in ,

Video Hari Terakhir Faizal Ismail di Konti Hot FM

Semalam, merupakan hari terakhir Mohd. Faizal Ismail atau FBI berada di konti radio Hot FM dan seperti yang dijangka, konti Hot FM banjir dengan air mata. Semua krew menangisi perpisahan itu. Ye lah, siapa suka dengan perpisahan kan? Semua antara kita tak suka. Budiey ada menonton video hari terakhir Faizal Ismail di konti. Sebak jugak lah.

Konti radio Hot FM ‘banjir’ selepas penyampai-penyampai stesen itu datang seawal jam 9 pagi untuk mengucapkan selamat tinggal kepada penyampai radio terkenal itu.

Tonton juga TEMUBUAL BUDIEY BERSAMA FAIZAL ISMAIL

Penyampai radio berusia 37 tahun itu meletak jawatan secara mengejut dari stesen radio itu pada 24 Oktober. Beliau membuat pengakuan mengenai peletakan jawatan itu menerusi akaun Twitternya.

Twitternya berbunyi: “Saya Faizal Ismail meletakkan jawatan sebagai penyampai Hot FM dengan notis berkuat kuasa hari ini pada 24 Oktober 2013.”

Pada Jumaat, Faizal mendapat penghormatan terakhir dari teman-teman sepejabat apabila kebanyakkan dari penyampai stesen itu ‘turun padang’ menghabiskan masa bersama-sama dengannya di konti.

Selain dari teman rapat dan Hot FM AM Krew, Fara Fauzana dan AG, teman-teman lain yang turut serta termasuk Suraya, Ikhwan, Jay, Chad, dan Sharifah Aleya.

Membuka cerita pengalaman bekerja dengan Faizal, ada antara mereka tidak dapat menahan emosi dan mengalirkan air mata akibat tidak tertahan menanggung hiba merasakan kehilangan teman sekerja mereka.

“Bukan senang untuk memastikan keserasian kami menjadi sebati sehinggakan ke mana-mana saya pergi baying-bayang Faizal sentiasa ada. But don’t worry, I will not miss him that much kerana saya percaya yang Faizal akan sering akan berada bersama-sama dengan saya dan rakan-rakan yang lain.”

Buat kali terakhir bersiaran, Faizal yang kelihatan berpakaian kemas dengan sut hitam dan tali leher, sempat merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaannya kepada stesen radio, rakan sekerja dan pendengar setia Hot FM.

Pendengar Hot FM yang kebanyakkannya tidak pernah terlepas mendengarkan celoteh dan jenaka Faizal yang ke udara setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 6 pagi hingga 10 pagi. Selain bersifat komited terhadap kariernya, Faizal yang pernah menyandang Anugerah Penyampai Radio Lelaki Popular selama enam tahun berturut-turut disenangi kerana kepetahan dan kenakalannya ketika bersiaran.

Ramai peminat tertanya-tanya ke mana halatuju selebriti terkenal itu selepas ‘persaraannya’. Namun, Faizal tidak pernah mendedahkan perancangannya selepas meninggalkan stesen itu.

Ketika dihubungi, Faizal berkata yang lapan tahun berkhidmat dengan stesen radio itu bukan satu jangka masa yang singkat untuk bertapak.

“Setiap hari selama lapan tahun saya, Fara dan AG tidak boleh dipisahkan – kami ibarat rakan serumah Kerja kami ialah ‘bersembang’ dan subjek yang kami bualkan itu kami kongsi bersama-sama dengan pendengar. Ini bukan mudah untuk saya tinggalkan tapi apakan daya kerana saya sudah membuat banyak perancangan untuk masa depan.”

“Sebenarnya, saya mempunyai perancangan untuk menjalankan perniagaan dengan syarikat saya sendiri iaitu, ‘FBI Entertainment Sdn Bhd’ yang kini sudah berusia dua bulan.”

“Buat pengetahuan umum, saya ini seorang yang all-rounder. Bukan saja radio malah pengacaraan TV pun saya aktif. Jadi, saya rasa lebih baik bagi saya untuk mengmbil langkah untuk keluar dari ‘comfort zone’ untuk menimba pengalaman baru.”

Beroperasi di Kota Damansara, Selangor ‘FBI Entertainment Sdn Bhd adalah sebuah syarikat pengurusan majlis dan produksi TV yang akan dikendalikannya sendiri. Ketika ditanya bagaimana perasaannya berada di konti buat kali terakhir, Faizal berkata, ‘saya bukannya seorang yang senang menangis. Namun, saya tidak dapat menahan sebak kerana terlalu banyak memori manis ketika berkhidmat di Hot FM,” kata Faizal.

Faizal bakal mengembangkan karier televisyennya selepas ini.

Peminat-peminat Faizal bakal menyaksikannya dalam program Apa Saja FBI yang bakal ditayangkan di TV9 dan Anugerah Skrin. Selain dari itu, Faizal telah ditawarkan untuk mengacara beberapa rancangan hiburan pada tahun depan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Twitter Radio Hot FM Kini Ada 1Juta Follower

Senarai Lagu Layak Ke AJL28 Separuh Akhir Kedua Muzik Muzik 28