in , ,

AirAsia X Sambung Semula Operasi ke Melbourne, Tiket Bermula RM1,399

Tambang termasuk semua bermula RM1,399 sehala antara Kuala Lumpur dan Melbourne. Perkhidmatan baharu ke Auckland melalui Sydney dari Kuala Lumpur juga berlepas hari ini dengan tambang termasuk semua bermula RM1,799 sehala

AirAsia X (AAX) hari ini meraikan penyambungan semula perkhidmatannya ke Melbourne, Australia yang merupakan salah satu destinasi utamanya selepas pandemik.

Penerbangan sulung dari Kuala Lumpur ke Melbourne mendarat pada jam 6.25 pagi dan berlepas dari Melbourne pada 7.40 pagi. Dengan muatan penumpang yang menggalakkan pada kedua-dua penerbangan, perkhidmatan baharu ini menandakan pemulihan permintaan untuk perjalanan udara jarak sederhana tambang rendah, seterusnya merangsang sektor pelancongan Australia dan Malaysia.

Pra-pandemik, AAX menyumbang 45% bahagian pasaran untuk penerbangan antara Australia dan Malaysia dan mengendalikan sehingga 92 penerbangan seminggu ke empat destinasi. Selepas menyambung semula perkhidmatan ke Sydney baru-baru ini dan dengan penyambungan semula perkhidmatan ke Melbourne dan Perth pada minggu ini, AAX akan mengendalikan 24 penerbangan mingguan ke tiga destinasi utama di Australia. AAX juga merancang untuk memulihkan lebih 50% kekerapan penerbangannya berbanding pra-pandemik ke Australia menjelang suku ketiga 2023.

AirAsia X Sambung Semula Operasi ke Melbourne

Penyambungan semula perkhidmatan ke Melbourne yang mempunyai aliran trafik yang seimbang, membolehkan AAX menambah lebih banyak perkhidmatan untuk memenuhi permintaan yang kukuh untuk perjalanan jarak sederhana tambang rendah. Selain itu, AAX juga akan memanfaatkan operasinya di hab kargo domestik Australia termasuk di Melbourne, sebagai aliran pendapatan tambahan.

Sambutan penerbangan sulung dan penyambungan operasi AAX di Lapangan Terbang Melbourne diumumkan hari ini oleh Tunku Dato’ Mahmood Fawzy, Pengerusi AirAsia X; Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X; Lorie Argus, Ketua Pegawai Eksekutif Melbourne Airport dan Brendan McClements, Ketua Pegawai Eksekutif Visit Victoria. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne, wakil Kerajaan Victoria dan pemain industri utama yang lain.

Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AAX berkata: “Australia merupakan destinasi pertama kami yang dilancarkan pada bulan November 2007. Ia sentiasa menjadi salah satu destinasi utama kami dan terbukti mempunyai permintaan kukuh untuk perjalanan dua hala.

“Baru-baru ini kami telah menyambung semula perkhidmatan ke Sydney yang terbukti popular. Justeru, kami berbesar hati untuk kembali ke Melbourne yang merupakan salah satu pasaran utama kami, selain dua lagi perkhidmatan yang akan bermula pada minggu ini iaitu Perth dan Auckland, berikutan permintaan tinggi.

“Sehingga bulan Mac 2020, kami telah membawa lebih 12.7 juta tetamu antara Malaysia dan Australia dengan hampir empat juta tetamu ke Melbourne sahaja. Kami juga berbesar hati untuk terus bekerjasama dengan pihak lapangan terbang dan pemain industri untuk memberi menyumbang ketibaan penumpang di Lapangan Terbang Melbourne pada setiap bulan.

“Dengan pengumuman ini, pengembara di seluruh Asia akan mendapat lebih nilai dan pilihan dengan akses mudah dan berpatutan ke Australia. Pada masa yang sama, pengembara dari Australia akan mempunyai akses kepada lebih 130 destinasi AirAsia ke destinasi popular dalam rangkaian penerbangan jarak dekat dan jarak sederhana kami seperti Thailand, Vietnam, India, Indonesia, Korea, Jepun dan banyak lagi.

“Komitmen kami kepada para tetamu di Asia Pasifik tidak berakhir di sini, kerana kami turut meraikan penyambungan semula perkhidmatan dari Sydney ke Auckland dan Kuala Lumpur ke Perth bermula minggu ini. Kami juga telah melihat tempahan masa hadapan yang memberangsangkan untuk semua laluan ke dan dari Australia serta New Zealand. Kami akan meneruskan fokus untuk memanfaatkan momentum positif ini dengan menambah lebih banyak perkhidmatan dan kekerapan sejajar dengan permintaan pada masa hadapan.”

Lorie Argus, Ketua Pegawai Eksekutif Melbourne Airport berkata: “Kami teruja untuk mengalu-alukan AirAsia X kembali ke Lapangan Terbang Melbourne hari ini. Penyambungan semula perkhidmatannya di sini mengiktiraf kemudahan dan daya saing Lapangan Terbang Melbourne, serta permintaan pasaran yang kukuh.

“Malaysia adalah pasaran penting bagi Victoria untuk perjalanan perniagaan, percutian dan pendidikan. Para pengembara kami juga turut gembira kerana syarikat penerbangan itu kembali lagi dan menawarkan lebih banyak pilihan penerbangan ke Asia dan seterusnya serta memacu persaingan.”

AAX juga meraikan penyambungan semula perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Auckland, New Zealand melalui Sydney yang mendarat pada hari ini jam 5:20 waktu tempatan (New Zealand), dan akan mengalu-alukan penerbangan sulung dari Auckland ke Kuala Lumpur di klia2 yang tiba pada jam 3:35 waktu tempatan (Kuala Lumpur).

Sempena meraikan perkhidmatan baharu ke Melbourne dan pada Auckland hari ini, AAX menawarkan tambang termasuk semua* bernilai hebat bermula hari ini sehingga 6 November 2022 untuk tempoh perjalanan antara 1 Januari dan 28 Oktober 2023. Dari Kuala Lumpur, terbang ke Melbourne daripada RM1,399 sehala untuk tempat duduk ekonomi atau RM4,499 sehala untuk tempat duduk Premium Flatbed. Dari Kuala Lumpur ke Auckland melalui Sydney, nikmati tambang daripada RM1,799 sehala untuk tempat duduk ekonomi atau RM6,999 sehala untuk tempat duduk Premium Flatbed

Para pengembara juga boleh turut serta meraikan perkhidmatan AAX di bandar-bandar terkemuka Australia seperti di Melbourne (Queensbridge Square, Melbourne CBD pada 7 November) dan Sydney (Martin Place, Sydney CBD, 15 November) dengan pelbagai aktiviti menarik, gerai juadah Malaysia dan banyak lagi.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hael Husaini Jadi Bualan Selepas Tinggalkan Komen di IG Pelakon Thailand

Ustaz Kazim Dikecam Setelah Umum Bakal Bertanding Mewakili Parti BN