in

Stesen Radio Hot FM Anjur Anugerah TOP HOT 2017

Top Hot 2017 mempertaruhkan 6 kategori dalam usaha menghargai serta memberi pengiktirafan kepada penggiat seni muzik tanah air yang telah bekerja keras dalam industri sepanjang tahun. Seiring dengan perkembangan media digital, pengiktirafan anjuran stesen radio Hot FM ini menggunakan sepenuhnya platform digital dimana orang ramai boleh mengundi calon-calon kegemaran mereka di laman web rasmi Hot FM, www.hotfm.com.my.

Ketua Program Hot FM, Ainul Farhana berkata,

“Stesen radio Hot FM ingin memberi penghargaan untuk artis dan lagu paling hot pada tahun ini serta mengetengahkan bakat seni penyanyi itu sendiri menerusi lagu-lagu popular mereka”.

TOP HOT 2017 PERTARUH 6 KATEGORI

Antara kategori-kategori yang dipertandingkan adalah Lagu Hot 2017, Penyanyi Lelaki Hot 2017, Penyanyi Wanita Hot 2017, Penyanyi Baru Hot 2017, Super Band Hot 2017 dan FB Live Hot 2017. Senarai pencalonan awal Top Hot 2017 adalah berdasarkan produk penggiat seni yang ke udara di Hot FM dari 1 Januari hingga 31 Oktober 2017.

Bermula 13 November lalu, undian pusingan pertama telah dibuka untuk menyenarai pendek lima calon terbaik daripada senarai pencalonan awal dan sesi undian pusingan pertama akan berakhir pada 24 November jam 12.00 tengah malam.

Manakala undian pusingan akhir yang bakal menentukan pemenang bagi setiap kategori akan bermula pada Isnin, 27 November dan akan ditutup pada Jumaat, 15 Disember 2017 jam 12.00 tengah malam. Pemenang akan diumumkan di Hot FM pada 29 Disember bermula jam 6.00 pagi dan semua perkembangan terkini mengenai Top Hot 2017 boleh diikuti menerusi platform digital Hot FM.

Top Hot 2017 ialah pengiktirafan yang memberi kuasa sepenuhnya kepada pendengar dan peminat setia untuk menentukan pemenang bagi kesemua 6 kategori pencalonan yang dipertandingkan.

“Hot FM juga akan terus menyampaikan informasi berguna kepada pendengar selain menyokong penyanyi-penyanyi baru dengan memberi ruang untuk lagu-lagu mereka di carta mingguan dalam segmen Top 40 Hot” kata Ainul Farhana.

Mula menghangatkan gelombang udara dalam penyiaran radio pada Februari 2006, Hot FM terus berkembang menjadi salah sebuah stesen radio yang berjenama kukuh seiring dengan pesaing yang lain. Merupakan stesen radio kedua milik Media Prima Berhad, Hot FM menyasarkan golongan 30 tahun ke bawah dan majoriti pendengar adalah pekerja kolar putih dan pelajar.

Dengan misi untuk sentiasa relevan dengan perubahan lanskap radio yang pesat, Hot FM terus aktif dengan senergi telefon pintar yang lebih mobil serta menumpukan operasi bukan sahaja melalui radio tradisional malah melalui platform digital dan media sosial (Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube) dengan jumlah terkumpul terkini hampir 6.6 juta pengikut dan peminat atas talian. Hot FM sentiasa berusaha untuk memberikan pengisian yang kreatif di samping lagu-lagu hits terkini untuk terus kekal menjadi sebahagian daripada gaya hidup pendengar stesen ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Menonton Filem DISNEY’S – PIXAR’S COCO

Peraduan Premiere With Budiey Filem THE BRINK