in , ,

Video Eksklusif: Dazrin Kamarudin Umum Tarikh Nikah

Semasa Budiey menghadiri majlis pelancaran program Seindah Ramadan dan Anugerah Syawal di Hotel One World pada 18 Jun yang lalu, Budiey sempat menemubual pelakon Dazrin Kamarudin dan tunangnya Amyra Rosli. Bahagia betul melihat pasangan ini mengenakan busana sedondon. Macam pasangan raja sehari. Wajah mereka berseri-seri, rupanya sedang menanti untuk diijabkabulkan. Dalam perbualan, Budiey sempat bertanyakan mereka tentang perancangan perkahwinan. Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 25 Ogos tahun lalu selepas tiga tahun menjalinkan hubungan cinta.

Secara ekslusifnya, Dazrin mengesahkan beliau bakal melangsungkan perkahwinan dengan Amyra Rosli pada 8 Ogos 2014. Resepsi akan berlangsung pada 10 Ogos dan kenduri di 16 Ogos dan 17 Ogos di A Fanosa Alor Gajah. Di KL pula, majlis resepsi akan diadakan di Puchong dan Malawati.

Dazrin, 26, berkata, dia sendiri memilih tarikh berkenaan kerana ia mempunyai simbolik istimewa dalam hubungan mereka tambahan pula ketika itu umat Islam masih meraikan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Insya-Allah saya dan Amyra akan disatukan sebagai suami-isteri pada 8 Ogos depan iaitu dua minggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. Saya memilih tarikh itu kerana ia bulan kelahiran Amyra dan dia dilahirkan pada tahun 1988. Jadi ia sebagai satu simbolik sebagai ingatan kami berdua.”

Dalam pada itu, Dazrin mengakui gementar untuk bergelar seorang suami namun menjelaskan sudah bersedia mengalas tanggungjawab baharu itu apabila mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Tanyalah pada sesiapa pun perasaan gemuruh itu pasti akan ada pada mana-mana lelaki yang bakal berkahwin tambahan pula tarikh untuk disatukan itu semakin hampir. Pun begitu saya sudah bersedia untuk melayari alam rumah tangga bersama Amyra dan berharap perancangan ke arah itu berjalan dengan baik.”

Sementara itu, Amyra, 23, yang turut hadir pada majlis sama berkata, dia tidak melihat keputusannya untuk menamatkan zaman solo akan memberikan impak negatif kepada kerjaya lakonannya yang sedang meningkat naik.

Jelas Amyra, dia yakin rezekinya bukan ditentukan oleh status seseorang artis itu sebaliknya ia daripada Tuhan selain usaha dan kerja keras untuk berjaya.

“Perkahwinan adalah sesuatu yang baik dan banyak hikmah disebalik sesuatu perkahwinan dan salah satunya adalah rezeki. Saya tidak bimbang tawaran dalam bidang lakonan berkurangan selepas berkahwin kerana percaya sesuatu rezeki itu bukan boleh kita tentukan tetapi ia daripada Allah.”

Dalam perkembangan sama, Amyra berkata, persiapan perkahwinan mereka sedang rancak dilakukan oleh keluarga kedua-dua belah pihak dan dia turut terharu apabila ada beberapa pihak bersedia menaja majlis itu nanti.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

EKSKLUSIF: Gambar Baby Lelaki Lisdawati & Fauzi Nawawi dari Lensa Camora Arts

Peraduan Bolananza Tawar Wang Tunai RM1juta