in , ,

Zamarul Hisham, Zarina Zainuddin Dalam Drama Mana Kek Siti

MANA KEK SITI?, DRAMA PAPAR GEJALA RASUAH MENGISI SLOT CITRA, JUMAAT (05 SEPTEMBER 2008), JAM 10.00 MALAM DI RTM2

Kesalahan memberi dan menerima rasuah sememangnya bukan sahaja dilarang undang-undang negara sebaliknya turut ditentang keras oleh agama. Namun perkara ini semakin hari semakin berleluasa di kalangan masyarakat yang berkempentingan terhadap sesuatu perkara dengan cara yang mudah.

Justeru pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan drama Mana Kek Siti? mengisi Slot Citra, Jumaat (05 September 2008), jam 10.00 malam di RTM2 yang dilihat mampu memberikan kesedaran kepada penonton implikasi rasuah yang akhirnya mengheret sama keluarga tersayang memikul beban yang tidak sepatutnya ditanggungi mereka.

Mana Kek Siti? Drama melibatkan pasukan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang diterbitkan MDAG Marketing Sdn Bhd ini menyaksikan lakonan berkesan Zamarul Hisham, Zarina Zainuddin, Mas Ayrra, Liza Shadan, Kamal Bakar, Jessie Lim dan Aida Othman.

Mana Kek Siti? membawakan kisah Zamri seorang pegawai kerajaan sering melibatkan dirinya dengan permainan judi terutama bermain mesin ‘Jack-Pot’. Leka berjudi membuatkan  Zamri mengabaikan tugasnya dan sering tidak hadir ke pejabat walaupun telah diberi amaran oleh Ketua Jabatannya.

Tindakan Zamri semakin berani dengan meminta wang rasuah daripada orang yang berurusan dengannya selain meminjam wang dari peminjam wang haram (Along). Hutangnya semakin bertambah hingga Zamri cuba meminta wang dari hasil isterinya yang menjual kuih dan berniaga nasi lemak untuk membantu suaminya.

Zamri kemudiannya memberikan wang hasil daripada kemenangan bermian judi kepada isterinya. Ketika itu Zamri didatangi oleh anaknya Siti memaklumkan tidak lama lagi akan tiba ulangtahun hari lahirnya. Siti merayu supaya ayahnya membelikan kek harijadi pada hari tersebut. Zamri yang tidak sampai hati berjanji menunaikan permintaan anaknya itu.

Di pejabat Zamri telah mencuri fail dari pejabatnya untuk berurusan dengan permohonan pindah hakmilik tanah. Zamri dengan beraninya telah mengambil kesempatan untuk memperdayakan lelaki tersebut dengan mengatakan perlu ada wang pelincir sebanyak RM 2,000.00 dan menunjuk kepada pemilik tanah tersebut. Lelaki tersebut memberi wang pelincir kepada Zamri. Zamri secara senyap telah membawa balik fail permohonan lelaki tersebut yang mana permohonan itu sememangnya telah diluluskan oleh Ketua Jabatannya.

Zamri tidak serik dengan kesusahan yang menimpa dirinya telah pergi ke tempat perjudian itu semula. Oleh kerana beliau sering kalah dalam permainan judinya itu. Zamri telah bergaduh dengan orang dalam di tempat perjudian tersebut. Zamri semakin tidak bertanggungjawab dan tidak ada sikap simpati itu telah mencuri kesemua wang tabungan isterinya untuk tujuan berjudi. Tindakannya itu telah disyaki oleh isterinya dan Siti mengambil wang tabungannya untuk diberikan kepada ibunya berbelanja.

Zamri telah berjumpa dengan pelanggannya untuk mendapatkan wang pelincirnya. Dalam pertemuan dan pemberian wang tersebut Zamri telah ditangkap oleh pegawai BPR atas kesalahan menerima wang rasuah.

Setibanya di rumah, Siti yang sedang bersama-sama kawan-kawannya meraikan majlis harijadinya. Melihat ayahnya pulang ke rumah bersama-sama beberapa orang lelaki, Siti berlari ke arah ayahnya meminta kek yang dijanjikan.

Zamri serba salah melihat Siti menuju kepadanya dan meminta Cikgu Siti mengambil Siti sekejap. Siti memegang tangan ayahnya dan baju jaketnya terselak. Siti terlihat gari ditangan ayahnya. Siti terdiam.

Dapatkah Zamri memenuhi janji yang telah diucapkan kepada Siti? Bagaimana pula penerimaan Mislah setelah mengetahui suaminya ditangkap BPR? Jangan ketinggalan menyaksikan kesudahan drama penuh konflik dan pengharapan seorang anak ini menerusi Mana Kek Siti?, Jumaat (05 September 2008), jam 10.00 malam di RTM2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sekitar Pelancaran Teater Impak Maksima The Musical

Gambar Kahwin Dekna AF