in

Anugerah Lagu Terbaik AIM 18 Ditarik Balik

Pembetulan bagi anugerah Lagu Terbaik AIM 18

“Sedetik Lebih”, lagu yang dipersembahkan oleh Anuar Zain dengan melodi dan lirik gubahan Edry Abdul Halim telah diumumkan sebagai pemenang bagi Anugerah Lagu Terbaik bagi edisi ke-18 Anugerah Industri Muzik (AIM) menggantikan lagu “Penakut” yang dipersembahkan dan dikarang oleh Yuna.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur AIM 18 dari Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim memaklumkan bahawa disebabkan oleh salahtafsir dalam kriteria anugerah oleh Ernst & Young – juruaudit luar rasmi bagi proses penghakiman AIM 18, pemenang Lagu Terbaik silap diumumkan dan dianugerahkan semasa rancangan anugerah AIM 18 disiarkan menerusi televisyen pada 12 November 2011 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

AIM

Beliau berkata bahawa langkah-langkah pemulihan telah diambil oleh RIM dengan serta-merta apabila kesilapan yang tidak disengajakan dikenalpasti dan menyuarakan penghargaan ikhlas RIM kepada semua pihak yang terlibat kerana memberikan kerjasama dan bantuan penuh untuk memastikan integriti anugerah AIM dapat dipelihara dengan memberi tumpuan kepada objektif-objektif AIM iaitu memberi penghormatan kepada bakat-bakat tanahair dan memberi pengiktirafan sewajarnya kepada artis-artis, pemuzik-pemuzik, komposer-komposer, penyusun-penyusun, pengeluar-pengeluar rekod dan semua pihak yang terlibat di dalam industri muzik Malaysia.

Ahmad Zahirudin bin Abdul Rahim di dalam kapasitinya sebagai rakan kongsi Ernst & Young berkata, “Amatlah dikesali, disebabkan oleh salahtafsir dalam kriteria anugerah, pemenang bagi Lagu Terbaik yang diumumkan dalam acara AIM 18 yang diadakan pada 12 November 2011 adalah tidak betul.

“Penakut” oleh Yuna, telah silap ditentukan sebagai pemenang bagi kategori Lagu Terbaik berdasarkan markah tertinggi yang diberikan oleh hakim-hakim bagi 20 buah lagu yang terdiri daripada 5 calon tertinggi bagi anugerah sub-kategori Lagu Pop Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Pop Etnik Terbaik dan Lagu Nasyid Terbaik.

Mengikut kriteria yang ditetapkan oleh RIM, pemenang Lagu Terbaik mestilah merupakan salah satu pemenang bagi empat anugerah sub-kategori tersebut.

Atas dasar tersebut, pemenang Lagu Terbaik AIM 18 sepatutnya adalah “Sedetik Lebih” oleh Anuar Zain. Kami ingin merekodkan permohonan maaf ikhlas atas sebarang kesulitan yang dialami.”

Yuna yang juga telah memenangi Anugerah ‘Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita)’ dan juga Anugerah ‘Kembara’ (sebagai pengiktirafan pencapaian beliau dalam mempromosikan komposisi Malaysia di arena antarabangsa) berkata, “Walaupun ini tidak dijangkakan, saya menghargai usaha penganjur AIM untuk membuat perkara yang betul. Ia merupakan harapan sah semua pemenang anugerah untuk dilayani secara adil dan saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Anuar Zain dan Edry Abdul Halim.”

Anuar Zain (yang juga telah memenangi Anugerah ‘Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki)’ dan ‘Lagu Pop Terbaik’) dan Edry Abdul Halim (yang berkongsi Anugerah ‘Lagu Pop Terbaik’ sebagai komposer dan penggubah lirik bagi “Sedetik Lebih”) turut berkata, “Kami amat berbangga dengan Yuna dan pencapaian tempatan serta luar negara beliau sebagai rakan penghibur dan pencipta lagu, dan ingin menekankan bahawa tiada sesiapapun yang harus mengambil sebarang kredit dari beliau. Kami turut ingin menyuarakan penghargaan kami untuk Anugerah ‘Lagu Terbaik’ ini.”

