in , , ,

Senarai Drama Yang Tercalon untuk Anugerah Skrin 2019

Drama Pilihan Ask 2019 Bersiaran Setiap Hari Ahad, Pukul 3.00 Petang Mulai 1 September

Anugerah Skrin, anugerah berprestij anjuran TV3 untuk mengangkat karya terbaik dalam terbitan TV dan filem kembali untuk edisi tahun 2019. Bakal berlangsung pada bulan November nanti, Anugerah Skrin 2019 (ASK 2019) membuka tirai dengan menayangkan 9 drama pilihan ASK 2019 pada setiap hari Ahad, pukul 3.00 petang bermula 1 September hingga 27 Oktober 2019. 

Logo ASK 2019

Saban tahun, Anugerah Skrin menyaksikan persaingan sengit dalam kategori drama yang pernah mengangkat Pendosa Ingin Ke SyurgaPesan Dari TuhanFatin dan Lorong Kecil Ke Syurga sebagai Drama Terbaik dalam edisi penganjuran yang lepas. Tahun ini, drama – drama yang tercalon dalam kategori Drama Terbaik Anugerah Skrin memaparkan jalan cerita yang mantap dan sarat dengan mesej – mesej yang boleh dijadikan iktibar bagi para penonton. 

Berikut ialah senarai sebahagian drama yang tercalon untuk Anugerah Skrin 2019. Marilah kita sama-sama saksikan karya-karya hebat ini pada tarikh dan waktu seperti berikut:

1)   NERAKA KASIH MAISARAH, 1 SEPTEMBER 

Pelakon: Mimi Lana, Laila Nasir, Shahz Jaszle, Raja Afiq, Mustaqim Bahadon, Sura Sojangi

Produksi: Layar Ceritera Sdn Bhd l Pengarah: Along Kamaludin l Penulis Skrip: Lily Suhana Mohd Diah

NKM (7)

Maisarah merupakan anak kepada bidan terkenal, Mak Midah. Maisarah berkenalan dengan Zakuan melalui aplikasi WeChat. Maisarah terlanjur dengan Zakuan dan disahkan hamil 2 bulan. Dia meminta Zakuan bertanggungjawab namun Zakuan enggan. Hampir 6 bulan tidak pulang ke kampung, pelbagai alasan Maisarah telah berikan kepada ibunya.

Akhirnya, Maisarah pulang juga ke kampung ketika kandungannya mencecah 8 bulan. Dia yakin hanya ibunya mampu membantunya. Namun, ternyata harapannya meleset apabila Mak Midah bertindak mengurung Maisarah di belakang rumah sehingga Maisarah selamat melahirkan bayinya. 

Terima Kasih Ibu (3)

Demi menutup malu, Mak Midah menyerahkan anak Maisarah kepada Dijah yang sudah lama berkahwin dan tidak mempunyai zuriat. Mak Midah tidak ambil peduli perasaan ataupun keputusan Maisarah. Maisarah amat tertekan kerana rindukan anaknya. Maisarah melarikan diri dan mengambil bayinya semula dari rumah Dijah sehingga berlaku kekecohan di kampung. Akhirnya, Mak Midah sedar bahawa Maisarah sangat memerlukan bayinya. Dijah pun merelakan bayi itu diserahkan kembali kepada ibu kandungnya.

titi kayu (1)

2)   TITI KAYU, 8 SEPTEMBER 

Pelakon: Michael Ang, Rizz Amin, Jaja Iliyes DFKL, Rahim Omar, Auntie Margarat, Adik Syed Ali

Produksi: Eleven Field Sdn Bhd l Pengarah: Raja Mukhriz l Penulis Skrip: Jo Sidek

Ah Lim atau lebih mesra disapa Alim seorang yang lurus bendul. Alim sangat disenangi penduduk kampung yang majoritinya orang Melayu kerana sikap peramah dan ringan tulangnya walaupun dia berbangsa Cina Peranakan. Walaupun sudah berusia 35 tahun, dia bersahabat baik dengan Umar yang baru berumur 9 tahun. Rumah Alim dan Umar berhampiran namun dipisahkan oleh sebatang sungai. Jadi, Alim terpaksa berkayuh basikal menggunakan jalan raya yang agak jauh setiap hari untuk menemui Umar.  

titi kayu (3)

Alim dan Umar memikir jalan alternatif untuk membina sebuah titi kayu untuk menyeberangi sungai yang memisahkan rumah mereka. Malah idea itu juga tercetus selepas dia terpaksa menggunakan laluan jauh untuk membawa ibunya mendapatkan rawatan di hospital dan memakan masa yang lama. Namun, idea mereka tidak diterima oleh ketua kampung iaitu Pak Samad. Alim dan Umar tekad untuk membina titi kayu itu dengan tangan mereka sendiri walaupun tidak mendapat bantuan orang kampung. Berjayakah Alim dan Umar dalam misi mereka? 

