in

Zathura : A Space Advanture, Tristan And Isolde & Chasing Papi

TIGA FILEM POPULAR PELBAGAI GENRE MENGISI SLOT CINEMA ON 2 SEPANJANG BULAN SEPTEMBER  2008 DI RTM2

Istimewa setiap Rabu, jam 10.00 malam sepanjang bulan September 2008 ini, RTM2 menerusi slot tontonan ramai Cinema On 2, penonton disajikan tiga filem menarik pelbagai genre yang pastinya memenuhi kehendak segenap lapisan penonton.
 
Membuka tirai slot dengan Zathura : A Space Advanture (10 September 2008), Tristan And Isolde (17 September 2008) sebelum diakhiri Chasing Papi (24 September 2008).

Zathura : A Space Advanture filem arahan Jon Favreau berdasarkan ilustrasi buku karya Chris Van Allsburg yang popular sekitar tahun 2005 ini mengajak penonton yang gemarkan filem bergenre sains fiksyen berkongsi pengalaman dua beradik Danny dan Walter yang terdorong untuk lebih mendalami tentang angkasa ketika bermain permainan misteri dalam baseman.

Dalam perjalanan yang mengujakan itu, mereka menyertai seorang angkasawan dan mesti bertarung menyelamatkan meteor, musuh makhluk asing dan robot yang membuat kacau di sana sini. Dengan bantuan angkasawan itu, Danny dan Walter meletakkan diri mereka pada kedudukan berbeza dan bekerjasama untuk menamatkan permainan supaya mereka dapat pulang semula ke rumah.

Tetapi mereka terpaksa berdepan cabaran besar untuk mengelakkan planet gelap Zathura. Adakah misi mereka berjaya?  

Zathura : A Space Advanture dilakonkan Tim Robbins, Jonah Bobo, Josh Hutcherson, Kristen Stewart dan Dax Shepard.

Kemudiannya menyusul Tristan And Isolde membawakan plot cerita legenda romantik abad pertengahan pasangan Tristan dan Isolde yang diterjemahkan ke filem tahun 2006 arahan Kevin Reynolds lakonan James Franco and Sophia Myles selain turut dibantu Rufus Sewell, David Patrick O’hara, Henry Cavill dan JB Blanc.

Tristan And Isolde mengisahkan selepas kejatuhan Rom, berlaku keganasan di England yang berlaku kerana didorong tindakan kekerasan dilakukan Raja Irish, Donnchadh. Salah seorang daripada ketua mereka, Lord Marke melihat kesatuan yang terjalin dalam kaum Inggeris daripada sebuah bangsa yang kuat telah sebati dalam dirinya.

Akibat kekacauan itu telah menyebabkan Tristan menjadi anak yatim lalu dipelihara oleh keluarga Marke. Dengan adanya Tristan, Marke percaya dia dapat menyatukan orang-orangnya dan sekaligus menghapuskan England dalam perundangan orang-orang Irish.

Dalam diam Tristan menjalinkan hubungan dengan puteri Raja Donnchadh bernama Isolde yang terkenal dengan kecantikannya cuba bersembunyi dan menentang kekerasan dilakukan ayahnya terhadap rakyat. Tetapi dia terpaksa akur dengan kehendak ayahnya supaya pulang ke England meski pun sedih tidak dapat bersama Tristan.

Takdir jodoh menemukan mereka sekali lagi apabila Tristan berjaya memenangi pertandingan yang diaturkan Raja Donnchadh yang ganjarannya adalah mengahwini puterinya. Namun kedua-duanya tidak mengetahui perkara itu. Sebaliknya Marke yang sememangnya memusuhi raja itu berhasrat menggunakan anak angkatnya untuk membalas dendam.

Tirai slot Cinema On 2 sepanjang September 2008 diakhiri dengan menyiarkan Chasing Papi yang mengisahkan tiga wanita bernama Patricia, Lorena dan Cici yang berusaha untuk mendapatkan pasangan yang sempurna dalam hidup mereka hingga sanggup berhijrah ke Los Angeles dalam misi mereka itu.

Pada masa sama Patricia cuba mencari kebebasan daripada kongkongan ibunya, Lorena seorang yang sukakan puisi manakala Cici pula memburu lelaki yang mampu menyalakan cinta di hatinya. Apatahlagi mereka didorong oleh pakar tilik yang menyatakan jodoh mereka menanti di Los Angeles.

Sementara itu seorang pemuda kacak dan terkenal dengan kehebatannya dikenali Tomas Fuentes yang menjawat jawatan eksekutif pengiklanan terjebak sama dalam pencarian jodoh yang sesuai untuknya. Dengan pelbagai kelebihan yang dimilikinya dia seringkali gagal dalam menjalinkan hubungan dengan wanita. Umpama satu sumpahan, sesiapa gadis yang bercinta dengannya akan menghadapi masalah besar dalam hidup mereka.

Namun akhirnya terjadi situasi yang memaksa Tomas memilih salah seorang daripada tiga wanita ini sebagai isterinya. Siapakah yang menjadi pilihan Tomas?

Filem ini dibintangi Roselyn Sanchez, Sofia Vergara, Eduardo Verastgui, D. L. Hughley dan Freddy Rodriguez.

Jika inginkan kepuasan tontonan variasi genre filem-filem Inggeris yang popular, usah ketinggalan menyaksikan Zathura : A Space Advanture (10 September 2008), Tristan And Isolde (17 September 2008) sebelum diakhiri Chasing Papi (24 September 2008), setiap Rabu, jam 10.00 malam yang mengisi slot Cinema On 2 sepanjang September di di RTM2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sharifah Aini, Ifa Radziah di Rakaman Melodi Raya

Lirik Lagu Cinta Yang Sempurna – 6ixth Sense feat. Noe Letto