in ,

Ulasan Hits1 Musim Ke-5 Final @ Stadium Negara

Pada 23 Mac lalu telah berlangsung Hits1 Final dan kita sudah pun mengetahui pemenangnya. Tahniah kepada Ramlah Ram kerana menjuarai Hits1 dengan lagu Ketentuan. Sememangnya susah untuk menjangkakan pemenang dan Ramlah Ram sememangnya layak kerana kekuatan lirik dan melodi lagu ketentuan telah memikat hati juri.  

Budiey pun terfikir juga mengapa setiap kali Hits1 Final berlangsung tidak ramai yang tahu. Apakah tidak ada publisiti atau promosi di media atau rancangan itu sendiri kurang diminati. Budiey pun tahu program yang memerlukan undian SMS ini dua hari sebelum final berlangsung. Walhal, kalau kita lihat usia Hits1 sudah menjangkau usia 5 tahun ianya menemui peminat. Sepatutnya, rancangan hiburan ini menggamit ramai penonton.

Apa-apa pun, Budiey perhatikan Stadium Negara hampir penuh dengan peminat dan penyokong dari artis yang terlibat. Paling hebat, peminat dari kelab peminat Mawi, Adam dan Ramlah Ram. Wah! Korang ni gerek dan happening la sei!

Budiey ingin memuji kesungguhan dan komitmen yang dibuat oleh RTM. Sekurang-kurangnya ada program TV secara langsung yang disiarkan mengambil tempat di hati penonton. Selama 5 musim, kita menyaksikan Hits1 bersiaran secara langsung. Bukan senang sebenarnya untuk mengekalkan format yang sama seperti musim lalu, berkonsepkan carta lagu yang dipertandingkan melalui video klip yang rasa Budiey jarang mendapat tempat di hati peminat. Ini kerana penonton sekarang suka dengan persembahan live dari artis itu sendiri berbanding dengan hanya menayangkan tayangan video.

Sebanyak 12 buah lagu telah dicalonkan pada minggu pengenalan dan semua lagu pencalonan adalah ciptaan tempatan sepenuhnya. Menariknya, Hits1 menampillkan kelainan dengan mengutarakan carta lagu Inggeris yang diadaptasikan dari carta lagu Traxxfm, carta lagu Cina dari carta lagu AiFM dan carta lagu Tamil yang diadaptasikan dari MinnalFM.

Siaran pertama musim kelima bermula pada 12 Mei 2007 (minggu pengenalan) dan diteruskan selama 44 minggu untuk menentukan 10 juara bulanan. Setiap juara pusingan akan ke MuzikFM untuk sesi temubual eksklusif pada setiap minggu sepanjang bulan Januari, Februari dan Mac 2008 dan klip video penuh lagu yang berjaya juga dimainkan di akhir rancangan sebagai salah satu cara promosi kepada lagu yang bertanding di pertandingan akhir.

Budiey menyokong usaha Hits1 khususnya RTM yang mahu mengangkat martabat penciptaan lagu dengan memberikan imbuhan kepada penulis lirik dan pencipta lagu. Ini satu platform yang turut memperkenalkan insan di sebalik tabir yang bekerja keras menghasilkan nukilan seni yang disampaikan oleh penyanyi.

Malam itu, keputusan berdasarkan penjurian oleh juri profesional iaitu Dato’ Mokhzani, Dato’ Johan Salleh, Aishah, Fauzi Marzuki dan Boon Tan. Dihoskan pula oleh Eone, Nabilla, Danny dan Darling, Budiey rasa mereka telah melakukan kerja yang cemerlang bagi menghidupkan dan melancarkan lagu perjalanan Hits1 Final.

Pentas Hits1 dibuka dengan persembahan intro tarian api… memang panas sangat… lagi panas api neraka uols… tapi betul Budiey yang duk di kerusi depan sekali tu boleh terasa bahangnya.