3)   REMUK, 15 SEPTEMBER 

Pelakon: Saharul Ridzwan, Shukri Yahaya, Nabila Huda, Wan Sharmila.

Produksi: P&D Pictures Sdn Bhd l Pengarah: Pali Yahya l Penulis Skrip: K.Adlie

Selami jiwa seorang warden penjara yang terpaksa mengetepikan keluarga dan mengorbankan masa demi menjalani tugasannya untuk negara. Zakuan ialah seorang warden penjara yang menanti gilirannya untuk cuti raya bersama keluarga pada tahun ini. Tambahan pula, sanak saudara di kampung sentiasa menanti kepulangannya untuk beraya bersama-sama isteri dan anak-anaknya. Lain pula dengan Zamri yang didapati bersalah atas kesalahan membunuh tanpa niat ketika menyelamatkan isterinya dari serangan perompak dan dipenjarakan di penjara di mana tempat Zakuan bertugas. Zamri sangat tertekan apabila memikirkan anak dan isterinya di rumah yang terpaksa menghadapi persiapan raya tanpa dia buat kali pertama. Zamri mengalami kemurungan yang teruk sehingga ditahan di hospital dengan kawalan Zakuan. 

Zamri membuat provokasi terhadap Zakuan kerana tidak memberi perhatian kepadanya seperti warden yang lain. Zakuan meluahkan isi hatinya bahawa dia terpaksa berkorban meninggalkan keluarganya di kampung demi tugas untuk mengawal Zamri. Zamri terdiam. Apa lagi ujian dan cabaran yang akan menimpa Zakuan dan Zamri ketika mereka sedang berusaha untuk keluar daripada masalah yang dihadapi sekarang? 

Samad Tedung (11)

4)   SAMAD TEDUNG, 22 SEPTEMBER 

Pelakon: Faizal Hussein, Amar Asyraf, Sweet Qismina, Watie Sadali, Adik Syed Muhammad Irfan

Produksi:Tanah Beris Film Sdn Bhd l Pengarah: Shuhaimi Lua l Penulis Skrip: Adza Emie

Samad terkenal dengan sikap garang dan panas baran hingga digelar ‘SAMAD TEDUNG’. Isterinya, Rusmila bersabar dengan sikapnya dan percaya Samad akan berubah. Samad hanya duduk sahaja di rumah setelah bengkelnya ditutup kerana masalah kewangan. Rusmila terpaksa bekerja untuk menampung keluarga. Anak-anak tidak tahan dengan sikap ayah mereka tetapi jika ditegur pastinya akan diherdik. 

Kemuncaknya, apabila Rusmila diserang demam panas, Samad tidak ambil peduli hingga Rusmila meninggal dunia. Anak-anak marah dengan sikap Samad dan menyalahkan Samad atas kematian ibu mereka. Sejak itu, anak-anaknya meninggalkan Samad sendirian dan tidak mengambil tahu keadaan Samad. Selepas kejadian itu, sikap Samad masih tidak berubah, malah solat juga semakin jauh ditinggalkan. Jauh di sudut hati Samad, dia sedih kerana anak-anak tidak pernah menjenguk dia dalam keadaan tidak sihat. Samad teringat kembali kenapa dia menjadi baran, dahulu semasa kecil ayahnya juga seorang yang bengis dan sering memukulnya.

Samad Tedung (14)

Kemunculan Amir, 8 tahun, anak kepada jirannya sering menjenguk Samad kerana kasihan melihat Samad sendirian. Pada mulanya Samad benci dengan Amir kerana menganggap budak itu mengganggu hidupnya. Kini, Amir menjadi ‘cucu angkatnya’. Walaupun masih kecil, Amir sering mengajar Samad solat dan mengaji. Amir berbuat demikian kerana terbaca diari yang ditulis oleh arwah isteri Samad dan menceritakan tentang Samad. Walaupun Samad bersikap begitu, sebenarnya dalam diam Samad masih mempunyai perasaan sayang dan ambil berat kepada anak dan isterinya tetapi tidak ditunjuk secara zahir. 

