in , ,

Aisha Retno Ungkap Rintihan Menanti Jawapan Cinta Dalam NUKILANKU

Tiada rasa yang lebih memeritkan selain menanti cinta luhur daripada seseorang untuk berputik dalam hati. Apatah lagi jika seseorang itu cuma dekat dengan kita hanya kerana mengingatkannya kepada cinta lama. Rasa pedih itu pastinya lebih berat mengenangkan sampai bila harus menanti untuk cinta kita berbalas.

Itulah yang cuba disampaikan penyanyi Aisha Retno menerusi lagu baharu ciptaannya berjudul ‘Nukilanku’. Mendapat sentuhan melodi daripada komposer hebat, Farouk Roman, perjalanan kisah dalam lagu itu cukup meruntun perasaan. Situasi terperangkap dalam ruang cinta yang tak pasti, sesiapapun pasti sedih.

Meskipun dicipta khas untuk dijadikan runut bunyi drama, Aisha mengakui keperitan itu cukup dirasakan sewaktu merakamkan lagu Nukilanku. Baginya, situasi menanti cinta untuk dibalas itu saja pun sudah terlalu menduga emosi. Justeru, dia berharap lagu terbabit akan mampu menjadi lagu penenang buat yang berdepan situasi serupa.

Aisha Retno Ungkap Rintihan Menanti Jawapan Cinta Dalam NUKILANKU

“Nukilanku diinsipirasikan daripada skrip drama itu sendiri di mana saya menceritakan daripada perspektif watak Hadi yang kematian kembarnya, Hakim. Seorang wanita yang mulanya cintakan Hakim kemudian sukakan Hadi pula. Namun begitu, perasaannya itu timbul kerana wajah Hadi yang mengingatkannya kepada Hakim, bukannya disebabkan rasa cinta.

“Jadi, saya mewakili Hadi dalam lagu ini tertunggu bila tibanya perasaan cinta luhur itu buatnya. Dia berjanji akan setia menunggu bila saat itu akan tiba dan berharap cintanya berbalas meskipun dia tidak tahu pengakhirannya bagaimana. Kiranya, Nukilanku adalah luahan hati seseorang yang mengimpikan cinta itu jadi miliknya.

“Saya cuma berharap pendengar akan dapat merasakan rintihan yang saya cuba sampaikan dalam mesej lagu itu. Saya pun sudah lama juga tidak menulis lirik untuk lagu sendiri dan penghayatannya jauh lebih berbeza berbanding menulis lagu kepada orang lain. Biar mereka merasakan keperitan cinta tidak berbalas itu dalam nyanyian saya,” katanya.

Aisha Retno Ungkap Rintihan Menanti Jawapan Cinta Dalam NUKILANKU

Sebagai penyanyi yang memiliki laras vokal hebat, Aisha bagaimanapun mengakui bukan mudah untuknya melunaskan tugasan itu dalam lagu ini. Bahkan, dia mengakui memang berdepan sedikit tekanan sewaktu proses rakamannya namun cukup lega kerana mendapat tunjuk ajar terbaik daripada Farouk.

“Alhamdulillah, proses rakamannya sangat lancar dan ia dibuat selama dua hari. Paling saya rasa bersyukur dan istimewanya adalah apabila Farouk sendiri yang menjaga serta memberi tunjuk ajar pada bahagian vokal saya. Tidak dinafikan, tekanan itu ada juga kerana selalu bahagian vokal orang lain jaga tapi kali ini dikemudi komposernya sendiri,” katanya.

Bukan setakat melebarkan sayap sebagai penyanyi, Aisha juga semakin rancak menulis lirik lagu buat ramai penyanyi lain. Ia termasuk lagu Sendiri nyanyian penyanyi tersohor, Anuar Zain, yang kembali tampil memeriahkan industri muzik baru-baru ini. Bagaimanapun, Aisha mengakui tekanan menulis untuk lagu sendiri memang lebih terasa.

“Lagu kali ini agak berbeza dengan beberapa lagu terdahulu saya kerana lirik sepenuhnya ditulis saya sendiri. Memang agak merisaukan juga kerana keseluruhan lagu hasil ciptaan dan nyanyian sendiri. Apapun, saya berharap pendengar akan dapat menghayati dan merasai bait-bait liriknya yang cukup meruntun jiwa,” katanya.

Aisha Retno Ungkap Rintihan Menanti Jawapan Cinta Dalam NUKILANKU

Lagu Nukilanku adalah satu daripada runut bunyi untuk drama Masih Ada Rindu arahan Osman Ali yang akan ditayangkan di TV3 Slot Akasia, bermula Jun ini dan drama berkenaan dibintangi pelakon hebat termasuk Mimi Lana, Farid Kamil, Dayang Areeda dan ramai lagi.

‘Nukilanku’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jom Habiskan Masa Sehari di Negeri Selangor, Lawati Daerah Hulu Langat Yang Menarik

Kenali YHB Sleepsalot, Penyanyi Rap Muda Yang Bakal Menyinar