in ,

8TV Siar Drama Bersiri Twisted

Selepas membawakan beberapa siri drama Hollywood yang membuatkan anda terus melekap di kaca TV menerusi slot perdana seperti Vampire Diaries, Pretty Little Liars dan Revenge, 8TV kini bakal membawakan anda sebuah lagi judul baru yang bakal membuatkan anda ketagih untuk mengetahui apakah yang bakal terjadi dalam setiap episod dalam – TWISTED.

Drama mengenai remaja Amerika ini yang bersiaran selam sejam untuk setiap episod akan menemui penonton bermula 13 Mei, setiap hari Selasa jam 9.30 malam di 8TV (Saluran 708)

Tidak seperti siri misteri lain, TWISTED memiliki jalan cerita yang kompleks dan penuh dengan kejutan serta saat tegang yang bakal membuatkan penonton terus terpaku daripada episod pertama lagi.

Diterbitkan pengarah dan penerbit TV Amerika, Gavin Polone yang juga pemegang beberapa pencalonan anugerah Emmy, TWISTED mengisahkan kehidupan seorang remaja yang mengalami waktu sukar, Danny Desai (Avan Jogia) yang disabitkan membunuh mak ciknya ketika di dalam jagaan. Ketika itu Danny bersama dua orang rakan karibnya, Jo (Maddie Hasson) dan Lacey (Kylie Bunbury) baru berumur 11 tahun. Selepas lima tahun dalam tahanan juvana, Danny yang kini berusia 16 tahun dibebaskan.

131358_0233

Kepulangan Danny ke kawasan kejiranannya memulakan pelbagai kontroversi yang turut memberi tekanan kepada kawan karibnya sebelum ini yang menyaksikan insiden pembunuhan itu. Pengalaman hitam bagi mereka bertiga ternyata memberi impak besar terutama kepada Jo. Kisah lampau itu telah merenggangkan persahabatan mereka dan Danny. Semakin kisah itu dikembangkan, para penonton akan melihat bahawa kesan trauma terhadap Jo menyebabkan dia terpaksa mendapatkan rawatan pakar psikiatri. Jo juga mempunyai ibu bapa yang sangat mempertahankan dirinya, Tess (Kimberly Quinn) dan Kyle (Sam Robards), yang juga merupakan syerif di bandar itu.

Berbanding Jo yang menjadi seorang yang lebih serius, Lacey pula memiliki sifat dan personaliti yang sebaliknya. Gadis merupakan gadis yang lebih berdikari dan bekerja keras untuk melupakan peristiwa lama dan menempatkan dirinya sebagai pelajar popular di sekolah tinggi.

Sejak dibebaskan, Danny sentiasa cuba untuk menemui dan berhubung semula dengan dua orang kawan baiknya dan berniat untuk menyambung pelajarannya di sekolah yang sama. Bimbang dengan masa silam Danny, lembaga sekolah mengadakan sebuah perbincangan dan menolak Danny untuk bersekolah di situ. Namun ibunya, Karen Desai (Denise Richards) berjaya mendapatkan hak Danny untuk bersekolah di kejiranan tersebut.

Danny kesal kerana tidak membesar seperti dua orang rakannya tetapi bagi Jo dan Lacey, apa yang berlaku hanyalah sekadar sejarah hitam di dalam hidup mereka yang ingin dilupakan. Dilihat dan dilabelkan sebagai pemuda terasing dan berpotensi melakukan jenayah, Danny sentiasa cuba untuk mendapatkan peluang kedua dan meyakinkan dua orang gadis itu bahawa dia merupakan kawan baik mereka seperti dahulu. Walaupun bimbang, Jo tetap memberikan peluang kepada Danny dan cuba mendapatkan motif jenayah yang dilakukannya ketika zaman kanak-kanak mereka. Namun Danny enggan menjelaskan peristiwa itu.

Kisah yang bakal dikupas dan memberikan lebih banyak sisi kepada apa yang sebenarnya telah terjadi bakal disulam dengan pelbagai emosi dan kekusutan apabila terbitnya kisah cinta segi tiga di antara mereka.

Sementara itu, Danny berhadapan dengan lebih banyak kontroversi apabila dia menjadi sasaran dan suspek kepada kes pembunuhan pelajar di sekolahnya. Ini mengingatkan Jo dan Lacey apa yang berlaku ketika kes pembunuhan mak cik Danny. Mereka kini perlu membuat keputusan sama ada ingin mempercayai Danny atau sebaliknya. Mungkinkah sebenarnya Danny hanya menjadi mangsa keadaan?

“Danny merupakan sebuah watak berkarisma yang sering dinilai kerana kisah silamnya berbanding apa yang ingin Danny cuba buktikan kepada orang ramai. Kisah hidup Danny yang kompleks bakal membuatkan para penonton ingin mengetahui misteri di sebalik rahsia Danny. Adakah Danny seorang yang tidak bersalah atau mempunyai sifat jenayah di dalam dirinya dan pandai memanipulasi orang lain? Pelbagai kejutan dan sukar membuat jangkaan tentang apa yang bakal terjadi merupakan antara faktor yang menjadikan siri ini menarik,” kata Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV.

“Kepada mereka yang gemar menyelesaikan misteri, TWISTED merupakan drama yang sempurna buat mereka. Peminat siri 8TV seperti Pretty Little Liars, Revenge dan Desperate Housewives pasti akan jatuh cinta terhadap judul terbaru ini yang mempunyai jalan cerita yang kompleks,” tambah Airin.

Kedua-dua peneraju siri ini, Avan Jogia dan Maddie Hasson telah mendapat pencalonan di dalam Teen Choice Awards 2013 di atas lakonan mantap mereka berdua dalam TWISTED.

Jangan ketinggalan menyaksikan siri misteri yang unik ini dan mulakan mengumpul segala klu yang ada untuk merungkai setiap rahsia dan setiap sisi perwatakan untuk mendapatkan kebenaran yang telah diubah. Tonton TWISTED bermula 13 Mei, setiap hari Selasa jam 9.30 malam di 8TV (Saluran 708).

Untuk maklumat lanjut mengenai 8TV layari www.8tv.com.my atau www.tonton.com.my.

130172_0056

130172_0371

131358_1029

131358_1769

131358_1485

131358_2073

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AirAsia Kini Dilengkapi Sistem INTERPOL I-Checkit

Maxis Lancar Aplikasi Hotlink Red