Wakaf Dosa (4)

5)   WAKAF DOSA, 29 SEPTEMBER 

Pelakon: Dato Rosyam Nor, Izzue Islam, Sweet Qismina, Faradhiya

Produksi: Suhan Movies and Trading Sdn Bhd l Pengarah: Feroz Abdul Kader l Penulis Skrip: Citra Abdullah

Bakri Zain merupakan seorang pelakon yang memenangi banyak anugerah dan rezekinya tidak pernah putus. Danial Muhaimin seorang pelakon terkenal yang mula mencemburui Bakri apabila sering dibanding-bandingkan. Daniel bertambah marah apabila penganjur Festival Filem terpaksa menarik keluar namanya dan memilih Bakri Zain sebagai calon untuk kategori pelakon lelaki terbaik. Sejak itu, hasad dengki mula muncul dalam diri Daniel.

Wakaf Dosa (9)

Puteri Najwa merupakan anak sulung Bakri dan sedang mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk mengejar impiannya menyambung pelajaran di Universiti Al Azhar. Berbeza dengan kejayaan ayahnya yang lebih menjurus ke ‘Dunia’, Najwa pula menjadikan ‘Akhirat’ sebagai titiannya untuk ke syurga. Namun, Najwa tidak pernah sesekali meragui atau menilai keperibadian ayahnya.

Suatu hari, sebuah video skandal seks Bakri Zain bersama dua orang perempuan disebar dan menjadi tular di media sosial. Bakri terduduk dan terkelu apabila mendapat tahu tentang video itu. Bakri puas berfikir siapa yang sanggup memfitnah dan menganiayainya sehingga ke tahap ini. Itu merupakan titik permulaan kehancuran ‘Bakri Zain’. Di saat ini Bakri mula tersedar yang dirinya selama ini jauh dari Allah. Baginya agama itu adalah sekadar suatu tanggungjawab terhadap keluarga tapi bukan secara personal dirinya. Bakri akhirnya meninggal dunia akibat tekanan dan kemurungan yang berpanjangan. Sejak kejadian itu, Daniel yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah dengan video palsu itu mula dihantui perasaan bersalah dan tidak tenang. Daniel akhirnya bertemu dengan keluarga Bakri dan mengaku kesalahannya namun segalanya telah terlambat.

Bebaskan Anak Kita (1)

6)   BEBASKAN ANAK KITA, 6 OKTOBER 

Pelakon: Dato’ Rahim Razali, Amar Baharin, Adik Jay Nazrif, Datuk Fizz Fairuz

Produksi: FJ Pictures Sdn Bhd l Pengarah: Feroz Abdul Kader l Penulis Skrip: Eenaz Mokhtar

Rahim merupakan bekas pengawal keselamatan yang bertugas di Stadium Merdeka. Dia  ingin membawa cucu-cucunya ke Stadium Merdeka dan berkongsi segala cerita suka duka bangunan itu kepada mereka dengan harapan generasi itu tidak lupa akan sejarah awal pembangunan Malaysia. Malangnya usaha dia mendapat tentangan dari mereka yang memandang niatnya sebagai remeh dan tidak masuk akal.

Bebaskan Anak Kita (19)

Walaupun rancangan Rahim dibantah, dia telah membawa Aiman dan rakan-rakannya, Siva dan Badrul ke Stadium Merdeka. Namun, Badrul terpisah dengan mereka dalam perjalanan ke Stadium Merdeka dan tidak dapat dijumpai. Nasib baik, Badrul dibawa ke balai polis oleh seseorang yang baik hati. 

Razak malu dengan perbuatan ayahnya lalu meminta ayahnya untuk tidak meneruskan rancangannya. Pada masa yang sama, anak sulung Razak, Azril sedang menyiapkan kertas kerja tentang Stadium Merdeka dengan bantuan Rahim dan juga rakan kerjanya. Razak terkenang memori lama yang tidak dapat dipisahkan dengan pekerjaan Rahim sebagai pegawal keselamatan di Stadium Merdeka. Sejak itu, Razak bercita-cita untuk memberitahu generasi baharu tentang erti kemerdekaan dan juga sejarah Stadium Merdeka itu demi merealisasikan impian Rahim.

Terima Kasih Ibu (6)

7)   TERIMA KASIH IBU, 13 OKTOBER 

Pelakon: Nafiz Muaz DFKL, Azhan Rani, Sherie Merlis, Adam Corie, Nad Zainal, Firdaus Ghufran

Produksi: Khalida Production Sdn Bhd l Pengarah: Shah Rizal Masyur l Penulis Skrip: K.Adlie

Kisah mengenai Nil yang dikenali sebagai budak bermasalah di sekolahnya. Ibunya Zaitun pula tidak mempedulikan nasihat guru dan sentiasa menyebelahi anaknya walaupun ternyata anaknya itu membuat kesalahan. Akhirnya Nil dibawa masuk ke sekolah juvana beberapa bulan sebelum SPM kerana kes memukul Kimi sehingga meninggal dunia.