Satu tepukan kuat untuk Misha kerana walaupun dia bertanding di Hits1, masih lagi sudi mahu mendendangkan lagu untuk pembukaan iaitu lagu Pulangkan. Cayolah Misha. Tak macam penyanyi diva seorang ni… mahu simpan tenaga katanya. Disuruhnya kawan itu menyanyi lagunya. Apa kelas!

Para penonton juga turut dihiburkan dengan persembahan artis jemputan antaranya…  Jaclyn Victor yang mendendangkan lagu kemenangannya pada kategori Lagu Terbaik di Hits1 Final musim ke 2.

Turut menghiburkan ketika siaran iklan ialah Jaafar Onn dan Luisa Chong. Memang gelagat dan celoteh mereka menghilang kebosanan kami menunggu siaran iklan tamat.

Shawal dan Afiq juga menjadi penghibur jemputan dengan lagu Lagu Jiwa Lagu Cinta yang didendangkan oleh Yazer dan Felix di Hit1 Final Musim ke-3. Shawal suaranya masih bertahan namun Afiq terasa seperti semput dan tidak sempat bernafas.

Pada malam penentuan lalu, kita telah menyaksikan 10 buah lagu paling popular bertarung untuk merebut gelaran juara. Dan ini pula… Madonnna? Huhu bukan ini Madonna atau Maradonna ya. Ini dia fesyen Farawahida untuk lagu Semuanya Ada Di Sini. Nampak macam over uols!

Adam siap berbaju Melayu dan selendang dalam lagu Mari Berjoget. Siap dengan kareografi. Tahniah kepada Adam kerana merebut takhta Raja SMS untuk Lagu Paling Popular Hits1. Bukan senang sebab undian dituntut dari peminat yang sudi melayangkan undian SMS. Apa, peminat Mawi dah miskin dah ke?

Wow! Budiey terkesima menyaksikan lagu Ketentuan di tangan kakak kita ni. Vokal Ramlah Ram begitu mempesonakan dan bisanya masih lagi tidak berganjak dari paksi. Salute sangat kat dia. Dan tahniah atas kemenangan lagu ini dan ramai yang sangat gembira apabila lagu ini dinobatkan sebagai Lagu Terbaik!

Misha Omar dan Andy Flop Poppy berganding dalam lagu Sembunyi.

Oh ya, pada malam itu ada tetamu kehormat yang turut hadir yang terdiri dari orang besar di Kementerian Penerangan Malaysia. Antaranya, YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek selaku Menteri Penerangan Malaysia.

Lagu Mabuk dari Spider pun boleh tahan juga.

Sahri menggantikan Kaer untuk lagu Izinkan Ku Pergi. Walhal pada masa itu, rasa Budiey Kaer masih berada di Malaysia untuk bercuti. Mengapa Kaer masih mahu bersembunyi? Katanya, Kaer seakan merajuk dan mahu menetap di Indonesia buat selama-lamanya. Mahu meminta dan memohon kerakyatan di Indonesia, sedangkan ramai orang dari Seberang mahu tinggal di Malaysia. Camna tu?

Namun, rasa Budiey persembahan Sahri terlalu menjiwai lagu… dan ada certain part rasanya Sahri hilang arah dan tidak fokus.

Pada malam itu, sementara menunggu keputusan, sekali lagi penyanyi undangan dijemput menghiburkan satu stadium. Antaranya Adibah Nor dengan lagu Terlalu Istimewa.

Setelah habis, ada sidang media yang dibuat di depan pentas dan dipenuhi hinggar binggar peminat yang masih tidak berganjak dan mahu bergambar. Tapi macam mengganggu temubual dijalankan oleh para media.

Kepada semua pemenang, tahniah dari Sensasi Selebriti. Kak Ramlah, kalau buat kenduri jangan lupa jemput kita ya. Gurau je!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hadiah Album Imran Ajmain Sudah Dihantar

Gambar Bersama Pembaca di Pra Tonton Filem CONGKAK