in ,

Altimet Bersara, Adakah Zamani Bakal Ganti Altimet di AJL 33?

Semasa sesi temubual Budiey bersama Altimet, Budiey ada bertanyakan siapakah penyanyi hip hop yang akan buat persembahan lagu BUNGA menggantikan Altimet yang bersara. Ramai peminat Zamani mencadangkan agar Altimet mengambil Zaman kerana aura pada Zamani dapat menjadikan persembahan akan meletop.

Walaupun lagu nyanyiannya berjudul Bunga berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33), Altimet tetap bertegas dengan pendiriannya untuk tidak menyanyikan lagu tersebut di malam kemuncak AJL 33 yang akan berlangsung pada 3 Februari 2019.

Menurut Altimet, dia akan tetap meneruskan agenda persaraannya daripada dunia hiburan sebaik usianya genap mencecah 40 tahun pada 27 November ini.

“Saya tidak akan buat persembahan dan menyanyi pada AJL 33. Ada orang yang akan ganti dan saya tidak berasa ralat sebab kalau saya bagi kelonggaran nanti orang akan minta lagi (buat persembahan pentas). Ini prinsip saya dan memang dah rancang hanya 10 tahun ini sahaja tempoh untuk saya bergelar penyanyi solo.

“Cukup 10 tahun, saya kena cuba benda lain pula. Saya kena ikut dengan perancangan yang telah dibuat oleh saya sendiri. Penyanyi yang akan mewakili saya ini nanti perlu membawa lagu ini mengikut gaya mereka sendiri. Saya yakin penyanyi yang dipilih oleh saya ini mampu membawakan Bunga dengan baik,” – Altimet

Altimet ditemui pada majlis sidang media bersama finalis Anugerah Juara Lagu 33 yang berlangsung di Sri Pentas 2, Shah Alam malam tadi.

Altimet turut menambah, “Bila orang lain nyanyi ia mampu memberikan nafas baharu. Saya lihat contoh seperti Aizat Amdan yang pernah menyanyikan lagu Yuna, Terukir Di Bintang di pentas final AJL edisi terdahulu.”

“Dia bawa dengan cara dan gayanya yang tersendiri sehinggakan orang tak sangka yang penyanyi lelaki boleh bawa lagu yang asalnya dinyanyikan penyanyi wanita dengan cukup baik,”

Altimet masih belum mahu mendedahkan identiti penyanyi yang bakal menggantikan kemunculannya pada malam kemuncak AJL 33 kelak.

Kesemua 12 lagu yang tercalon sebagai finalis AJL33 diumumkan menerusi siaran langsung TV3 pada minggu ketiga Separuh Akhir Muzik-Muzik 33, semalam.

Bunga yang merupakan hasil ciptaan komposer Omar K dan John Jeevasingam serta lirik oleh Altimet berjaya melayakkan diri ke peringkat final AJL33 yang akan berlangsung pada 3 Februari ini di Axiata Arena, Kuala Lumpur.

Selain Bunga, 11 finalis yang mara ke peringkat akhir ialah Siti Sarah menerusi lagu Semakin, Hael Husaini (Hajat), Ara Johari (Bunga), Haqiem Rusli feat. Aman RA ( Jatuh Bangun), Sufian Suhaimi (Di Matamu), Misha Omar (Sampai Bila), Siti Nordiana dan Jaclyn Victor (Nisan Cinta), Kaer dan Amylea (Tak Pernah Hilang), Khai Bahar (Luluh) dan Syamel (Kau Pun Sama).

Kesemua barisan lagu ini dinilai oleh juri profesional yang terdiri daripada Ajai, Edrie Hashim, Cat Farish, Azmeer, Helen Yap, Lok U dan Datuk Mokhzani Ismail selaku ketua juri.

Sumber: KopiPlanet.com

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Seharian Berjimba Main Air di SPLASH WORLD My Town Park

Sinopsis Telemovie APIT DAN PENDEKAR LEGENDA