Walaupun telah dibebaskan dari sekolah juvana, Nil tidak berubah malah sikapnya lebih teruk. Nil menjadi pengedar dadah dan merompak bank sehingga diburu pihak polis. Nil menjadi pelarian kerana takut akan hukuman berat yang bakal dihadapi. Hinggalah dia bertemu dengan gurunya sendiri yang membantu mengubati kecederaan dia. Akhirnya, Nil ditangkap polis dan disabit kesalahan selepas gurunya membuat laporan. Sebelum hukuman dijatuhkan, Nil membuat ucapan terakhir kepada ibunya ‘terima kasih ibu kerana tidak pernah menegur salah dan silapnya’ sehingga dia sudah terbiasa melakukan kesilapan.

Batik Zakiah (10)

8)   BATIK ZAKIAH, 20 OKTOBER  

Pelakon: Eyka Farhana, Amyza Aznan, Rusdy Ramly, Laila Nasir, Azar Azmi, Noralbaniah, Dato’ Ahmad Tamimi Siregar

Produksi: Luqsar Kreatif Sdn Bhd l Pengarah: Heykal Hanifah l Penulis Skrip: Wan Mahani Wan Hassan

Hidup Zakiah penuh dengan dugaan apabila dia terpaksa berkahwin dengan Azmi yang jauh lebih berusia daripadanya. Malah Zakiah juga terpaksa menjadi isteri kedua dan bermadu dengan Maimun. Zakiah diperlakukan seperti orang gaji oleh Maimun. Maimun telah menggunakan pelbagai rancangan jahat untuk menghancurkan hidup Zakiah walaupun hakikatnya dia yang membenarkan Azmi berkahwin dengan Zakiah. Zakiah disahkan mengandung. Dia berjaya keluar dari rumah Azmi dan tinggal bersama ibunya Che Tom. 

Batik Zakiah (4)

Zakiah selamat melahirkan seorang anak perempuan yang diberi nama Hanim. Masih dalam tempoh berpantang, Zakiah sekali lagi diuji apabila anaknya diculik oleh Azmi dan Maimun atas bantuan ayah tirinya Samad. Azmi dan Maimun telah berpindah supaya Zakiah tidak dapat mengesan Hanim. 

Sejak itu hidup Zakiah menjadi semakin tidak tentu arah. Atas nasihat Mus, rakan baiknya Zakiah belajar semula dan berjaya menjadi seorang guru dan bernikah dengan Mus. Namun dia masih tidak dapat melupakan kejadian lalu. Zakiah selalu bercakap dengan kain batik yang menjadi alas anaknya tidur dulu. 

9)   RESTU AYAH, 27 OKTOBER 

Pelakon: Raja Atiq, Azhan Rani, Badrul Muhayat, Watie Sadali, Sharifah Shahora

Produksi: Hujan Lebat Sdn Bhd l Pengarah: Iskandar Jebatl Penulis Skrip: Iskandar Jebat

Azlan merupakan anak tunggal. Ibunya terlalu memanjakan dia berbeza dengan ayahnya yang tegas. Azlan akan mengamuk apabila ayahnya menegur setiap kesalahannya. Suatu hari, ibu bapanya ditimpa kemalangan menyebabkan Azlan kehilangan ibunya manakala ayahnya pula disahkan lumpuh. Azlan amat sedih dengan kematian ibunya dan menyalahkan ayahnya. Sejak itu, Azlan menanam rasa benci terhadap ayahnya. Dia tidak pernah mengambil tahu tentang keadaan ayahnya yang lumpuh itu. 

Keputusan SPM yang dinanti-nantikan sudah pun keluar, Azlan terkejut kerana gagal lalu tersedar akan perbuatannya kepada ayahnya. Dia pulang ke rumah untuk meminta maaf tetapi malangnya ayah Azlan telah menghempuskan nafas terakhir. 

Masih kekal dengan objektif penganjurannya sejak tahun 1994, Anugerah Skrin 2019 (ASK 2019) meneruskan usaha untuk memartabatkan industri seni dengan memberi pengiktirafan kepada para karyawan dan penggiat seni tanah air. Selain TV3, ntv7, TV9 dan 8TV yang bernaung di bawah rangkaian televisyen Media Prima Berhad, TV3 selaku penganjur turut mengundang dan membuka ruang kepada rakan penyiar lain seperti RTM, ASTRO, BERNAMA, TV Al-Hijrah dan Hypp TV untuk menyertai ASK 2019 ini. 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.mydan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @tv3malaysia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

MEERFLY

Video Muzik HAA TEPOK MeerFly Trending di Youtube Malaysia

EKSKLUSIF: Sharnaaz Ahmad Jawab Isu Perceraian Rumahtangga dengan Noor Nabila