in

Yalal Chin Meninggal Dunia

Pelakon Yalal Chin Meninggal Dunia

Pelakon drama lelaki yang kita anggap senior dalam industri drama, Yalal Chin atau nama sebenarnya, Yalal Abu Achin telah meninggal dunia jam 12.30 tengah malam tadi kerana sakit jantung dan komplikasi pendarahan dalam otak di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras. Berita ini dikhabarkan juga oleh rakan artis, antaranya Afdlin Shauki dan Vanidah Imran di status Twitter mereka.

“Salam semua,Seniman Yalal Chin telah pulang ke Rahmatullah.pd jam 12.30 sebentar tadi.AL-Fatihah. He was one of the nicest man / actor i kno” – Afdlin Shauki
“Al-fatihah buat Yalal Chin yg telah pulang ke Rahmatullah. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang2 yg beriman. Amin.” – Vanidah Imran

Jenazah Allayarham selamat dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Islam Kelemak, Alor Gajah, Melaka pada pukul 11.30 pagi, Sabtu.

Sepanjang pembabitan Allahyarham dalam industri seni tempatan, beliau tidak pernah kedekut ilmu lakonannya.

Allahyarham berasal dari Melaka. Selain berlakon, arwah juga pernah mengarah drama, menjadi pengurus produksi dan jururunding skrip. Pernah berlakon filem Wanita Bertudung Hitam dan filem Paloh sebagai pelakon tambahan. Filem Allahyarham yang masih belum ditayangkan ialah filem Misteri Jalan Lama arahan Afdlin Shauki. Antara telemovie terbaru lakonannya ialah Aku Yang Aku Cari di RTM arahan Arief Kamarhani yang turut berganding dengan Syed Aiman dan Arif Yamin.

Jenazah Yalal Chin dibawa ke Melaka dari HUKM pada jam 3 pagi untuk pengebumian.

Walaupun nama Yalal Chin tidak sehebat Allahyarham M Rajoli dan Allahyarham Din Beramboi, namun lakonan hebatnya menerusi telemovie-telemovie Rashid Sibir sedikit sebanyak memberi impak dalam industri drama tanahair.

Dalam berkarya, Allahyarham sanggup mengeluarkan duit sendiri tanpa pernah memikirkan tentang keuntungan. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang tidak pernah mengenal erti penat dalam menjalankan sesuatu kerjanya di kalangan sahabat handai dalam industri.

Berbakat besar dalam dunia seni, setiap kerja yang dilakukan berlandaskan hati yang ikhlas tanpa meminta sanjungan populariti yang meninggi.

Pelakon Azhan Rani yang rapat dengan Allahyarham sejak tahun 1997 lalu menganggap Yalal merupakan guru yang baik, berbakat tetapi dipinggirkan.

“Walaupun tidak mengecapi populariti sekalipun, Allahyarham tidak pernah mengalah kerana dia lakukan bukan untuk popular.

“Pasti saya akan merindui lakonan Allahyarham. Kepada keluarganya, semoga tabah dan redha dengan pemergiaan beliau,” katanya yang sempat melawat jenazah Allahyarham ketika upacara mandikan jenazah di HUKM, awal pagi Sabtu.

Sementara itu, balu Allahyarham iaitu Suryani Mohd Yusof, 37, sempat berkongsi kenangan sepanjang bergelar isterinya.

“Arwah suka buat lawak dan penyayang. Saya akan ingat kasih sayang yang dia curahkan sampai bila-bila. Dia juga seorang yang suka duduk rumah dan makan masakan saya.

“Saya rasa semua hajatnya sudah tercapai dan dia pergi dengan tenang,” beritahunya dalam nada tenang ketika dihubungi.

Allahyarham juga pernah menjadi Pegawai Kebudayaan Universiti Sains Malaysia (USM) dan mengajar seni persembahan di universiti tersebut. -mstar online

Marilah kita sama-sama sedekah Al-Fatihah kepada arwah Yalal Chin. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan dicucuri rahmat. Salam takziah kepada keluarga Allahyarham.

Al-Fatihah.

yalal chin

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jehan Miskin Terbit Drama Buta Warna

Kartina Aziz Dalam Drama Kerana Cucu