in ,

6ixth Sense Lancar Album Terbaru Berjudul Tentang Kita

6IXTH SENSE LAHIRKAN ALBUM TERBARU BERJUDUL’TENTANG KITA’

BAGAI menjadi arah aliran terkini, gabungan idea dan kepakaran penggiat seni muzik Malaysia ternyata mewarnakan lagi industri muzik tanah air sekali gus memberi variasi kepada pendengar yang dahagakanproduk baru dari masa ke masa.

Menampilkan nama besar dalam pembikinan sesebuah lagu juga turut membantu dalam memperomosikan sesuatu lagu, malah penampilan semula artis yang mungkin selama ini sedikit tenggelam dengan kemunculan muka baru dan sudah lama tidak muncul dengan warkah baru menambahkan lagi kerancakan.

6ixthsense TENTANG KITA cover album

Pastinya, apa saja penggabungan yang dilakukan sama ada dari segi nyanyian secara duet mahu pun sentuhan pemuzik yang mempunyai kelainan tersendiri jarang sekali tidak diterima baik, malah keunikan itulah yang menjadi pemangkin sesuatu produk.

Terbaru, kumpulan yang semakin menjadi pujaan ramai, 6ixth Sense, kembali dengan album terbaru mereka sempena Ramadan yang disambut dengan gembira khususnya masyarakat Islam di Malaysia.

Album yang menjurus kepada nilai kemanusiaan dan kerohanian ini memilih judul Tentang Kita sebagai simbolik kisah hidup manusia yang mencari keredaan Tuhan, tidak mengira sama ada manusia itu berada dalam kesusahan atau dalam lambakan nikmat Tuhan.

Himpunan lagu yang dipilih juga berkait rapat dengan perkara yang berlaku dalam kehidupan harian manusia, khususnya yang masih mencari kedamaian (peristiwa di Syria dan masalah rumah tangga), pencarian kasih sayang (daripada Allah, para Rasul serta ayah dan ibu), penemuan keredaan dan bantuan Tuhan serta khusus untuk para Muslimin yang menagih syaafat rasul (ikon terbaik).

Lagu baru berjudul Altar Cinta ciptaan penuh vokalis mereka, Adi, bakal menemui peminat yang menantikan sentuhan baru mereka yang semakin popular selepas muncul dengan album mereka, +-x÷, yang menampilkan lagu hebat seperti Khatimah Cinta, Menyesal, Yang Sempurnakanku dan Cinta Mati.

Malah, lagu berkenaan bakal diperdengarkan secara serentak menerusi radio utama tempatan pada 18 Julai 2012, terdiri daripada ERA FM (9 malam), THR FM (8.30 malam), SURIA FM (5.50 petang), IKIM FM (5.50 petang), HOT FM dan stesen lain yang mengambil bahagian.

Sebelum ini, mereka tampil dengan single pertama menerusi album ini dengan lagu menampilkan kumpulan nasyid Saujana berjudul Penerang Hati ciptaan Faiz Azizi Arlis atau Gjie dan semakin mendapat tempat di carta radio tempatan, malah mula menjadi pilihan di pusat karaoke seperti Red Box.

Album ini menunjukkan keterbukaan kumpulan ini dalam perjuangan menegakkan syiar Islam menerusi lagu berunsur nasihat dan panduan berguna, malah penyertaan Saujana dalam album ini diharapkan dapat memudahkan kaedah dakwah yang sememangnya menjadi nadi asas dalam album kerohanian ini.

Diharapkan dengan usaha yang ditunjukkan 6ixth Sense kali ini membuahkan hasil dan member makna tersendiri kepada kumpulan ini, apatah lagi pelancaran album mereka mengambil keberkatan Ramadan tahun ini.

Menyentuh soal lagu yang terkandung dalam album Tentang Kita terbitan Universal Music Malaysia ini, gabungan tenaga kerja profesional ternyata mengagumkan apatah lagi dirakam di tiga studio berbeza iaitu Hijjaz Studio, King’s Studio dan Studio 18.

Mengandungi empat lagi lagu lain seperti Ayah Dan Ibu, Damai Yang Hilang, Rasulullah dan Cintaku Padamu Seluas Angkasa (Selawat), susunan muzik yang direncana 6ixth Sense sendiri pastinya mengekalkan kunikan tersendiri kumpulan itu, dimantapkan lagi dengan bunyian ‘strings’ oleh Dimawan Krisnowo Adji Sa’unine Strings.

Antara lagu terbabit adalah lagu yang diberi nafas baru yang pernah dipopularkan oleh kumpulan nasyid tempatan iaitu Nowseeheart dan Hijjaz.

Malah, penglibatan penerbit lagu ini iaitu Mujahid Abdul Wahab yang berpengalaman menerbitkan album 6ixth Sense sebelumnyai pasti diyakini, apatah lagi beliaulah yang membentuk kumpulan ini sejak mula menempatkan diri di arena seni suara.

Diharapkan buah tangan kali ini dapat memberi manfaat kepada pendengar, sekali gus memberi peluang kepada pendengar untuk menikmati naskhah hebat ini.

SENARAI PENUH LAGU ALBUM ‘TENTANG KITA’

  1. Penerang Hati
  2. Ayah Dan Ibu
  3. Damai Yang Hilang
  4. Rasulullah
  5. Cintaku Padamu Seluas Angkasa (Selawat)
  6. Altar Cinta

LIRIK ALTAR CINTA
Luruh hatiku menjadi puing-puing yang tandus
Kala terjatuh saatku jalan dalam kehidupan
Deras merayu kepada satu cinta abadi
Malam menjadi altar cinta yang lebih mendalam
Kesal bukan satu jawapan
Hanya cintaMu beri sayap
co:
Tak mampu kuterbang tanpaMu
Ku lemah jauh dari cintaMu
Saat pedang takdir menghunus
Hanya Engkau sayapku

Song and Lyric : Adi 6ixth Sense
OP: Rumpun Records Sdn Bhd
SP: Universal Music Publishing Sdn Bhd

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Gambar Rozita Che Wan di Anugerah Stail EH! 2012

Standard Format Post