in , ,

Ulasan Budiey di Konsert Sheila Majid & Harvey Malaihollo di DFP

]Budiey mendapat khabar, tiket untuk konsert eksklusif yang menggabungkan dua ikon ternama dari Malaysia dan Indonesia ini telah habis dijual dengan begitu cepat. Pada hari kedua jualan dah habis licin.

Pada 8 Oktober lalu, Budiey telah dijemput oleh Dewan Filharmonik PETRONAS untuk menonton persembahan paduan suara emas Dato’ Sheila Majid dan Harvey Malaihollo yang telah bergabung menjayakan konsert amal In A One Night Only Charity Concert anjuran Kelab Sukan & Rekreasi PETRONAS. Terima kasih atas jemputan.

Konsert istimewa ini adalah untuk badan-badan kebajikan dan rumah anak yatim terpilih di mana hasil kutipan akan diagihkan kepada yang memerlukan.

Sambutan yang sangat hebat dari para peminat membuatkan mereka tak sabar untuk perform. Itulah magis sebenar dua legenda ini. Namun, selesai konsert pun, Budiey rasa tak puas! Mahu lagi! Jika Budiey kata tak puas, apatah lagi peminat yang sanggup hadir dengan membayar tiket, dan begitu juga dengan penyanyi yang semuanya disebabkan masa yang begitu terhad. Jadi, rumusannya kenalah menghargai masa yang ada dan kecapilah sepuasnya.

Ini adalah kali pertama Budiey menyaksikan gabungan dua vokal merdu ini secara langsung di pentas berprestij. Menurut Ratu Jazz ini, ini adalah kali ketiga beliau diberi penghormatan menghiburkan peminat di pentas ini. Sementara itu, kali terakhir berkolaborasi dengan Harvey pada tahun lepas semasa kunjungannya di Indonesia dan memeriahkan konsert Harvey. Sebelum ini juga, Dato’ Sheila pernah berduet bersama Harvey dalam sebuah lagu berjudul Begitulah Cinta pada tahun 2000 dan 13 tahun selepas itu, sekarang mereka diketemukan semula di Malaysia.

Kiranya, dah lama betul peminat tak melihat mereka disatukan dalam satu pentas. Menurut Harvey, Sheila Majid adalah antara penyanyi yang paling disenanginya sebab beliau begitu senang dan selesa menyanyi bersama. Lagu dan suara mereka pun memang secocok dan genre muzik pun lebih kurang sama. Easy listening, gemersik dan sangat santai. Bercakap tentang kemesraan, Budiey lihat dua orang sahabat baik ni begitu mesra. Sekali sekala mereka bergurau dan canda mereka penuh makna bagi kita yang menonton.

Konsert Sheila Majid & Harvey Malaihollo

Menghiburkan & Penuh Makna

[dropcap]K[/dropcap]ira-kira 900 orang peminat dan para jemputan memenuhi dewan dan Budiey difahamkan antara tetamu VIP yang turut datang ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman.Budiey dapat tahu, ramai peminat bukan sahaja datang dari serata Malaysia malah dari Singapura dan Indonesia pun ada. Juga kat depan Budiey ada seorang nenek berbangsa Cina turut melayan lagu-lagu Sheila Majid. Peminat barangkali.

Budiey kasi 5/5 bintang untuk persembahan ini sebab ia menghiburkan, santai dan ianya eksklusif!

Persembahan yang bermula jam 8.30 malam itu dimulakan dengan persembahan dari Redza Hamid memanaskan pentas dengan dendangan lagu Terindah Bagiku, Fuad Juara Kilauan Emas menyanyikan lagu Anuar Zain – Sedetik Lebih dan penyanyi Amanda Imani pula menghiburkan penonton dengan dua buah lagu, Selamilah Cinta dan Fobia Cinta.

Secara personalnya, Budiey memang enjoy dan terhibur menikmati persembahan walaupun tanpa sebarang gimik. Rasanya, dengan aura dan kredibiliti yang ada pada dua pesona ini dah cukup buat penonton menanti showmanship seterusnya. Pendek kata, rasa terbuai dengan kesemua lebih 27 buah lagu-lagu yang dipersembahkan oleh Dato’ Sheila Majid dan Harvey Malaihollo. Berikan apa sahaja lagu, setiap bait nyanyiannya pasti akan disahut dengan sorakan dan peminat semua turut mengalunkan bersama.

Itu belum lagi kita lihat dari sudut cara mereka berkomunikasi dengan penonton. Yelah, sepadan dengan pengalaman yang mereka kutip bergelar anak seni. Ada kelas tersendiri. Auranya bukan sekelumit tapi menjalar ke hati sanubari pendengar. Budiey pasti dendangan repetoire yang semuanya dari dulu meninggalkan kesan dan sejarah dalam hidup peminat setia.Ini kerana banyak lagu-lagu popular yang Budiey anggapkan sangat klasik dan semestinya mengimbau kenangan lama.

