in ,

Zizan Nin Pegang Watak Hitam Dalam Drama Bersiri Subuh & Maghrib

ZIZAN NIN PEGANG WATAK HITAM DALAM DRAMA BERSIRI SUBUH & MAGHRIB DI TV2

Watak Anuar yang dilakonkan pelakon kacak Zizan Nin menerusi drama bersiri empat episod, Subuh & Maghrib arahan Noraziah Zakaria, Unit Drama TV RTM yang disiarkan mulai 12 Oktober 2009, setiap Isnin, jam 12.00 tengah malam di TV2 ini pastinya menyuntik kelainan dalam lakonannya berbanding watak-watak pemuda baik-baik yang pernah dilakonkannya terdahulu.

Menerusi drama yang turut dibintangi Ziemaa Din, Yuni Nor Leitey, Intan Norsaina, Kancana Dewi, Khatijah Tan dan Zaidi Omar ini, pelakon yang juga model ini memegang watak ‘hitam’ sebagai pemuda yang dikenali Anuar, arkitek yang curang dengan sepupunya sendiri meskipun telah bertunang dengan gadis pilihannya.

Kisahnya bermula dengan menampilkan watak Sofia bersama Jun dan Nurul yang menyambung pelajarannya di kolej swasta. Sofia mempunyai teman lelaki bernama Anuar yang merupakan sepupu kepada Jun dan bekerja sebagai arkitek. Namun dalam masa yang sama Jun sebenarnya mempunyai perasaan terhadap Anuar. Mengikat tali pertunangan antara Sofia dan Anuar membuatkan Jun bertambah marah dan merancang untuk memutuskan pertunangan mereka.

Dalam masa yang sama, terjadi krisis antara Sofia dan Ana, teman sebilik Sofia kerana Ana tidak mahu membantu Sofia menyiapkan tugasannya dan pada masa yang sama Ana menasihati Sofia supaya menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Keghairahan Lela, ibu Sofia dalam menyediakan persiapan perkahwinan Sofia. Berlaku pergaduhan antara Sofia dan Anuar angkara Jun.

Anuar cuba memperbaiki hubungannya dengan Sofia. Akhirnya Sofia mengalah dan memaafkan Anuar .Namun, Jun mencuba sekali lagi menggoda Anuar sehingga menyebabkan Anuar tertewas di tangannya. Selain itu, Lela terus berlagak sombong dengan orang kampung tentang anknya yang bakal berkahwin dengan anak orang kaya dan mendapat hantaran yang paling tinggi di kampung tersebut. Berlaku satu insiden ketika Sofia ke rumah Anuar kerana meminta bantuan Anuar menyiapkan tugasannya. Anuar cuba bertindak ganas dengan cubaan merogol Sofia. Namun, Sofia berjaya melarikan diri dan pergi mendapatkan Jun. Jun cuba menenangkan Sofia. Namun, hubungan antara Anuar dan Jun terbongkar apabila Sofia menjumpai jam tangan milik Anuar di bawah tilam Jun. Sofia sedar bahawa Anuar dan Jun mempunyai hubungan sulit.

Lela pula semakin ghairah untuk menyiapkan persiapan perkahwinan Sofia. Selain itu, Sofia menjadi semakin rapat dengan Ana setelah menceritakan apa yang telah terjadi terhadapnya dan bantuan Ana dalam menyiapkan tugasan Sofia. Hubungan Sofia dengan Jun dan Nurul semakin renggang. Sofia mengambil keputusan untuk mengikut Ana pulang ke kampungnya untuk menenangkan fikiran. Di situlah Sofia berjumpa dengan Abdullah, bapa Ana yang telah banyak memberi nasihat kepadanya. Akhirnya Sofia mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangan dengan Anuar walaupun mendapat tentangan hebat daripada keluarganya. Anuar kesal dengan apa yang terjadi.

Namun masihkah ada ruang di hati Sofia untuk memaafkan Anuar atau sebaliknya? Untuk mengetahui kesudahannya, usah ketinggalan menyaksikan Subuh & Maghrib mulai 12 Oktober 2009, setiap Isnin, jam 12.00 tengah malam di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Trailer & Sinopsis Sorority Row

Gambar Amy Mastura dan Anaknya di Sidang Media Teater Gamat