCIG) di mana beliau juga adalah salah seorang pengasasnya.

Antara pencapaian Allahyarham adalah apabila berjaya menggondol anugerah Skrip Drama Terbaik, Anugerah Seri Angkasa sebanyak 2 kali melalui skrip drama “Hari-hari Terakhir Seorang Perempuan” dan “Anak Penarik Beca”, Anugerah Gemilang Perdana Festival Filem Malaysia Ke-24 dalam kategori Cerita Asal Terbaik melalui filem “Libas” dan anugerah juri Golden Halo Award di Festival Filem Pendek Kerala, India pada 2012 melalui skrip serta arahan filem pendeknya bertajuk Hasrat.

Menyentuh tentang filem KAPSUL, ini merupakan usaha pertama Allahyarham Martias Mohd. Ali selaku pengarah filem cereka. Atas dasar keinsafan melihat keadaan anak bangsanya, Allahyarham mencetuskan idea penerbitan filem KAPSUL dan cuba mengangkat mesej-mesej tentang perjuangan dan penyatuan untuk disampaikan kepada khalayak ramai melalui lakon layar dan skrip yang ditulisnya sendiri.

Malangnya, cita-cita Allahyarham untuk melihat sendiri filem ini di layar perak tidak kesampaian apabila meninggal dunia pada 29 Mei 2014 ketika usianya 46 tahun, setelah terlantar selama hampir sebulan di hospital akibat penyakit kanser darah. Allahyarham hanya sempat terlibat dalam proses penggambaran serta suntingan awal sahaja dan filem ini kemudiannya berjaya disiapkan oleh pihak penerbit hampir 14 bulan selepas ketiadaan beliau.

Pergi meninggalkan seorang balu dan 4 orang cahaya mata, adalah menjadi hasrat Allahyarham Martias Mohd. Ali semasa hidupnya agar hasil karya ini mampu dijadikan sebagai sumbangan kecilnya kepada agama, bangsa dan negara.

Pic Tun M filem kapsul

PELAKON

Filem ini dibintangi oleh Faizal Hussein dan dibantu oleh lebih 30 orang pelakon terkenal tanahair serta hampir 200 orang pelakon tambahan. Antara barisan pelakon yang terlibat adalah :

  1. Dato’ Rahim Razali
  2. Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar
  3. Adlin Aman Ramli
  4. Mior Hashim Manap
  5. Shaharuddin Tambi
  6. Zaidi Omar
  7. Zamarulhisham
  8. Aman Graseka
  9. Ucop Cecupak
  10. Ahmad Hamdan
  11. Mubarak Majid
  12. Kenji Sawahi
  13. Sahronizam Noor
  14. Ahya Ulumuddin Rosli
  15. T.S. Jeffry
  16. Adam Corie Lee
  17. Joey Daud
  18. Qazim Nor
  19. Haeriyanto Hassan
  20. Fathil Dani Zamri (Gerak Khas)
  21. Manan Hj. Sulaiman Engku Ahmad Rizal
  22. Elly Mazlein
  23. Jue Aziz
  24. Zila Bakarin
  25. Fadilah Mansor
  26. Normah Damanhuri
  27. Ann Yusof

Tidak ketinggalan filem ini juga bakal memaparkan penampilan khas jutawan pakar perniagaan internet Malaysia iaitu Irfan Khairi yang berlakon filem buat kali pertama.

PENERBIT

KAPSUL merupakan filem cereka terbitan sulung syarikat Two Tones Sdn. Bhd. di mana pemiliknya, Haji Amru Najmi Haji Osman juga bertindak selaku Penerbit dan Pengarah Kesan Khas filem ini. Memiliki status syarikat MSC (Multimedia Super Corridor) Malaysia, Two Tones telah beroperasi di Cyberjaya lebih 14 tahun dan terlibat dalam beberapa penerbitan kandungan kreatif menerusi kepakarannya dalam bidang kesan khas serta imej janaan komputer (CGI). Antara hasil kerja syarikat ini adalah elemen-elemen CGI yang terdapat dalam penerbitan filem dokumentari terbitan History Channel, “Lost Over France : Malaysia’s Unsung Heroes, Remembering The Talalla Brothers” dan filem “Libas”. Filem KAPSUL sendiri mengandungi kira-kira 60% elemen CGI yang direka dan dibangunkan sendiri oleh kakitangan syarikat yang kesemuanya adalah anak tempatan. Memandang ke masa hadapan, Hj. Amru bercita-cita memeriahkan lagi dunia perfileman tanahair melalui penghasilan filem-filem berkualiti tinggi dan mempunyai keunikan serta kekuatan tersendiri seperti filem “The Adventure of Buntat” yang sedang dalam proses pembangunan skrip.

PRODUKSI

Secara keseluruhannya lebih 100 orang tenaga produksi terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan pembikinan filem ini. Selain pasukan CGI yang diketuai oleh Haji Amru sendiri, aspek sinematografi diterajui oleh Mohd. Saufe A. Wahib selaku Pengarah Fotografi. Proses penggambaran filem ini berlatarkan lokasi di sekitar Kuala Kangsar, Lenggong, Sayong, Ipoh di Perak serta Kuala Lumpur, Cyberjaya, Putrajaya dan Klang. Sungguhpun tenaga produksi menghadapi cabaran besar kerana filem ini berlatarkan 5 era yang berbeza, namun hasil kerjasama semua pihak rakaman penggambaran berjaya dilaksanakan dalam jangkamasa selama 25 hari sepertimana yang dijadualkan.

TARIKH TAYANGAN

Filem yang menelan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM2.3 juta ini dijangka bakal menemui penonton di 50 pawagam di seluruh negara bermula pada 17 September 2015.

Poster film kapsul

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Di Sebalik Tabir Seorang Patriot Kenang Wira Lahad Datu Sabah

Exclusive Fantastic Four MovieClub Card