Segmen Sheila Majid

[dropcap]M[/dropcap]ereka mulai menceriakan hadirin dengan rangkaian medley pertama iaitu lagu Warna (Sheila Majid) dan Dia (Harvey Malaihollo). Namun, mereka nampak bertukar lagu, di mana Sheila nyanyi lagu Harvey, begitulah sebaliknya.  Selepas itu, Harvey menyerahkan pentas sepenuhnya untuk Ratu Jazz menyanyikan lagu Selamanya, dan seterusnya, rangkaian lagu medley – Kekasih, Kasih, Hasrat, Tua Sebelum Waktu. Lagu Selamanya adalah lagu yang sangat jarang dinyanyikan oleh Sheila Majid.

Lagu Aku Cinta Padamu, sebuah lagu yang mendayu-dayu penuh kata-kata cinta ini Budiey anggap ia satu lagu wajib untuk persembahan penyanyi yang berusia 51 tahun ini. Kalau takde lagu ni memang tak sah la kan? Lagu Jelingan Manja pula membuatkan semua penonton turut menggoyangkan bahu dan mereka bebas untuk bertepuk tangan. Medley – Gerimis Semalam, Cinta Jangan Kau Pergi, Antara Anyer dan Jakarta menjadikan malam itu adalah malam untuk meraikan cinta. Melankolik & romantik. Sebelum Harvey masuk semula ke pentas untuk duet lagu September Pagi, Sheila menyanyikan lagu Sinaran disampaikan dengan versi penuh.

Segmen Harvey Malaihollo

[dropcap]U[/dropcap]ntuk segmen Harvey, 6 buah lagu disampaikan secara solo.Lagu pertama ialah Gempita Dalam Dada, diteruskan dengan lagu Adilkah, Permata Hati, Pelabuhan Cinta, Jerat dan I’m Still Here. Budiey pernah mendengar Anuar Zain nyanyi lagu Pelabuhan Cinta sebelum ini. Ternyata, versi Harvey yang original mengundang rasa lain macam sikit.

Konsep persembahan juga sangat menarik dengan menampilkan dua orang anak Harvey iaitu Joshua, 22 tahun dan Benjamin, 10 tahun yang turut perform bersama ayahnya untuk lagu Permata Hati. Lagu ini sememangnya dicipta khas buat kedua anaknya. Sangat menyentuh hati bila anak beranak menjayakan persembahan untuk sebuah lagu yang menurut Harvey dia sangat nervous untuk perform.

Harvey turut memperkenalkan sebuah lagu terbaru sebagai buah tangan yang segar untuk peminat iaitu lagu Adilkah.

Kedua-dua penyanyi ini bergabung semula untuk menyanyikan tiga buah lagu secara duet. Budiey tertarik semasa Sheila Majid dan Harvey bergabung ‘menghuru-harakan’ lagu masing-masing secara mash up iaitu lagu Dia & Katakan Saja.

Huru-hara tu, Budiey sengaja petik kata-kata dari Harvey sebenarnya. Bukannya huru-hara yang betul, tau. Seperti kata Harvey, nama sahaja huru-hara tapi dari apa yang Budiey dengar, semuanya perfect dan senada.

Dengar pun rasa macam serasi je. Memang best bila dengar dua buah lagu dinyanyikan dalam satu susunan muzik. Irama kedua-dua lagu ini pun menjadi satu! Dato’ Sheila kata, dia mengambil idea setelah menonton drama muzikal yang mempunyai idea kreatif seperti ini.

Selepas berjaya memukau persembahan lagu huru-hara tu, mereka memecah rekod dengan menyanyikan lagu duet asal, Begitulah Cinta selepas 13 tahun tidak menyanyi bersama.

Dato’ Sheila Majid menggayakan dua persalinan busana elegan moden dan menawan berona hitam, satu rekaan dari pereka terkenal, Michael Ong dan satu lagi dari Syomir Izwa. Begitu juga dengan Harvey yang nampak selesa mengenakan baju dan seluar serba hitam.

Menutup tirai, sebuah lagu wajib iaitu lagu Lagenda yang memberi sejuta makna buat peminat dan semua penonton berdiri memberi penghormatan atas kejayaan menghiburkan hadirin.

Budiey kasi 5/5 bintang untuk persembahan yang cukup syahdu syahdan ini sebab ia menghiburkan, santai dan ianya eksklusif! Budiey suka dengan semua lagu-lagu cinta yang didendangkan dengan feel yang sungguh romantik dengan kelunakan suara Sheila dan gemersiknya suara Harvey.

Sejurus selepas konsert berdurasi 90 minit itu selesai, kami para media dan juga pembeli tiket VIP berpeluang untuk bersama-sama memeriahkan acara post party. Peminat berpeluang beramah mesra di Meet & Greet & sessi sain autograph.Pastinya, malam itu, Budiey akan semat kemas-kemas di ruangan minda menjadi antara malam indah bersama Ratu Jazz Negara & Harvey Malaihollo. Terima kasih atas kenangan ini.

Konsert Sheila Majid & Harvey Malaihollo
Konsert Sheila Majid & Harvey Malaihollo

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Alyah di Pelancaran Lagu Pengakuan Tiga

Butik Sonali Rumah Fesyen India Yang Unik