in

Zizan, Nabil, Nur Khiriah, Bell Ngasri dalam Spontan

Barisan Selebriti Komedi Terkenal Rancakkan Musim Kedua!

Bagi menyemarakkan lagi program-program bercorak permainan di Astro pada tahun 2010, kami dengan bangganya membawakan program Spontan yang kini sudahpun memasuki musim kedua yang akan bersiaran menerusi Astro WARNA di saluran 132 dalam pakej Mustika setiap Isnin bermula 31 Mei 2010, jam 9.30 malam.

Program 26 episod yang berkonsepkan program pementasan secara bersahaja berdasarkan situasi yang diberi diserikan lagi dengan kehadiran barisan selebriti-selebriti komedi popular selaku pemain utama seperti Afdlin Shauki, Douglas Lim, dan juga para pelapis pelawak berbakat besar tanah air yang dicungkil melalui program realiti Raja Lawak Astro seperti Zizan dan Nabil.

Program ini juga turut menampilkan seorang selebriti yang akan dijemput khas untuk bergandingan dengan barisan pemain utama bagi melakonkan situasi yang diberi untuk setiap episod. Antara selebriti-selebriti jemputan termasuklah Harith Iskandar, Nur Khiriah, Radhi Khalid, Bell Ngasri, Angah Raja Lawak, Bob Kuman, Aziz M Osman, Harun Salim Bachik dan Riezman Khuzaimi

Cik Azlina Megat, Pengurus Saluran Astro Warna berkata, “Di Astro, kami sentiasa mengutamakan kehendak para penonton yang mahukan program-program terbaik untuk ditonton. Oleh itu, kami tanpa ragu membawakan kembali program Spontan khusus buat mereka.

Program bercorak permainan yang sudahpun memasuki musim kedua ini juga masih mengekalkan format asal yang dibantu dengan empat orang selebriti selaku pemain utama dengan penampilan istimewa daripada selebriti-selebriti terkenal tanahair selaku pemain jemputan pada setiap minggu,” ujar Azlina.

Masih mengekalkan Sharifah Shahira dan Afdlin Shauki sebagai pengacara, program Spontan bakal menyaksikan keletah dan gelagat para peserta melakonkan pelbagai sketsa yang perlu diolah secara spontan berdasarkan empat buah permainan atau segmen yang berubah setiap minggu secara rawak.

Antara jenis permainanan atau segmen yang bakal dimainkan di dalam program Spontan termasuklah Penterjemahan, Beku atau Freeze Game, Sketsa Berabjad, Pemberita Berkepala Tiga, Ciptaan, Skrip Rabak, Sketsa Soal Menyoal, Pemandu Pelancong, Demonstrasi, Juru Jual Langsung, Keluar Masuk, Kesan Bunyi Khas, Situasi Piaa!, Genre, Jamuan Petang Cik Kiah, Dubbing Game, Pantun Empat Kerat, Tak Serupa Bikin , Cd Lelong, Tiru Sama Dia, Terteruk Di Dunia dan Ladang dan Sejarah Pertama.

Azlina turut menambah, ”Program-program bercorak permainan ternyata berjaya menerima sambutan yang memberangsangkan sekaligus dapat mengumpul kelompok peminat yang tersendiri dan ini jelas dapat dilihat menerusi pelbagai program yang mempunyai genre yang sebegini menerusi saluran Astro yang pelbagai. Di Astro Warna sendiri, selain Spontan kami turut menyiarkan program Mandi dan Redah Kasi Pecah buat tontonan ramai serta ’Terkono’ dan ’Kalau Berani 1 vs 0’ tidak lama lagi.

”Selain itu, bagi mengenang jasa serta sebagai tanda penghormatan buat Allahyarham Din Beramboi yang pernah menjayakan program Spontan selaku barisan pemain utama dalam musim pertama, kami ingin mendedikasikan episod pertama untuk musim kedua ini khas kepada Allahyarham yang telah banyak mencurahkan idea dan pengisian menarik untuk memikat hati para penonton demi menjayakan program ini.

Untuk episod ini, para pemain akan bermain tiga buah permainan kegemaran Allahyarham iaitu Pemberita Berkepala Tiga, Beku serta Demonstrasi.

Musim ini juga kami buat pertama kali ingin memperkenalkan Pingat Din Beramboi yang mana para pemenang untuk setiap episod bakal memenangi Pingat Din Beramboi iaitu pingat istimewa yang berbentuk lakaran komik wajah Allahyarham, “ jelas Azlina dengan lebih lanjut.

Jangan lupa temujanji anda untuk menyaksikan musim kedua program Spontan setiap Isnin bermula 31 Mei 2010 jam 9.30 malam menerusi saluran Astro WARNA di saluran 132 dalam pakej Mustika.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

ADV: CAN BANKING BE BETTER?

Gossip Selebriti Cerewet Berlagak Diva