in

Anugerah Industri Muzik AIM22 Perkenal Lima Kategori Baru

Pada hari ini, jam 3 petang akan berlangsungnya sidang media pengumuman calon penuh untuk Anugerah Industri Muzik (AIM) untuk kali yang ke-22 di ParkRoyal Kuala Lumpur. AIM22 bakal berlangsung di 18 Disember ini. Nantikan peraduan menang pass menonton secara live di budiey.com ya.

Anugerah Industri Muzik AIM22

Walaupun pelbagai spekulasi berlegar mengenai penganjuran Anugerah Industri Muzik (AIM) untuk kali yang ke-22, majlis anugerah dunia muzik tempatan paling berprestij tanah air akhirnya dilancarkan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selaku penganjur, sekali gus tarikh pembukaan pencalonan, tempoh kelayakan, syarat kelayakan dan kriteria untuk setiap kategori anugerah dipertandingkan diumumkan pada majlis pelancaran yang turut memperkenalkan lima kategori anugerah baru iaitu Lagu Muat-Turun Paling Tinggi, Lagu Strim Paling Tinggi, Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton menerusi YouTube, Lagu Nada Dering Pemanggil Jualan Paling Tinggi dan Penyanyi Malaysia Terbaik.

Sejak 1993, AIM dikenali sebagai Grammy Awards versi tempatan memandangkan inilah satu-satunya majlis anugerah yang memberi pengiktirafan kepada hasil kerja bakat seni industri muzik tempatan termasuk penyanyi, komposer, penulis lirik, penerbit dan pereka berdasarkan merit dan kualiti. Di samping itu, penganjuran AIM membantu melonjakkan kualiti hasil kerja penggiat seni tanah air selain menjadi pemangkin kepada pembangunan industri muzik tempatan.

Anugerah Industri Muzik AIM22

“Kami amat berbangga kerana dapat menganjurkan sekali lagi acara anugerah yang sememangnya dinantikan seluruh warga industri muzik tempatan setiap tahun. Kita bergerak jauh sejak AIM pertama pada 1993 dan AIM kini semakin matang seiring usia ke-22 penganjurannya”, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22), Rosmin Hashim.

Menurutnya, penambahan lima kategori baru berasaskan jualan dan pilihan ramai adalah untuk mengiktiraf sumbangan besar syarikat rakaman yang menghidupkan industri muzik tempatan selain memberi peluang kepada orang ramai untuk terbabit secara langsung dengan AIM melalui penjurian awam untuk kategori anugerah Penyanyi Malaysia Terbaik.




Bagaimana pun, kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik yang dipersembahkan Artis Luar Negara digugurkan tahun ini untuk memberi tumpuan lebih kepada pengiktirafan artis tempatan. AIM mendapat tajaan Sweedskin sebagai penaja utama, selain Astro Ria sebagai stesen penyiar rasmi dan Hotel Parkroyal, Kuala Lumpur sebagai hotel rasmi.

[pullquote align=”right”]Syarat kelayakan dan tempoh pencalonan AIM22 dibuka untuk lagu atau album dalam Bahasa Melayu dan Inggeris yang diterbitkan di Malaysia bermula 1 Julai 2014 hingga 30 Jun 2016. Tempoh pencalonan dibuka pada Rabu, 29 Jun 2016 dan berakhir pada Jumaat, 29 Julai 2016 tepat jam 5 petang. Borang pencalonan kini diedarkan kepada semua ahli RIM dan boleh dimuat turun menerusi laman sesawang www.aim.org.my.[/pullquote]

Bagi kategori Lagu Muat Turun Paling Tinggi, Lagu Strim Paling Tinggi’dan Jualan Lagu Nada Dering Pemanggil Paling Tinggi, wakil syarikat rakaman diperlukan untuk menghantar satu pencalonan sahaja berdasarkan penjualan tertinggi lagu milik mereka menerusi semua pelantar digital. Semua keputusan diaudit juruaudit bertauliah yang dilantik RIM. Bagi kategori Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton menerusi YouTube, hanya video rasmi daripada album atau lagu syarikat rakaman layak dipertandingkan. Video Muzik ini mestilah dimuat naik syarikat rakaman atau artis menerusi saluran rasmi YouTube mereka. Jumlah tontonan video muzik rasmi disahkan pihak YouTube.

Buat julung kali, satu kategori pilihan ramai diwujudkan iaitu Penyanyi Malaysia Terbaik yang mana orang ramai diberi peluang menjadi juri awam untuk menilai penyanyi yang dirasakan layak memenangi anugerah berkenaan. Penyanyi yang tersenarai dalam Top 5 kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) dan Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) secara automatik layak bertanding dalam kategori ini.

Mekanisma juri awam membuat pemilihan akan diumumkan dalam sidang media kedua AIM22, Oktober depan. Mekanisme penghakiman dikekalkan seperti mana terdahulu. Keputusan lima calon akhir AIM 22 dijangka diumumkan pada Oktober 2016.

Senarai penuh 24 kategori AIM22:

1. Artis Baru Terbaik
2. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki)
3. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita)
4. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan)
5. Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu
6. Kulit Album Terbaik
7. Rakaman Album Terbaik
8. Video Muzik Terbaik
9. Lagu Pop Etnik Terbaik
10. Lagu Nasyid Terbaik
11. Lagu Rock Terbaik
12. Lagu Pop Terbaik
13. Lagu Hip Hop Terbaik
14. Lagu Inggeris Tempatan Terbaik
15. Anugerah Kembara
16. Anugerah Sri Wirama
17. Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu
18. Lagu Terbaik
19. Album Terbaik
20. Lagu Muat Turun Paling Tinggi (BARU)
21. Lagu Strim Paling Tinggi (BARU)
22. Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton menerusi YouTube (BARU)
23. Jualan Lagu Nada Dering Pemanggil Paling Tinggi (BARU)
24. Penyanyi Malaysia Terbaik (BARU)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Minggu Pertama Gegar Vaganza Musim Ketiga Bakal Menyengat?

Dato’ Siti Nurhaliza Mendominasi AIM22 dengan 7 Pencalonan