Rosmin Hashim membuat kesimpulan dengan berkata, “Kami ingin menekankan bahawa pembetulan anugerah ini tidak bermaksud untuk menafikan pencapaian cemerlang Yuna setakat ini dan sebagai persatuan industri rakaman kolektif Malaysia, RIM amat berbangga dengan pencapaian beliau setakat ini sebagai seorang artis dan pencipta lagu Malaysia dan semestinya akan terus menyokong beliau serta semua artis dalam industri muzik. Pengiktirafan sepenuhnya juga harus diberikan kepada ikon-ikon muzik Malaysia kami, Anuar Zain dan Edry Abdul Halim untuk kemenangan “Sedetik Lebih” sebagai Lagu Terbaik.

Seperti yang diumumkan semasa persidangan media AIM yang lepas pada 12hb November 2011, RIM akan menganjurkan forum AIM terbuka pada pukul 3 petang pada 6hb Disember 2011 di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur untuk ahli-ahli industri muzik dan media hiburan untuk memberi komen dan maklumbalas untuk tujuan mempertingkatkan AIM seterusnya. Ia adalah harapan tulus kami bahawa pihak media dan masyarakat umum akan terus menyokong dan menyumbang kepada pembangunan industri muzik Malaysia.”

AIM

AIM

Isu Lagu Terbaik AIM18: Anuar Zain Harap Kejadian Tak Berulang Lagi

Merujuk kepada isu ini, Mstar Online melaporkan Anuar Zain begitu kesal dengan apa yang berlaku dan berharap tidak akan berulang perkara yang memalukan ini pada masa akan datang.

KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu Sedetik Lebih, Anuar Zain berharap pengumuman kemenangannya melalui lagu Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim tidak menimbulkan sebarang pertikaian selepas anugerah Lagu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 18 (AIM18) pada awalnya diserahkan kepada lagu Penakut ciptaan Yunalis Zarai atau Yuna.

Kata Anuar, dia tidak mahu dengan pembetulan ini akan menimbulkan fikiran negatif terhadapnya atas kemenangan Yuna pada malam AIM 18 pada 12 November lalu.

“Ini merupakan satu kesilapan yang menjadi sejarah dalam industri hiburan tanah air, secara jujurnya ketika menerima berita ini, saya agak terkejut. Saya tidak mahu orang luar menganggap kami telah mempertikaikan kemenangan Yuna untuk kategori tersebut, sedangkan saya sendiri menerima keputusan lagu ‘Penakut’ sebagai Lagu Terbaik pada malam itu dengan hati yang terbuka.”

AIM 18 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil dianjurkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM). Pada malam tersebut, lagu Sedetik Lebih telah memenangi kategori Lagu Pop Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Lelaki). Kata Anuar, dia menganggap perkara tersebut sebagai kesilapan besar yang sememangnya boleh menjejaskan kredibiliti seseorang artis yang tidak bersalah.

“Jika diikutkan saya, berat untuk terima anugerah ini dan tidak mahu datang untuk berdepan dengan Yuna menerima trofi kemenangan tersebut. Kadang kala saya rasa anugerah tersebut tidak perlu untuk dipulangkan dan perkara ini lebih baik dibiarkan diam sahaja,” katanya lagi.

Bagaimanapun, katanya dia menerima penghargaan tersebut dengan berfikiran positif agar dapat membantu industri seni pada masa akan datang.

“Saya hormat Yuna lebih kerana dia sanggup datang untuk majlis pemulangan anugerah ini dengan hati yang terbuka dan positif. Saya juga berharap tidak berlaku lagi kejadian sebegini yang boleh mengakibatkan kredibiliti AIM dan RIM dipertikaikan,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Coca Cola Heritage Fair 2011

Konsert Loudspeaker